Monday, June 20, 2016

Fara Fauzana Solat Terawih Di Lokasi Berbeza Setiap Hari



Fara Fauzana mengisi masa terluang dia bersama rakan-rakannya mengadakan aktiviti jelajah solat Terawih ke masjid dan surau berbeza. 
PETALING JAYA: Kedatangan bulan Ramadan pada tahun ini banyak memberi ruang kepada Fara Fauzana untuk melakukan pelbagai aktiviti memandangkan dia sudah tidak terikat dengan kerjaya sebagai penyampai radio.

Malah kata Fara, 36, bagi mengisi masa terluang dia bersama rakan-rakannya mengadakan aktiviti jelajah solat Terawih ke masjid dan surau berbeza setiap hari bagi merasai kemeriahan bulan mulia itu.

"Alhamdulillah Ramadan pada tahun ini saya dapat melakukan pelbagai aktiviti sendiri termasuklah 'Terawih Hopping' iaitu saya akan pergi ke masjid atau surau berbeza setiap hari untuk solat.

"Dengan cara ini saya bersama rakan-rakan dapat merasai pengalaman berbeza di setiap tempat yang kami pergi selain dapat berkenalan dengan jemaah yang lain," katanya.

Fara berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Jurassic World versi bahasa Melayu dekat sini pada Selasa lalu.
Fara dapat banyak pengalaman menerusi aktiviti jelajah masjid.
Bekas penyampai radio Hot FM itu meminjamkan suara menerusi watak Vivian dan selebriti lain yang turut terlibat adalah Hisyam Hamid, Izzue Islam, Bront Palarae, Fahrin Ahmad, Nabil Ahmad, Nora Danish dan Abby Fana.

Ia bakal menemui penonton menerusi saluran HBO (411) dan HBO HD (431) pada 6 Julai depan, pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Fara berkata, dia tidak memilih masjid atau surau yang ingin dia pergi sebaliknya ia langkah spontan bersama rakan-rakannya.

Malah dia juga ada bertanya kepada peminat di Twitter untuk berkongsi pengalaman solat Terawih mereka di masjid atau surau di kawasan mereka.

"Kami tidak rancang di mana hendak solat tetapi tidak akan ulang masjid yang sama kerana setiap tempat kemeriahannya berbeza, pengalaman itu yang ingin saya cari.

"Peminat juga ada memberi cadangan masjid atau surau di kawasan mereka," ujarnya.

Sementara itu, Fara berkata, jelajah masjid yang dilakukannya itu adalah untuk mengajar dirinya sendiri dan mengakui dalam tempoh terdekat ini pelbagai pelajaran dan ilmu yang ditimbanya.

Kata Fara, ia juga mengajarnya untuk lebih bersyukur kerana setiap tempat dilawatinya memberi pengalaman berbeza.

"Ada masjid yang saya pergi cukup selesa dan ada pula yang tidak selesa kerana kemudahan yang terhad.

"Tetapi ini adalah pengalaman yang mengajar diri saya sendiri untuk lebih bersyukur pada masa hadapan," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Fara berkata, dia juga merancang untuk merasai pengalaman solat Terawih di luar Kuala Lumpur seperti Kelantan, Perak dan Singapura.

"Kebetulan ada tugas yang membawa saya ke tempat-tempat tersebut dan Insya-Allah ingin ambil kesempatan itu untuk solat Terawih di sana nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: