KUALA NERANG - Pokok pulai yang terdapat di Hutan Simpan Pedu kini menjadi satu lagi daya tarikan pelancong ke situ selepas didapati pokok itu paling besar di Kedah.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Kedah, Mohd Rahim Ramli berkata, pokok pulai atau nama saintifiknya alstonia itu mempunyai ketinggian 80 meter dan dikenal pasti yang terbesar di Kedah.
Katanya, hasil siasatan pihaknya, baru-baru ini, pokok jenis tropika itu mempunyai ukur lilit 380 sentimeter dan memerlukan 13 orang untuk membuat lingkungan pada pokok spesies balak itu yang terletak di kompartmen 35 Hutan Simpan Pedu.
“Pokok pulai itu juga mempunyai beberapa banir tinggi yangs angat unik dan mampu menjadi ikon di Hutan Simpan Pedu ini. Hutan simpan ini mempunyai pelbagai spesies pokok dan pelancong yang datang melawat Tasik Pedu juga boleh melawat pokok berkenaan.
“Pokok itu terletak di tanah pamah dan memerlukan masa selama 15 minit untuk sampai ke situ dari jalan utama. Walaupun pokok itu bukanlah mempunyai nilai yang tinggi seperti meranti dan cengai tetapi kewujudannya di situ cukup menarik pelancong untuk melihatnya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rahim turut menasihatkan orang ramai yang melawat hutan simpanan itu supaya dapat menjaga serta tidak merosakkan pokok sedia ada kerana ia merupakan khazanah negara yang sangat bernilai terutamanya untuk generasi akan datang.