BIARPUN masih baharu dalam perniagaan, Sofyra Brew Coffee mempunyai peminat tersendiri kerana aroma kopi yang disediakan setanding kafe antarabangsa.
Berbekalkan modal RM15,000 hingga RM30,000, Sofyra Brew Coffee yang dilihat mampu melangkah lebih jauh lebih selesa menggunakan strategi pemasaran secara car boot sale di lokasi tumpuan awam dan taman rekreasi.
Pemiliknya, Mohammad Saufi Mat Senan, 26, yang juga bekas anggota Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) berkata, dia kini memberi tumpuan penuh terhadap perniagaannya itu yang diusahakan bersama isteri, Mira Syazwanie Nazri, 23, sejak Mac 2015.
“Saya ambil masa selama hampir setahun sebelum memulakan perniagaan dengan mengkaji secara mendalam kaedah pembuatan kopi yang enak dan mempunyai aroma tersendiri.
“Selama setahun juga, saya ambil masa nak buka perniagaan termasuk penyediaan peralatan memandangkan perniagaan yang saya usahakan ini memerlukan modal agak tinggi,” katanya.
Mohammad Saufi yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, sekali pun beliau tidak mempunyai kelulusan dalam bidang penyediaan makanan, ia bukan halangan untuk mengembangkan minat dan bakat sedia ada.
“Saya belajar tidak tinggi, hanya setakat SPM sahaja dan saya pula berasal dari keluarga yang sederhana. Disebabkan selalu ke luar negara sebelum ini, saya lihat secara dekat cara-cara mereka di luar sana berniaga dengan pelbagai cara dan cara car boot sale memikat hati saya.
“Sejak itu, saya memasang cita-cita menjadi pembuat dan menyajikan kopi atau lebih dikenali sebagai barista,” kata anak jati Terengganu ini.
Pelbagai perisa tarik pelanggan
Bercerita lanjut mengenai produk yang disediakan Sofyra Brew Coffee, katanya, dia sebolehnya mencuba untuk menyediakan pelbagai perisa yang menepati cita rasa dan minat hampir segenap lapisan usia pelanggannya.
Menurutnya, terdapat lebih 10 perisa berlainan bagi pure coffee atau iced blended yang mana boleh dipilih pelanggan pada harga serendah RM5 hingga RM12.
“Antara perisa bagi pure coffee ataui kopi panas ialah latte, caramel latte, hazelnut latte, mocha dan caramel macchiato, sementara bagi pure iced blended pula terdapat perisa caramel, hazelnut caramel, mocha java chip, creamy greentea, raspberry dan passion fruit.
“Kita juga menyediakan 'big cup' dengan perisa hazelnut coffee, caramel coffee, creamy mocha, hazelnut chocolate dan chocolate green tea,” katanya.
Mohammad Saufi berkata, hampir setiap perisa disediakan ada peminat tersendiri.
“Jualan kami mendapat sambutan dan ada peminat tersendiri. Boleh dikatakan semakin hari Sofyra Brew Coffee dapat menarik pelanggan baharu dan pelanggan tetap kekal sehingga hari ini,” katanya.
Sedia buka cawangan baharu
Ditanya keistimewaan Sofyra Brew Coffee berbanding jenama lain di pasaran, Mohamad Saufi berkata, produk yang dijual setanding kafe besar lain, cuma konsep digunakan berbeza iaitu secara 'car boot sale' dan kiosk.
“Bekalan bahan produk ini saya dapati dari Chiang Mai, Thailand dan ia perisa asli dan sukatannya dibancuh oleh saya sendiri bagi menghasilkan aroma tersendiri.
“Apa yang kami hasilkan dari segi rasa kebanyakan pelanggan memberitahu ia setanding kafe besar, malah bagi minuman 'big cup' kami, kami ada kelainan yang mana ramai peniaga lain juga ingin belajar sama,” katanya.
Ditanya dari segi pendapatan, Pelumba Terbaik Asia di kejohanan Jelajah Taiwan ini, berkata, ia menunjukkan peningkatan sejak mula beroperasi.
Katanya, pada hari biasa, beliau dan isteri membuka kiosk di Flat Awam Padang Hiliran pada jam 12 tengah hari hingga 6 petang dan pada waktu malam pula, sekiranya ada acara mereka berniaga 'car boot sale'.
Bercakap mengenai perancangan jangka panjang, katanya, beliau berhasrat memajukan perniagaan sama seperti Starbucks, namun bagi francais 'pure coffee' agak sukar sedikit kerana memerlukan modal tinggi
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: