IKHLAS...sebagai ketua, Robiah bukan saja tegas malah berhemah melayan kakitangan bawahannya.
DIA duduk di hadapan penulis dengan senyuman terukir di bibir.
Walaupun sudah berumur 57 tahun, penampilannya langsung tidak menggambarkan usia. Masih bertenaga, kelihatan muda dan ceria.
Malah, sesiapa juga yang pernah bertemu dengannya pasti mengakui wanita ini mudah didekati serta lembut tutur katanya sehingga membuatkan penulis terasa begitu ‘dekat’ dengannya.
Ketika ditanya petua diamalkan untuk kekal muda, sihat dan bertenaga, dia ketawa sejenak.
“Saya seorang yang aktif dan suka bersenam. Jika tidak bekerja, saya suka melakukan sukan skuba dan bermain golf bersama suami.
“Jika tidak, saya akan menikmati kehijauan tumbuh-tumbuhan yang ditanam di halaman rumah. Saya suka menanam bunga kerana selain dapat mengindahkan halaman rumah juga jadi terapi mata dan jiwa.
“Saya juga menjaga pemakanan, tambahan pula apabila usia sudah menjangkau 57 tahun. Paling penting jangan biarkan diri berada dalam tekanan.
“Sentiasa ceria dan senyum walaupun ketika itu dilanda kesusahan. Setiap orang ada masalah namun jangan biarkan masalah membelenggu diri kerana setiap kesulitan ada jalan penyelesaiannya,” katanya.
Dilantik menjadi wanita pertama memegang jawatan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman dalam sejarah 203 tahun Polis Diraja Malaysia (PDRM), sesungguhnya Datuk Robiah Abdul Ghani adalah wanita hebat yang bukan saja mampu memimpin sebuah badan tertinggi dalam PDRM, malah menjadi isteri dan ibu berjaya.
Menurut Robiah, menjadi ketua di pejabat kemudian melaksanakan tugas wanita di rumah bukanlah sesuatu yang mudah.
Ini kerana dia perlu membahagikan masa dan membezakan antara tugas pejabat dan keluarga.
“Di pejabat saya beri tumpuan sepenuhnya kepada kerja dan apabila pulang ke rumah saya bertukar menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak. Jika diikut–kan kerja memang tidak pernah selesai.
“Justeru, walau sesibuk mana sekali pun saya akan luangkan masa bersama keluarga. Saya akan pastikan makan minum mereka terjaga, siapa kawan mereka dan ke mana mereka menghilang. Saya bukan sekadar ibu, malah rakan baik mereka,” katanya.
Bagi Robiah, menggunakan masa secara berkualiti dengan anak-anak adalah sangat penting. Jadi peluang pada waktu malam dan hujung minggu digunakan sepenuhnya untuk makan bersama.
“Sambil menonton televisyen, kami berbual mengenai aktiviti yang dilakukan supaya mereka memahami tugas saya sebagai anggota polis. Walaupun masing-masing sudah dewasa, jika ada kelapangan kami akan menonton wayang bersama-sama,”
katanya yang mempunyai tiga cahaya mata, iaitu Erny Herliza Ibrahim, 30, Ezwan, 28, dan Ezry, 25.
Robiah bersyukur kerana dalam kesibukan tugas dia mampu melihat anak-anak membesar di depan mata, malah kesempatan bertugas di Bukit Aman selama 25 tahun menjadi satu bonus kepadanya memantau perkembangan mereka.
Buktinya, hasil kasih sayang dan didikan agama yang diterapkan, mereka berjaya menjejakkan diri ke menara gading dan kini memegang jawatan profesional di syarikat ternama tanah air.
Anak perempuan tunggalnya, Erny bertugas di Petronas di Kertih, Terengganu, manakala dua lagi anaknya, Ezwan berkhidmat di syarikat pengeluaran kenderaan, Honda di Melaka dan Ezry di Sapura Crest, Kuala Lumpur.
“Kejayaan mereka membang–gakan saya dan suami kerana sejak kecil saya menggalakkan mereka mencari ilmu pengetahuan melalui pembacaan dan berkawan dengan rakan sepermainan yang saya kenal.
“Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya bahagia dengan kehidupan hari ini dan tugas sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman ini akan merapatkan lagi hubungan kekeluargaan antara kami kerana ketika saya bertugas di Pahang, mereka menetap di Kuala Lumpur,” katanya.
Mendirikan rumah tangga dengan bekas Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ibrahim Maras, 60, pada 1978, Robiah bersyukur kerana suaminya amat memahami kesibukan tugasnya kerana bekerja di bidang yang sama.
Dia turut menganggap dirinya bertuah kerana dipertemukan dengan suami yang penyayang dan sentiasa menyokong kariernya sepanjang 32 tahun perkahwinan mereka.
“Dialah suami dan rakan yang sentiasa memberi sokongan sejak mendirikan rumah tangga. Saya sentiasa merujuk kepada suami jika ada masalah dan meminta pendapat daripadanya.
“Walaupun sudah bersara, dia sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini PDRM dan kami saling bertukar pandangan,” katanya.
Menceritakan bagaimana dia boleh tertarik menyertai bidang kepolisan, menurut Robiah, sejak kecil dia memang suka mengikuti aktiviti lasak seperti sukan hoki, bola jaring, olah- raga dan mewakili sekolah dalam beberapa acara sukan.
Sejak kecil dia sudah tanam–kan tekad untuk menyertai kerjaya pakaian seragam dan bukannya menjadi guru, doktor atau bekerja di bidang pentadbiran.
Tambah pula apabila melihat Allahyarham datuk yang juga bekas tentera, Abu Bakar Mohd Amin dan bapa, Abdul Ghani Abdul Rahman, bekas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, jadi sedikit sebanyak darah tentera dan polis diwarisi daripada mereka.
“Walaupun banyak masa dihabiskan bersama datuk kerana ibu bapa yang sering berpindah tempat kerja, saya tidak dimanjakan, tetapi dikawal ketat nenek.
“Saya menjadi kanak-kanak yang sangat berdisiplin kerana sudah diajar sejak kecil. Saya tidak dibenarkan keluar sesuka hati melainkan bersama ahli keluarga,” katanya yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur.
Selepas tamat tingkatan lima, anak kelima daripada lapan beradik ini membuat keputusan menyertai pasukan beruniform pada 1971 dan muncul sebagai Inspektor Pelatih Wanita Terbaik selepas tamat menjalani kursus selama sembilan bulan di Maktab Polis Kuala Kubu Baru, Selangor, yang kini dikenali sebagai Maktab Pegawai Pangkat Rendah pada 1972.
Dia antara sembilan pegawai polis wanita yang mengikuti kursus itu berbanding lebih 80 pegawai lelaki kerana tidak ramai remaja wanita ketika itu berminat untuk menyertainya.
Berkelulusan Diploma Sains Kepolisan, Robiah dilahirkan pada 2 September 1953 di ibu negara memulakan perkhidmatannya pada 15 Disember 1971 sebagai inspektor percubaan dan pernah berkhidmat dalam pelbagai jabatan sepanjang 39 tahun berbakti dalam PDRM.
Antaranya berkhidmat sebagai Pegawai Platun Komander wanita pertama di Briged Tengah, Jalan Pekeliling pada 1974, �pernah bertugas sebagai Pegawai Penyelia Cawangan Antidadah di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum dilantik sebagai Penolong Pengarah JSJ Bukit Aman pada 1 Jun 1994.
Dia kemudian dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang pada 1 November 2006 dan pada 14 Julai 2008 menjadi wanita pertama dilantik Ketua Polis Negeri.
Sepanjang bertugas, Robiah mengakui banyak kenangan pahit dan manis yang sukar dilupakan. Antaranya ketika menyertai Perang Vietnam pada 1976, dia ditugaskan mengawal perairan daripada dicerobohi pengganas.
“Saya melihat kesukaran pelarian ini untuk hidup walaupun terpaksa bertarung nyawa menaiki bot kecil di tengah lautan luas semata-mata mencari tempat tinggal selamat.
Kedaifan serta kesungguhan mereka bertarung nyawa sangat menginsafkan saya ketika itu,” katanya yang mengakui kerjaya polis banyak membentuk diri untuk menjadi lebih dekat dengan masyarakat serta memahami mereka.
Dalam kerjaya, Robiah sangat mengagumi Deputi Komisioner Polis yang sudah bersara, Datuk Zakiah Laidin atas kemampuan, kecekapan dan kewibawaan dalam melaksanakan berbagai tugas kepolisan.
Dia banyak memberikan dorongan kepada polis wanita di Malaysia untuk bergerak aktif setanding dengan polis lelaki.
“Saya berharap keupayaan wanita dalam bidang ini tidak berhenti setakat ini saja. Ini kerana sekiranya wanita itu sendiri menunjukkan kecekapan dan prestasi yang tinggi, mereka tidak akan ketinggalan untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran.
“Paling penting apa saja dilakukan harus ada keikhlasan dan kejujuran. Sekiranya apa saja tugasan dilakukan dengan bersungguh-sungguh, tidak mustahil kejayaan akan menjadi milik kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: