|
|
NORLIA ISMAIL yang pernah hidup mewah telah merasai keperitan tatkala kesenangannya ditarik balik. Sebelum kegawatan ekonomi melanda negara pada tahun 1997, Norlia, 52, sekadar menjadi suri rumah sepenuh masa. Rutin hariannya hanyalah menguruskan enam orang anak yang masih kecil selain menjaga kebajikan sang suami.
Jika mempunyai masa terluang, Norlia gemar mengumpul perkakasan dapur terutamanya bekas menyimpan makanan.
Bukan untuk digunakan, sebaliknya bekas-bekas makanan daripada jenama Tupperware itu dibeli hanya untuk menjadi penghias kabinet. “Apabila ada bekas makanan yang saya berkenan, saya akan membelinya. Saya gemarkan rekaannya yang cantik tetapi kebanyakan bekas makanan milik saya itu tidak pernah digunakan.
Ujian
“Pada masa itu, saya tiada masalah kewangan. Suami akan memberikan wang jika saya ingin membeli rekaan terbaharu yang diperkenalkan,” tutur Norlia kepada Jurnal. Namun, hidup Norlia mula berubah apabila dia tiba-tiba dilanda ujian getir. Ketika kegawatan ekonomi itu, banyak institusi berkaitan kewangan lumpuh termasuklah bisnes berkaitan hartanah yang dijalankan suaminya. Hidup mereka sekeluarga terumbang-ambing. Kereta dan rumah mereka di Petaling Jaya, Selangor terpaksa dilelong.
“Hidup kami sekeluarga sangat sukar. Kami tiada apa-apa. Semuanya ditarik dalam sekelip mata. “Pada mulanya saya tidak dapat menerima hakikat itu kerana sebelum ini kami hidup dengan gembira,” katanya lagi. Nekad untuk mengubah nasib, dia pantas mencari idea demi membesarkan anak-anak yang masih kecil. Biarpun berat hati, Norlia menjual semula barangan Tupperware yang pernah menjadi koleksi kesayangannya itu. Dengan barangan itulah mereka sekeluarga meneruskan kehidupan.
“Hidup kami ketika itu sangat sukar. Kami pernah menyewa di beberapa tempat dan sering dihalau tuan rumah kerana tidak mampu membayar sewa. “Mujurlah ada barangan Tupperware yang tidak pernah saya gunakan. Saya menjual semula semuanya demi meneruskan hidup,” tutur Norlia yang ditemui di kediamannya di Gombak, Selangor.
Segan
Jika suatu ketika dahulu dia seorang wanita yang pesimis dan bergantung kepada suami, kini Norlia boleh dikatakan mengambil alih peranan suaminya. Mengetepikan perasaan segan, dia mencari pelanggan dan memperkenalkan barangan Tupperware. “Peranan kami suami isteri sudah bertukar. Suami menjaga anak-anak dan saya pula keluar untuk menjual barangan Tupperware,” kata anak jati Seberang Prai, Pulau Pinang ini.
Tugasan itu ternyata sukar untuk ditempuhi Norlia. Dia terpaksa menebalkan muka mendengar cemuhan daripada mereka yang tidak berminat dengan barangan yang dijual.
Apatah lagi menjual Tupperware dengan cara jualan langsung itu memerlukan kesabaran yang tinggi. Bukan sahaja berdepan dengan pelanggan cerewet, pengangkutan awam menjadi satu-satunya kenderaan untuk Norlia menghantar barangan yang dipesan pelanggan. “Ia memang pengalaman yang perit. Saya terpaksa naik bas untuk menghantar barangan kepada pelanggan.
“Kadangkala ketika terlalu banyak barang yang perlu dibawa, saya akan meminta anak-anak untuk membantu walaupun mereka masih kecil,” kata Norlia yang terkenang kisah lampaunya. Dia juga mengunjungi rumah rakan-rakan untuk mengadakan parti Tupperware. Semasa mengadakan parti itu, Norlia akan mengumpulkan jiran dan rakan-rakan untuk memberi penerangan sambil berkenal-kenalan.
Hasil kesungguhannya, nama Norlia semakin ke hadapan dalam perniagaan Tupperware itu. Dia tidak pernah berputus asa mencari pelanggan baru dan mengajak mereka menyertai bisnes berkonsepkan jualan berbilang peringkat itu. Hidupnya pula bertambah senang malah mampu menjelajah ke banyak negara.
Kesenangan
“Kalau dahulu saya hanya boleh mengimpikan percutian ke luar negara, kini saya berpeluang melihat negara orang. “Berkat kesungguhan, pihak syarikat sering membawa saya ke lokasi indah termasuklah Beijing, Istanbul dan Cape Town,” jelas nenek kepada tujuh orang cucu ini. Kini, air mata dan keringat yang pernah ditumpahkan wanita bersemangat waja ini telah dibalas dengan kesenangan.
Dia yang baru setahun dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Tupperware Brands cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur tidak lagi perlu bersusah payah demi sesuap nasi.
Dengan pendapatan bulanan mencecah angka RM13,000, tugasan Norlia hanyalah memberi latihan kepada ejen di bawahnya serta beberapa tugasan ringkas lain. Rutin seharian hidupnya kini kebanyakannya dihabiskan di rumah sahaja. Setelah 16 tahun menjadi penjual Tupperware, dia tidak mahu terlalu alpa. Azamnya kini agar dia tidak terleka dengan kesenangan kerana pengalaman lalu telah banyak mengajarnya supaya sentiasa beringat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: