Monday, July 18, 2011

Pemimpin pelajar UIAM ke Australia


PESERTA rombongan bergambar kenangan di dewan utama Royal Melbourne Institut Of Technology University, Australia semasa mengadakan lawatan ke negara itu baru-baru ini.


USAHA untuk mendedahkan pemimpin-pemimpin pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan budaya luar negara terus dipergiatkan dalam usaha untuk menjana pemikiran yang lebih kreatif, kritis dan berpandangan jauh serta mewujudkan budaya pengantarabangsaan di kalangan warga kampus di negara ini.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini bahagian pembangunan pelajar UIAM menganjurkan program pengantarabangsaan dengan menganjurkan lawatan akademik ke Australia.

Bersesuaian dengan moto Taman Ilmu dan Budi dan misinya Keislaman, Integrasi, Pengantarabangsaan dan Kecemerlangan Menyeluruh, pemimpin siswa UIAM perlu mengorak langkah melengkapkan ilmu dan pengetahuan di sebelum melangkah ke dunia kerjaya yang sebenar.

Antara objektif lawatan itu ialah mewujudkan platform bagi mengadakan aktiviti, program dan interaksi di peringkat antarabangsa.

Sepanjang lawatan akademik itu, antara tempat yang dilawati ialah Universiti La Trobe, Royal Melbourne Institut Of Technology University (Universiti RMIT) dan Universiti Swinburne.

Turut dilawati ialah Dewan Malaysia Melbourne dan Sydney serta Pejabat Konsulat Malaysia di New South Wales, Australia.

Menurut Pengarah Program, Hazman Sapawi, seramai 13 pelajar yang terdiri daripada barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan persatuan terlibat dalam aktiviti itu.

"Lawatan ini memberi peluang kepada pelajar UIAM untuk mengetahui sistem akademik di Australia secara amnya dan secara khususnya.

"Kita didedahkan dengan teknologi kejuruteraan dan inovasi di Australia seterusnya melihat perkembangan industri dan institut pengajian dalam konteks ilmiah di negara itu," katanya.

Sementara itu, ketika mengadakan lawatan ke pejabat Pejabat Konsulat Malaysia, pelajar juga dapat berinteraksi terus dengan wakil Malaysia dan mengadakan perbincangan mengenai isu-isu semasa yang membabitkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Australia.

1 comment:

  1. berapa kos pergi ke sana..saya merancang hendak membawa students saya pg sana

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: