Saturday, July 2, 2011

Penyatuan muzik Budi, Brenda


BRENDA menangguhkan pengajiannya dalam bidang pergigian demi mengasah bakat nyanyiannya terlebih dahulu.


SYAHBUDIN SYUKUR, 23, atau Budi dan Brenda Anura Lundo Jamin, 17, mungkin nama yang masih kurang bisanya untuk menyengat pendengar di Malaysia atau Indonesia.

Namun, bagi pelantun lagu Inikah Cinta dan Do Re Mi, Budi menyatakan kesediaannya menyumbang bakti dalam bidang seni suara.

"Selepas single pertama Do Re Mi, saya serahkan kepada peminat di kedua-dua buah negara Indonesia dan Malaysia untuk menilai kualiti karya saya itu," kata Budi, anak kelahiran Indonesia itu ketika ditemui usai majlis pelancaran filem Gerimis Mengundang di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya yang pernah bergerak bersama grup After Close di Indonesia selama empat tahun, keputusannya untuk bergerak secara solo dirasakan lebih serasi dengan jiwanya.

"Saya bisa memperlihatkan kelebihan diri apabila mula bergerak solo.

"Kini sudah lebih 30 buah lagu berjaya saya hasilkan, bermula daripada penulisan lirik hingga penciptaan lagu," katanya yang sudah menamatkan pengajiannya dalam bidang teknologi maklumat di Dharmajaya, Bandar Lampung, Sumatera Indonesia.

Mencetus genre pop-reggaeneration, tuturnya, konsep muzik berentak catchy dan segar itu semakin menjadi ikutan dan trend semasa.

Namun, atas dasar cintanya dalam bidang muzik, cita-citanya untuk menyambung pelajaran dalam bidang seni dipendam buat sementara waktu untuk meluahkan segala yang terpendam buat peminatnya di kedua-dua negara.

Hampir sama kisahnya dengan penyanyi baru yang dicungkil bakatnya oleh Erama Creative Sdn. Bhd. menerusi Pertandingan Nyanyian Suara Emas JPNIN di Sabah tahun lalu.


BUDI yang sebelum ini menganggotai grup After Close kini lebih aktif berkarya selepas bergerak secara solo.


Dikomersialkan namanya sekadar Brenda, peluang mengikuti pengajian dalam jurusan pergigian dilupakannya seketika walau sentiasa berkalung penyesalan.

"Saya meraih tawaran dalam bidang pergigian di Matrikulasi Labuan, tapi mengorbankan pelajaran untuk terus setia dalam bidang nyanyian atas dasar minat," bicara gadis manis kelahiran Sabah itu.

Bakatnya juga mula dikesan melalui YouTube apabila lagu duetnya bersama S. Welly berjudul Pinirubaan Mogowit Piupusan (bermaksud pertemuan membawa percintaan) dimuat naik dalam laman sesawang itu.

Mula berjinak-jinak dalam bidang seni suara sekitar usianya 13 tahun, Brenda kini sudah punyai single sendiri berjudul Mulut Longkang.

"Am-pop merupakan genre pilihan saya, selain menyanyi saya juga minat menari dan lagu yang dicipta oleh Jasni Mohd. ini amat serasi dengan jiwa saya," jelasnya yang menjadikan penyanyi Filipina, Charice Pempengco sebagai idolanya.

Bakat Budi dan Brenda kini disatukan pula menerusi lagu Gerimis Mengundang yang disusun semula untuk dijadikan runut bunyi filem Gerimis Mengundang hasil kolaborasi Erama Creative Sdn. Bhd. dan Excellent Pictures.

Kata Budi pula: "Adalah satu penghormatan bagi saya untuk menyanyikan lagi Gerimis Mengundang yang punyai pesonanya sendiri dan kini terbukti bahawa lagu merupakan bahasa universal yang menyatukan dua buah negara."

Selain itu, sebuah lagu baharu berjudul Manusia Biasa turut dinyanyikan oleh Brenda dalam filem yang akan memulakan penggambaran di Sabah dan Jakarta itu tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: