Sunday, July 3, 2011

‘Syurga’ kecil Emma Mustafa


Melalui tutur bicaranya ini, dapat ditafsirkan bahawa kesibukan jurusolek ini memberi ilham untuk dia memilih hiasan studio yang ada stail tetapi ringkas dan cantik.


DUNIA artis dan fesyen tempatan mengenali Emma Mustafa sebagai jurusolek yang cukup kreatif dan versatil dengan idea-idea segar yang jarang mengecewakan.

Sebagaimana cita rasa mewahnya terhadap solekan, begitu juga ilham rasa jurusolek berasal dari Perak ini dalam menata rais studionya yang menjadi ‘syurga’ kecilnya di pinggiran kota metropolitan itu.

Penulis baru-baru ini berkesempatan ‘mengintai’ dan mengagumi hiasan dalaman studio Emma yang mempunyai cita rasa dekorasi ringkas dan elegan.

Indah

Terletak di Jalan Cahaya 2/2, Pandan Cahaya Ampang, Selangor, Emma mengeluarkan belanja hampir RM 20 ribu untuk menghias studio yang diberi nama Studio M.

Hiasan dalaman diatur begitu indah dengan pilihan perabot dan hiasan moden yang kebanyakan dibelinya di IKEA.

Menurut Emma, tema dekorasi yang dipilih ini bukan semata-mata tampil moden tetapi menghasilkan pandangan serta suasana ringkas kerana keluasannya yang terhad.

“Apabila saya memulakan kerja pada pagi hari, persekitaran studio memberi ketenangan kepada saya,” ujarnya.

Melalui tutur bicaranya ini, dapat ditafsirkan bahawa kesibukan jurusolek ini memberi ilham untuk dia memilih hiasan studio yang ada stail tetapi ringkas dan cantik.

Melangkah ke ruang tamu studio , kita dapat melihat kerlipan lampu yang unik digantung di bahagian hujung meja kerja utamanya.

Ruang ini turut dihiasi dengan potret gambar hasil kerjanya di beberapa buah majalah yang berbingkai moden. Barangan solekan, andaman serta rambut palsu disusun rapi dengan gabungan warna latar putih pada hampir keseluruhan bahagian studio,

Warna putih menjadikan studio ini lebih luas dan cerah.

Moden

Di tepi ruangan ini terdapat sudut berehat sambil menonton televisyen.

Katanya pelanggan yang datang untuk mendapat khidmat solekannya boleh membawa teman kerana terdapat ruang duduk dan rehat yang cukup.

Sofa merah sudah cukup menyerlahkan ruangan ini walaupun keluasan yang terhad.

Melengkapkan fungsi studio ini sebagai rumah kedua Emma, sebuah bilik tidur disediakan menampilkan katil moden dengan cadar merah samar menimbulkan suasana romantik. Bahagian rak hiasan pula diserikan dengan koleksi perhiasan perkahwinan perak.

Kesemuanya tampil ringkas dan bersih kerana pemilihan warna putih cukup sesuai untuk mereka yang meminati konsep ini. Malah ia semakin serasi apabila Emma memilih tikar lantai bambu yang berwarna coklat.

“Saya tidak suka bawa balik hasil kerja ke rumah. Semuanya saya simpan di studio. Ini dapat mengelakkan suasana rumah daripada menjadi sempit dan semak.

Kebetulan ramai jurusolek lain yang tinggal berdekatan sini boleh membeli peralatan solekan yang kebanyakannya saya dapatkan dari Indonesia. Di sini juga tempat saya mengajar kelas solekan orang perseorangan,” katanya yang mempunyai dua pembantu setia, Embun dan Ps Mansur.

Ujarnya, walaupun studionya kelihatan seperti muzium tetapi yang penting ia menjadi destinasi menghasilkan kerja kreatif dan perniagaan paling baik untuk dirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: