Friday, July 1, 2011

Tarian hip hop jadi pop


MOHD. RAZMAN GHAZALI dan isteri, Helta Suraya Putri Pertama gagal menonjolkan elemen tarian hip hop.


MINGGU lepas di bawah tema Milenium konsep hip hop, empat peserta yang dibimbing oleh Kapten Belalang dan empat peserta di bawah bimbingan Kapten Ray telah berentap.

Meskipun kebanyakan daripada mereka tidak biasa dengan tarian hip hop, nampaknya mereka telah cuba yang terbaik bagi mengelakkan diri masing-masing tersingkir.

Bagaimanapun, peserta di bawah bimbingan Kapten Belalang dilihat bagai hilang arah kerana ramai antara mereka menarikan tarian yang menyimpang jauh daripada tema yang diberikan dan dilihat gagal menonjolkan elemen hip hop sebaliknya lebih terarah kepada elemen pop.

Disebab gagal menonjolkan tarian hip hop dan busana yang tidak bersesuaian, pasangan Mohd. Razman Ghazali dan isterinya Helta Suraya Putri Pertama telah disingkirkan dengan peratusan merah terendah iaitu 40 markah berbanding dengan pasangan Nita dan adiknya Umar yang memperoleh markah tertinggi dalam kumpulan Belalang iaitu 52 markah.

Razman dan isterinya telah dapat mengagak yang mereka bakal disingkirkan memandangkan emosi dan tenaga yang diberikan ketika melakukan persembahan dengan lagu iringan Senyum dendangan Najwa gagal memikat hati juri.

“Saya sedar bahawa kami tidak memberikan persembahan yang bertenaga memandangkan emosi saya ketika latihan dan waktu persembahan tidak stabil dek pemergian arwah adik saya pada minggu sebelum kami memulakan latihan hip hop.

“Malam ini sepatutnya saya hadiri tahlil tetapi saya terpaksa meneruskan perjuangan dalam pertandingan ini. Saya sudah buat yang terbaik dan akur dengan keputusan juri dan juga undian orang ramai,” ujar Razman sambil dipersetujui oleh isterinya.

Jurureka tari mereka iaitu Mark Young disoal mengenai pemilihan busana dan gerak tari yang menyimpang jauh daripada tema hip hop.

“Saya ada buat kajian. Hip hop bukan sekadar tarian yang biasa kita lihat serta pakaiannya tidak semestinya seluar besar, malangnya juri tidak melihat semua itu, saya terimanya dengan hati yang terbuka,” kata Mark Young yang ditemui pada Sabtu lalu.

Juri tetap Vanidah Imran dan Joseph Gonzalez membuat kesimpulan bahawa kebanyakan peserta Mari Menari musim kedua adalah lebih baik daripada musim pertama kerana ramai antara mereka mempunyai latar belakang tarian yang kukuh dan ada antara mereka merupakan penari profesional.

“Mereka semua penari yang baik, cuma minggu ini saya lihat tarian hip hop memang sukar untuk ditarikan jika kita tidak biasa dengan tarian itu. Cabarannya adalah menarikan tarian hip hop dengan lagu yang bukan hip hop,” kata Vanidah.

Joseph pula melihat pasangan Nita dan adiknya antara penari terbaik dalam program Mari Menari dan tidak mustahil jika mereka meneruskan tarian yang konsisten mereka bakal mara ke peringkat final.

Juri jemputan minggu lalu, Norman Abdul Halim yang disifatkan sebagai juri kedekut markah melihat kebanyakan peserta gagal menonjolkan elemen hip hop seperti yang diharapkannya.

Kumpulan di bawah bimbingan kapten Ray yang bersiaran pada hari Ahad pula terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan Siti Akmal Azlin dan suaminya Mohammad Hedzer.

Membuat persembahan dengan lagu Raja Gelek nyanyian One Nation Emcees mereka gagal memberikan persembahan yang menarik dan hanya mendapat markah sebanyak 36 markah.

Jika pada hari Sabtu, The Fabulos Cats muncul membuat persembahan, pada hari Ahad, kumpulan yang baru ditubuhkan di bawah bimbingan juri jemputan, KRU iaitu kumpulan VIP tampil ke lantai Mari Menari mempersembahkan lagu hits mereka, Lagu Sedih.

Enam pasangan Mari Menari di bawah kelolaan kapten Ray dan Belalang akan meneruskan cabaran Mari Menari.

Program realiti TV yang dikendalikan oleh Lisa Surihani dan Awal Ashari itu bersiaran setiap Sabtu dan Ahad, pukul 9 malam, hanya di Astro Ria (104).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: