|
|
"RAMAI pengunjung yang tidak semena-mena terduduk dan mengalir air mata saat mereka menghabiskan masa mengunjungi ke pameran ini.
"Mungkin selama ini kita hanya membaca sahaja akan perjalanan hidup Rasulullah tetapi kali ini mereka mula mengerti perjalanan itu apabila berpeluang berada dekat dengan segala bahan sejarah yang pernah dimiliki dan mendapat sentuhan daripada Rasulullah sendiri," kata Pegawai Galeri Taman Kesenian Islam, Yayasan Restu Malaysia, Shah Alam Selangor, Zarina Mahusin.
Tidak dinafikan apabila air mata mula tergenang, sebaik sahaja memasuki ruang pameran yang dimulakan dengan latar suasana di dalam gua di Pameran Pedang Rasulullah SAW & Sahabat r.a dan Replika Kediaman Rasulullah SAW, di Taman Kesenian Islam ini.
Ia seolah-olah gambaran malaikat Jibrail yang sedang mengajar baginda di Gua Hira' untuk membaca ayat pertama yang diturunkan iaitu surah al-Alaq. Ini diikuti segala macam informasi mengenai sejarah al-Quran, usaha penyebaran dan dakwah dari zaman Rasulullah sehingga ke hari ini dan diikuti bacaan-bacaan al-Quran, semua ini ada memberikan impak yang besar di hati!
Pengerusi Yayasan Restu Malaysia, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, pameran yang julung-julung kali diadakan ini adalah usaha berterusan yayasan yang bukan sahaja bagi memartabatkan al-Quran tetapi membawakan realiti sebenar sejarah kepada umat Islam.
"Al-Quran tetap selama-lamanya adalah satu realiti dan kebenaran sebagai Kalam Allah tetapi kali ini dengan adanya pelbagai realiti yang lainnya, akan membuatkan kita tersentak sedar dan akhirnya kita akan kembali semula kepada al-Quran," katanya.
Idea mengadakan pameran ini yang menelan kos yang sangat tinggi ketika Abdul Latif mengadakan perbincangan dengan perwakilan dari kerajaan Brunei Darussalam.
"Mereka datang ke sini untuk mendapatkan khidmat yayasan bagi menulis semula al-Quran untuk Mushaf Brunei.
"Mereka mahukan orang Melayu Islam untuk menghasilkan mushaf ini dan dalam pada itu mereka juga sedang merancang untuk mengadakan pameran khazanah Islam seperti ini di Brunei.
"Ini memberi saya idea walaupun saya terpaksa bertindak selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menanggung kos bagi menjayakan pameran ini," katanya.
Konsep atau tema pameran ini benar-benar mengajak para pengunjung agar kembali kepada sejarah perjalanan hidup baginda Nabi Muhammad dengan melihat sendiri pelbagai khazanah yang dipakai, diguna dan dimiliki oleh Rasulullah.
Dimulakan dengan segmen yang berlatarkan gua dengan persembahan menggunakan sistem tiga dimensi termasuk kemunculan ayat-ayat al-Quran di dinding gua.
Sangat sederhana
Diikuti galeri koleksi senjata pedang dan busur panah milik Rasulullah dan para sahabat, koleksi senjata di Alam Melayu Nusantara, koleksi pelbagai jenis al-Quran lama, yang asli dan disalin semula sambil diiringi dengan bantuan audio dan penerangan oleh pegawai galeri. Semua ini merupakan satu pengembaraan bersifat rohani.
Ditambah peluang menjejak kaki di replika rumah atau kediaman Rasulullah dengan kedudukan ruang tamu, ruang solat, kamar puteri baginda, Fatimah Az Zahra dan kamar Rasulullah sendiri.
Semuanya mengembalikan kesedaran kita kepada perjuangan dan pengorbanan Rasulullah terhadap kita selama ini
"Baginda mempamerkan kehidupan yang sangat sederhana walaupun baginda adalah pemimpin yang sangat agung dan mampu mengecap pelbagai nikmat hidup, tetapi yang dipilih oleh baginda hanyalah sebuah kehidupan yang tiada bezanya seperti orang kebiasaan yang lain," kata Abdul Latiff.
Maka menjadi satu permulaan yang sangat baik untuk kita mengunjungi Taman Kesenian Islam yang terletak bersebelahan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor ini sebagai satu cara kita menyambut kehadiran bulan mubarak, bulan Ramadan tidak lama lagi.
Pasti akan tersemat satu semangat dan keazaman yang sangat tinggi bagi menjadikan Ramadan kali ini bulan ibadat yang paling baik dan berkualiti setelah kita berpeluang 'mendekati' sendiri Rasulullah itu di pameran ini!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: