|
|
SEKALI lagi, kediaman apartmen milik si bujang bertamu kembali di ruangan ini. Ternyata teruna sekarang terutama yang tergolong sebagai metroseksual bukan sahaja mementingkan penampilan menarik, malah tempat tinggal turut diberi perhatian.
Seperti kediaman Zairul Mahat, seorang juruteknik yang tinggal sendirian di Bandar Baru Bangi. Unit apartmen dengan keluasan hanya 893 kaki persegi itu dihias rapi, tanpa sedikit habuk pun, jauh sekali baju atau peralatan kecil yang bersepah di sana sini.
Pengalaman tinggal di bilik sewa rumah teres yang sesak menjadikan dia cerewet kini. Apatah lagi ketika itu tinggal di kawasan yang berdekatan dengan jalan utama. Bukan sahaja padat, malah diganggu bunyi bising kenderaan sepanjang masa.
Lalu tatkala mendengar mengenai unit kediaman apartmen yang baru siap di pinggir ibu kota itu, dia tidak berfikir dua kali untuk membeli.
"Di tempat kerja sudah penuh dengan fail dan pelbagai aktiviti, tak mungkin balik ke rumah pun kita sanggup rasa sesak lagi. Jadi bila pertama kali saya melihat kawasan ini, saya terus jatuh hati kerana suasana yang tenang," kata jejaka berusia 34 tahun itu.
Zairul atau mesra dipanggil Zek pernah berkerja dengan sebuah firma arkitek lebih sembilan tahun. Dari situ dia mengutip ilmu serba sedikit mengenai rekaan dalaman.
Sentuhannya menjadi dan menurutnya, dia tidak banyak menghabiskan duit untuk mengindahkan kediamannya. Tiada pengubahsuaian, malah warna cat juga dikekalkan. Zek hanya menampal kertas dinding di ruang tamu dan bilik tidur utama manakala ruang dapur hanya ditambah kabinet.
Tuah mendapat unit lot tepi yang memiliki balkoni di luar ruang tamu menjadikan kediaman itu lengkap dengan tumbuhan penyejuk suasana. Zek menanam pokok hijau dan menabur batu-batu kecil untuk suasana semula jadi.
Rajin
Tidak mengupah pereka dalaman dalam menentukan tata hias kediaman, namun pemuda itu turun sendiri ke kedai-kedai perabot berulang-kali.
"Apa yang saya jumpa dan rasa sesuai dipadankan, saya beli. Seperti contoh sofa cleopatra ini, asalnya saya menempah langsir yang mempunyai corak sebegini. Kemudian bila berkunjung ke sebuah kedai perabot yang menerima tempahan, saya menemui fabrik yang sama dengan langsir. Apa lagi, memang saya terus tempah untuk sofa dan harganya juga berpatutan," kata Zek.
Tinggal bersendirian bermakna hanya dia yang menentukan kemas atau sepah kediaman tersebut. Bagi Zek, bukan hanya untuk sesi fotografi ini, dia memang sentiasa memastikan 'syurga' kecil miliknya itu sentiasa rapi. Hinggakan selepas membasuh tangan sekali pun, dia akan mengelap kembali sinki untuk memastikan ia kering, berkilat dan tidak berlumut.
Selain bunga hiasan plastik, dia turut menyerikan kediaman dengan kuntuman bunga segar pelbagai warna.
Susunan daisy merah menyala menancap pandangan di atas meja kopi yang dihiasi catur kristal. Manakala jambangan lili putih dan bunga harum sundal malam indah menghiasi meja makan. Baunya yang memikat menghasilkan aroma asli yang segar.
Kata Zek, setiap hujung minggu jika tidak pulang ke kampung di Masjid Tanah, Melaka, dia akan ke pasar dan mendapatkan bunga segar.
Aksesori
Selain perabot yang sepadan, jejaka yang kini bertugas dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga gemar membeli aksesori kecil bagi melengkapkan kediaman.
Kabinet berwarna putih yang turut berfungsi sebagai pembahagi antara ruang tamu dan ruang makan tidak dibiarkan kosong. Pasu-pasu dan perhiasan unik tersusun rapi.
Menurut Zek, dia memiliki banyak aksesori yang dibeli ketika berkunjung ke luar negara atau ke mana-mana sahaja.
"Saya tidak rajin mengubah perabot atau bertukar-tukar langsir. Namun saya cipta kelainan dengan mengubah aksesori kecil yang tersusun. Saya simpan yang ini kemudian saya susun pula yang lain," katanya.
Juraian kepingan berwarna oren kecil sebelum memasuki ruang dapur yang kemas menyerlahkan suasana. Pada hujungnya, Zek menggantung bebola seakan kristal, yang menghasilkan irama unik tatkala ia bergesel dek hembusan angin.
Menariknya, kediaman jejaka itu tidak terlindung dengan mana-mana binaan, menjadikan ia sentiasa sejuk dek hembusan angin semula jadi yang bertiup, tidak kira masa.
Ternyata, biar pun ruang yang kecil dan terhad, andai kita tahu memanfaat, pasti memberi hasil sempurna. Bukan untuk sesiapa, bagi pemilik, itulah 'syurga' kecil yang mendamaikan jiwa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: