KOTA BHARU - Bekas vokalis kumpulan nasyid popular Raihan, Nazrey Johani kini berada di Kelantan dalam rangka mengumpul dana bagi membiayai pembinaan Maahad Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon, Ranau, Sabah.
Beliau yang tiba di Kelantan kelmarin, memperuntukkan masa empat hari sehingga 17 Jun ini untuk menjalankan kerja- kerja mengutip dana di masjid dan bazaar Ramadan di negeri ini.
Nazrey yang juga Pengerusi Maahad Tahfiz Bayu Syahadah berkata, beliau pernah berkunjung ke Kelantan sebelum ini untuk tujuan sama dan mendapat kerjasama memberangsangkan daripada orang ramai di sini.
“Kali pertama saya ke Kelantan pada 2014 dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM300,000, tahun lalu sahaja RM200, 000 dan tahun ini merupakan yang ketiga bagi tujuan sama.
“Masih banyak kemudahan yang perlu disediakan di sekolah berkenaan, bagaimanapun ia dilakukan secara berfasa dan untuk fasa kali ini tumpuan diberikan terhadap pembinaan dewan dan kelas pengajian,” katanya ketika berkunjung ke pejabat Sinar Harian di sini, semalam.
Nazrey berkata, kira-kira RM1.5 juta diperlukan untuk pembinaan dua kemudahan tersebut yang diharap akan dapat disediakan demi kemudahan pelajar di sekolah berkenaan.
Menurutnya, Maahad Tahfiz Bayu Syahadah yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu kini hanya mampu menampung bilangan pelajar seramai 18 orang biarpun mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.
“Masalah kemudahan dan dana memaksa kami mengehadkan bilangan pelajar berkenaan, sebab itu jugalah kami perlu bekerja keras untuk mendapatkan peruntukan diperlukan agar dapat menyediakan prasarana lebih sempurna sekali gus meningkatkan jumlah pelajar di sekolah berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun CIMB Bank (8600627302) atau Bank Islam (12038010098575) atas nama Al- Tahfiz Bayu Syahadah Resources atau menghubungi Pengurus Dana, Zaini Ghazali di talian 018 2592722.