Sunday, July 17, 2011

Pesona pelangi di Suan Phueng


Permandangan sekitar kawasan Suan Pheung, Ratchaburi, Thailand.


APABILA sebut Thailand, segera terlintas di fikiran kita mengenai reputasinya sebagai destinasi pelancongan umpama 'syurga di muka bumi'.

Bagi rakyat Malaysia, gambaran lazim yang mungkin muncul dalam kotak fikiran tentang negara yang kaya dengan senyuman itu ialah pusat hiburan dan kelab-kelab malam di Bangkok.

Pun begitu, kegemilangan syurga di muka bumi bukan setakat tempat istirahat atau berpeleseran pada waktu malam. Thailand sebenarnya menawarkan pelbagai produk pelancongan termasuklah destinasi menarik di sekitar pinggiran kota metropolitan Bangkok.

Salah satu lokasi yang mungkin belum diterokai di kalangan rakyat Malaysia ialah kawasan peranginan Suan Pheung, wilayah Ratchaburi.

Penulis yang baru-baru ini berkesempatan mengunjungi beberapa destinasi pelancongan pinggiran Bangkok nyata kagum dengan keindahan persekitaran di situ.

Terletak di sempadan Thailand-Myanmar, kira-kira 150 kilometer di bahagian barat Bangkok atau dua jam perjalanan melalui jalan darat, ia menyediakan permandangan cukup tenang, harmoni dan romantik.

Suan Phueng dalam bahasa Thai bermaksud taman lebah merupakan salah satu daripada 10 daerah dalam wilayah Ratchaburi.

Sesuai dengan kedudukannya yang dikelilingi banjaran Gunung Tanaosi, lebih daripada 70 buah resort dan homestay milik penduduk setempat menawarkan penginapan yang mendamaikan.

Di samping itu, banyak juga rumah penginapan dibina berasaskan tema kehidupan petani atau peladang ala New Zealand, Mediterranean atau Eropah.

Binaan resort di Suan Pheung menggabungkan ciri-ciri kehijauan semula jadi dan dihiasi dengan padang ragut yang luas. Ia turut dimeriahkan dengan kegiatan perladangan seperti menternak kuda, biri-biri, lembu dan kambing.

Peluang menginap di situ, pastinya mempesona bagi mereka yang inginkan ketenangan atau lari daripada kesibukan kota.

Terdapat pelbagai aktiviti disediakan di Suan Phueng. Antaranya, melawat pusat membuat lilin wangi, mandi air panas, jungle tracking, night walk dan seumpamanya.

Pusat membuat lilin wangi dikenali sebagai Barn Hom Tien. Di situ, para pengunjung berpeluang meninjau cara-cara membuat lilin wangi yang berwarna-warni dan trendy.

Sementara pusat rekreasi air panas Bo Khlueng pula menawarkan persekitaran indah untuk dikunjungi.

Caj yang dikenakan cukup berpatutan iaitu 5 Baht (50 sen) untuk bayaran pintu masuk dan 80 Baht (RM8) untuk berendam air panas bagi setiap pengunjung dewasa serta 50 Baht (RM5) kanak-kanak.

Suhu air panas setiap kolam adalah sekitar 45 hingga 50 darjah celcius.

Bagi mendekatkan orang ramai dengan aktiviti perladangan, mereka yang berkunjung ke daerah Suan Pheung turut berpeluang menjalani kehidupan sebagai petani.

Untuk itu, salah satu resort yang wajib dikunjungi ialah Scenery Resort. Pelbagai aktiviti berasaskan perladangan ditawarkan di situ. Antaranya, menternak biri-biri, acara memanah, kayak ataupun menaiki helikopter bagi menyaksikan pemandangan indah Suan Phueng.

Kunjungan ke Suan Phueng dianggap tidak lengkap sekiranya tidak bermalam di situ. Pelancong boleh memilih menginap di salah satu daripada 70 resort yang menawarkan harga antara 1,200 hingga 4,000 Baht (RM120 hinga RM400) sebilik semalam.

Bagi malam itu, penulis menginap di Nagaya Resort. Bilik-bilik penginapan di resort berkenaan dibina dengan gabungan konsep tropika dan trendy.

Keesokan harinya, penulis bangun di awal pagi untuk menghirup udara nyaman sekitar Nagaya Resort. Nasib memang menyebelahi kerana ketika bersiar-siar di hadapan calet, mata tertancap pada pelangi cantik di kaki langit.

Berjam-jam lamanya penulis menikmati keindahan itu dan sempat mencapai lensa merakam gambar sebagai kenangan. Akhirnya, apabila matahari meninggi dan pelangi hampir hilang dari pandangan, penulis pun berangkat untuk pulang dengan satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Semasa dalam perjalanan pulang, penulis sempat singgah di salah sebuah resort di Suan Pheung yang cukup unik. Tempat itu ialah Rock Land Resort @ Suan Phueng Resort.

Kelainan yang terdapat dalam resort tersebut ialah calet-calet yang dibina berkonsepkan animasi kesukaan ramai, Flinstones.

'Yabba-Dabba-Doo!' Setiap chalet di situ dibina dengan watak-watak popular seperti Fred, Barny, Dino, William dan Betty.

Selain reka bentuk menarik dan penuh dengan fantasi, bilik-bilik yang ditawarkan juga menakjubkan. Pengunjung terutama yang membawa bersama anak-anak kecil mereka pasti teruja.

Berdasarkan makluman kakitangan resort, harga yang ditawarkan adalah sekitar 2,000 hingga 4,000 Baht (RM200 hingga RM400) setiap bilik semalam. Resort ini sebenarnya dibuka tidak sampai enam bulan.

Bagi mereka yang tidak menginap di situ, tidak perlu khuatir kerana pihak pengurusan membenarkan orang ramai bersiar-siar dan mengambil gambar di sekitar resort.

Apa pun, bagi penulis, Suan Phueng merupakan satu lagi destinasi yang harus dikunjungi jika berkesempatan melawat Bangkok. Sesungguhnya, ia menawarkan pengalaman menarik dan menakjubkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: