Saturday, July 2, 2011
Representasi 3 jiwa
Di antara tiga wajah ini, Nabila Huda antara paling senior dalam bidang lakonan diikuti Wan Sharmila dan Azam Pitt. Namun tiada apa yang dapat membezakan pengalaman itu apabila menonton drama bersiri terbaru Sijundai. Drama yang disiarkan menerusi saluran TV3 ini menghiasi slot Lagenda.
Kali pertama digandingkan bersama membuatkan mereka semakin akrab dan lebih mengenali antara satu sama lain. Tidak wujud siapa senior dan siapa junior. Itulah yang dipegang oleh mereka.
Bertemu tiga bintang ini sewaktu sidang media pelancaran drama Sijundai di Bora Ombak, Ampang, ternyata masing-masing ada kekuatan tersendiri.
Tidak hairanlah, mereka sudah punya platform kukuh dalam arena lakonan tempatan. Pun begitu ketiga-tiga mereka tidak mahu cepat melatah dan berusaha untuk terus memantapkan kerjaya lakonan mereka.
Nabila sukar buat jahat
Ramai yang sudah tahu bakat lakonan Nabila Huda. Berilah apa sahaja jenis watak, pasti tidak akan dihampakan. Membawakan watak Seri di dalam Sijundai benar-benar menguji dirinya.
Bercerita mengenai wataknya dalam siri tersebut, Nabila Huda atau lebih mesra dengan panggilan Abil ini mengakui ia tidak seperti watak-watak antagonis yang pernah dilakonkan sebelum ini.
“Ini merupakan kali pertama saya bawa watak pengamal ilmu hitam yang bernama Seri. Saya perlu banyak bermain dengan emosi dalam drama ini.
“Saya perlu sentiasa ada rasa dendam, dengki dan marah. Nak kata jahat sangat tu tak adalah, tapi saya akan pastikan apa sahaja yang saya hajati akan tercapai. Jika tidak, saya akan gunakan ilmu yang ada untuk mengenakan orang,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran membawakan watak sebagai Seri, Abil berkata, adegan memegang seekor burung gagak hitam dan membelah dadanya untuk adegan jampi adalah cabaran terbesar buatnya.
“Saya memang takut untuk pegang burung gagak. Inikan pula kena membelahnya. Berkali-kali jugalah saya cuba, tapi memang susah sangat.
“Takut kena patuk dan macam-macam lagi yang saya fikirkan. Tapi, saya perlu memberanikan diri dan Alhamdulillah saya dapat menghabiskan babak itu,” katanya yang sukar untuk menghafal jampi serapah dan langkah penyediaan bahan untuk proses menjampi.
Sedia kongsi ilmu
Bergandingan dengan pelakon baru tidak memberi masalah kepadanya malah berasa seronok kerana dapat berkongsi pengalaman yang ada pada dirinya.
“Saya tak rasa diri saya ni terlalu hebat. Sebagai orang seni, tidak boleh sentiasa berpuas hati dengan lakonan yang ada. Saya akan sentiasa memperbaiki dan meningkatkan prestasi diri dalam bidang ini.
“Saya selesa dengan Azam. Memang dia baru tapi dia sangat berbakat dan saya berharap dia akan terus kekal dalam dunia seni lakonan ini. Wan Sharmila sendiri ada karisma sebagai pelakon. Dia hebat dan saya seronok dapat bekerja dengan mereka berdua.
“Sepanjangan penggambaran, kami saling bertukar pendapat. Mereka juga tak ada rasa segan dan kami boleh bekerja dengan baik. Kami saling membantu untuk menjadikan drama ini yang terbaik,” katanya yang tidak pernah memilih watak.
“Alhamdulillah, setakat ini, saya sentiasa diberikan watak penting dan mencabar. Saya tidak rasa diri saya hebat dan berpengalaman kerana setiap watak yang diberi, saya juga akan sedaya upaya menjiwainya agar ia tidak kaku,” katanya yang akan menjalani penggambaran drama terbarunya berjudul Kesuma Jiwa terbitan RTM pada 16 Julai depan.
Mengakui jadual lakonannya yang semakin padat, Abil tidak menafikan kurang waktu bersama puterinya Keisya Laila yang kini berusia setahun.
“Saya sentiasa mencari ruang untuk lebih lama bersama Keisya. Tapi apakan daya, ada sahaja tawaran yang datang dan saya anggap ini sebagai rezeki.
“Tapi, setiap kali ada cuti, saya akan gunakan masa yang ada sebaik mungkin untuk bersamanya dan keluarga. Saya akan pastikan, sebelum ke lokasi, saya sudah sediakan makanan untuknya.
“Saya tak akan lepaskan tanggungjawab sebagai ibu kepada orang lain. Walaupun sibuk di lokasi, saya akan selalu menghubungi dan bertanya kepada suami mengenai Keisya,” katanya yang tidak merancang untuk menambah bilangan anak buat masa ini.
Wan Sharmila tak mahu terburu-buru
Tidak sah cerita kerjaya tanpa cerita peribadi wanita ini. Biarpun pernah gagal dalam perkahwinan, namun bagi Wan Sharmila, itu bukan penghalang untuknya terus mencapai cita-cita.
Mengakui semakin sibuk dengan bidang lakonan dan pengacaraan, Wan tidak kisah andai kisah perkahwinan menjadi topik paling akhir dalam diari hidupnya.
Bercerita mengenai Sijundai, Wan seronok kerana dapat membawakan watak seorang gadis yang berdepan dengan ilmu hitam dan tahayul.
“Saya suka dengan jalan cerita drama ini. Saya ada asas dalam tarian tapi, bukan menari biasa. Saya perlu menari dalam keadaan jiwa yang sedang dirasuk. Kalau mendengar tiupan seruling, langkah tari saya lemah gemalai, tetapi apabila sudah diganggu oleh makhluk halus perbuatan khianat Seri (Nabila) tarian saya lebih agresif,” katanya.
Tambahnya, melakonkan watak Sarah tidak semudah yang dijangka kerana dia perlu melawan rasa gayatnya apabila terpaksa melakukan adegan terjun dari jambatan ke sungai.
“Saya menangis pada hari penggambaran tu. Saya memang takut dengan ketinggian. Bila dapat tahu kena terjun, rasa kaki tak jejak tanah. Saya perlu panjat jambatan tu dan saya rasa takut sangat.
“Walaupun disediakan pelakon pembantu, tapi saya rasa bertanggungjawab terhadap lakonan saya dan mencubanya juga. Walaupun gayat saya tetap teruskan juga,” katanya yang turut mengalami kecederaan di tapak kaki kirinya sewaktu aksi tarian atas kaca.
Belajar jadi pengacara
Bakal muncul dengan drama Boona Boonie di TV9, Wan juga sebenarnya meminati bidang pengacaraan. Walaupun berpengalaman mengacara rancangan Klik Klik Asean dan Ringgit Remaja, namun mengacara program realiti Pentas Dikir merupakan pengalaman baru buatnya.
“Saya tak sangka akan terpilih untuk mengacara rancangan ini. Rasa beruntung kerana diberi kepercayaan ini. Ia bukan satu kerja yang mudah. Lagi-lagi digandingkan bersama Nabil Raja Lawak yang sudah biasa menjadi pengacara.
“Sebagai orang baru, saya hanya lakukan yang terbaik. Saya banyak buat kajian sebelum memulakan aksi. Biarpun ini rancangan rakaman, tapi ada penonton di studio dan debarannya sama sahaja dengan siaran langsung.
“Saya akui, memang banyak kelemahan saya, tapi saya pastikan ia akan ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya yang meminati Aznil Nawawi dan berharap akan menjadi seperti idolanya itu suatu hari nanti.
Azam harap diterima
Bagi pendatang baru, Azam Pitt atau nama sebenarnya, Ahmad Azam Pit bergandingan dengan Wan Sharmila dan Nabila Huda memberikan banyak pengalaman baru kepadanya.
Agak gementar untuk menerima watak Edy kerana tidak yakin dengan kemampuannya memandangkan dirinya masih baru, Azam punya cara tersendiri berlatih mendalami watak Edy.
“Saya banyak menerima pandangan kawan-kawan. Saya juga cuba berlatih di depan cermin sebagai satu cara untuk memberi keyakinan kepada diri. Tidak pernah segan untuk bertanya juga antara perkara selalu saya lakukan.
“Walaupun masih baru, saya tak mahu nampak kaku di depan pelakon yang lain. Saya sentiasa bertanya kepada Wan Sharmila, Nabila dan pengarah mengenai watak saya. Ada juga saya memberikan idea saya untuk mencantikkan watak Edy. Mereka menerima pandangan saya dan dari situ saya lebih berkeyakinan,” katanya.
Azam berterima kasih kepada berkata akan terus memantapkan dirinya agar dapat menjadi seorang pelakon yang bermutu seperti idolanya Johnny Depp.
Bercerita mengenai watak Edy, Azam berkata, watak sebagai pelajar yang jatuh cinta dengan Sarah meninggalkan kesan terhadap dirinya.
“Pada hari pertama berlakon, saya rasa sangat gementar. Skrip yang ingat pun boleh lupa bila kali pertama tu. Macam-macam yang terpacul di fikiran saya. Perasaan takut, berdebar dan macam-macam kerana mereka berpengalaman dan saya masih ‘hijau’ dalam industri ini.
“Bila dah masuk hari ketiga dan seterusnya, saya sudah boleh membiasakan diri. Mereka banyak membantu saya ketika penggambaran,” katanya yang sebelum ini pernah berlakon dalam filem pendek Chu Kang dan drama Kala Terbit Cinta bersama Fauziah Gous dan Ady Putra.
Dulu penyanyi, sekarang pelakon
Minat dalam bidang seni sudah terbit daripada jejaka yang berasal dari Kuching, Sarawak ini. bermula dengan menyertai Bintang RTM dan MyStarz LG beberapa tahun lalu, Azam mahu menjadi penyanyi yang berjaya.
Puas mencuba, namun Azam kecewa kerana bakat nyanyiannya dipandang sepi. Lama menanti, akhirnya Azam mengorak langkah sebagai pelakon.
“Saya minat menyanyi. Dari kecil dah bercita-cita nak jadi penyanyi. Saya masuk pelbagai uji bakat. Tapi, entah di mana silapnya, saya tak terpilih.
“Saya tunggu juga, manalah tahu ada tawaran untuk saya. tapi, tak ada. Kerana tu saya cuba bertukar bidang. Ketika saya ditawarkan untuk slot Lagenda, saya memang tak fikir panjang. Saya tahu, ramai yang menonton slot Lagenda. Sebab itulah saya sifatkan Si Jundai merupakan jatuh bangunnya saya dalam dunia lakonan.
“Jika Sijundai tidak menarik minat penonton, ia turut memberi impak kepada saya. Saya sendiri masih tidak berpuas hati dengan lakonan saya dan perlu banyak dibaiki lagi selepas ini,” katanya yang berharap dirinya akan diterima seperti pelakon lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: