SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan bantuan khas sempena Aidilfitri sebanyak 1.5 bulan gaji kepada seluruh penjawat awam negeri Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembayaran akan mula dibuat pada 1 Julai 2016.
"Pembayaran bantuan khas tersebut melibatkan seramai 17, 528 orang penjawat awam seluruh Selangor dengan peruntukan sebanyak RM45.6 juta," katanya ketika Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, hari ini.
Selain itu, bagi meringankan beban tanggungan di samping menghargai perkhidmatan penjawat awam, dua insentif lain turut diumumkan.
"Kerajaan negeri setuju beri dua kenaikan gaji tahun ini iaitu kenaikan biasa dan kenaikan khas yang melibatkan sebanyak RM6.83 juta bagi satu kenaikan.
"Bayaran imbuhan tetap perumahan bagi penjawat awam Gred 41 ke bawah sebanyak RM180 turut dinaikkan hingga RM300 melibatkan peruntukan sebanyak RM11.2 juta," katanya.