ALOR SETAR - Sebut sahaja penjara, pasti ramai akan memberi tanggapan menakutkan kerana ia adalah sebuah tempat untuk menjatuhkan hukuman kepada banduan.
Namun, telahan berkenaan ternyata berbeza apabila penghuni tidak hanya diberi peluang kedua mengubah hidup malah ilmu baru untuk meneruskan kehidupan.
Buktinya, kira-kira 30 penghuni wanita di Penjara Alor Setar diasah bakat dan diberi kemahiran bakeri seperti makanan sejuk beku dan kek yang mampu menjadi punca pendapatan mereka apabila keluar nanti.
Lebih mengalakkan, mereka juga berpeluang menerima sijil dibawah Modul Operator Pengeluaran Pemprosesan Makanan atas latihan kemahiran diterima dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
Penjara ubah hidup banduan
Seorang banduan, Siti, 34, (bukan nama sebenar) berkata, kehidupan dalam penjara banyak mengubah dirinya menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.
Dia yang dijatuhi hukuman penjara selamat empat tahun kerana melakukan samun bersenjata akan keluar tidak lama lagi.
Menurutnya, dia sudah insaf atas kesalahan dilakukan itu.
"Saya akan tamatkan tempoh hukuman dalam lapan bulan lagi, kehidupan penjara banyak mengubah hidup saya.
"Saya akan gunakan ilmu yang dipelajari di sini untuk membantu kedua ibu bapa saya," katanya.
Karen, 40, (bukan nama sebenar) pula berkata, dia seronok dapat belajar membuat aneka kuih tradisional Melayu dalam penjara berkenaan meskipun sendirian tanpa sokongan ahli keluarga di benua Afrika.
Karen yang merupakan warga Afrika sebelum ini memegang jawatan besar dalam bidang kejuruteraan dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan dadah.
Malah selama enam tahun berada dalam penjara, Karen yang fasih berkomunikasi dalam lima bahasa termasuklah Bahasa Melayu, Inggeris, Spanish dan Perancis mahir membuat karipap.
"Saya akan memperkenalkan cara membuat kuih muih yang dipelajari di sini kepada penduduk di negara saya bila keluar nanti," katanya.
Manakala, bagi ibu dua anak berasal dari Perak, Noor, 33, (bukan nama sebenar) yang akan keluar ketika Hari Raya Aidilfitri turut merancang menjual kuih dipelajari untuk menyara keluarganya.
Bekas pembantu kedai, Noor yang ditahan selama lima tahun lima bulan atas kesalahan dadah tersebut mengakui ilmu yang dipelajari dalam penjara banyak mendidiknya untuk menjadi insan yang lebih baik.
Banduan hasilkan 150 produk
Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Kedah Kedah, TKPj Ahmad Faudzi Awang berkata, pihaknya mendedahkan displin, kerohanian dan kemahiran kepada setiap penghuni bagi membantu mereka.
Malah, menurutnya, penghuni Penjara Alor Setar juga diberi peluang meningkatkan kemahiran dalam industri pembuatan makanan sejuk beku dan bakeri sejak 2012 lagi.
Menurutnya, kira-kira 150 produk keluaran Penjara Alor Setar antaranya kek, roti, pencuci mulut, makanan sejuk beku dan kuih muih kering tradisional.
"Semua produk yang dihasilkan oelh banduan di sini dijual dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran di luar.
"Malah produk di sini juga berkualiti tinggi tanpa bahan pengawet dan tahan lama," katanya.
Katanya, pihak akan berusaha mempromosikan produk keluaran penjara bagi mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap banduan.
Faudzi berkata, mereka membuka tempahan kuih melalui laman web, email, telefon ataupun walk-in ke Cake House Penjara bagi semua produk termasuklah kuih baru seperti almond cruncy, pepero stick dan red velvet.
Katanya, kuih raya dihasilkan dijual dalam beberapa pakej termasuklah ekslusif cookies serendah RM10, serta 4 in 1A dan 4 in 1B bernilai RM15 bagi setiap satu.
Banduan miliki sijil kemahiran
Dalam pada itu, Faudzi berkata, pihaknya berhasrat melahirkan penghuni penjara berkemahiran tinggi melalui pengiktirafan Sijil Latihan Dual National (SLDN) agar mampu berdikari apabia dibebaskan.
Beliau berkata, penghuni yang tamat menjalani hukuman boleh menggunakan kemahiran diperolehi mereka untuk mencari rezeki dan menyara keluarga nanti.
“Sehingga ini, seramai sembilan banduanita terpilih menerima sijil dibawa Modul Operator Pengeluaran Pemprosesan Makanan ketika menjalani tempoh hukuman,
"Malah beberapa banduanita yang dibebaskan juga sudah berjaya membuka perniagaan biskut raya dari kediaman masing-masing," katanya
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: