Sunday, July 24, 2011

Rugi RM340,000

RAMPAS...Amiruddin (dua dari kiri) menunjukkan kad ATM yang digunakan sindiket penipuan.
RAMPAS...Amiruddin (dua dari kiri) menunjukkan kad ATM yang digunakan sindiket penipuan.

AMPANG: Terpedaya dengan tipu helah sindiket penipuan kad kredit dan akaun bank yang mengaku kononnya pegawai Bank Negara Malaysia (BNM), seorang pengurus syarikat kerugian sehingga RM340,000.

Mangsa berusia 34 tahun dihubungi anggota sindiket berkenaan yang memberitahu maklumat peribadi akaun bank miliknya dicuri pihak tertentu bagi tujuan penipuan.


Akibat panik dengan amaran itu, mangsa kemudian menurut arahan anggota sindiket yang meminta dia membuat pemindahan wang ke dalam akaun lain yang didakwa milik pegawai BNM untuk mengelak wangnya ‘hangus’.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, mangsa membuat dua transaksi pada hari sama, masing-masing berjumlah RM79,000 dan RM262,000.


“Sepanjang perbualan, mangsa tidak dibenarkan memutuskan talian atau bercakap dengan sesiapa sehingga transaksi selesai.


“Suspek meminta mangsa menunggu tiga jam sebelum berjanji memindahkan semula wang itu ke dalam akaun milik mangsa. Bagaimanapun, suspek terus menghilangkan diri dan gagal dihubungi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini, semalam.

Berdasarkan maklumat terbabit, beliau berkata, polis menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 27 tahun dan merampas 27 kad mesin juruwang automatik (ATM), 15 buku bank dan wang tunai sebanyak RM257,000 pada 15 Julai lalu selepas 24 jam mangsa membuat laporan polis.


Sementara itu, dalam kes berasingan, pemeriksaan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ke atas sebuah rumah teres dua tingkat berjaya menemui berbelas bungkusan putih dipercayai dadah jenis ketamin dan syabu seberat 773 gram dianggarkan bernilai RM196,000.

Dalam serbuan di Taman Maju Jaya, jam 10 malam Khamis lalu, seorang jurujual berusia 24 tahun bersama rakannya berusia 21 tahun ditahan dan ujian air kencing mereka disahkan positif dadah.


Menurut Amiruddin, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menjalankan kegiatan mengedar dadah di sekitar Ampang sejak tiga bulan lalu.


Katanya, siasatan polis juga percaya suspek mendapat bekalan dadah berkenaan dari Cheras.


“Polis juga merampas sebuah kereta Suzuki Swift dan dua telefon bimbit jenis Iphone menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM279,000.


“Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 27 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: