Friday, July 1, 2011

Nazira teruskan amanat Bayu

Perkenalan yang tidak pernah dijangka. Itulah bermain di kotak fikirannya apabila bertemu dengan penulis lirik, Allahyarham Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik.

Bagi Nazira, itulah titik permulaan karier seninya, apabila Bayu sanggup menjadi sifunya. Namun tidak sampai sebulan berguru, insan disanjungnya pulang ke-rahmatullah.

“Kami mula berkenalan sekitar Disember tahun lalu. Ketika itu, saya menyertai Pertandingan Bintang Kecil Kategori Remaja di Tasik Idaman, Bangi, dan Ayah Bayu (gelaran Bayu) hadir sebagai penonton.

“Rezeki berpihak pada saya, setelah dipilih sebagai juara pertandingan itu. Seminggu selepas itu, Ayah Bayu menghubungi saya dengan tujuan untuk menjadikan saya sebagai anak didiknya,” kata pemilik nama sebenar, Nazira Abdul Ghani, 16 tahun.

Akui begitu teruja dengan tawaran itu, Nazira meminta kebenaran ibu bapanya dan bermulalah sesi latihannya bersama penulis lirik yang terkenal itu. Malah status kesihatan Bayu juga tidak menghalangnya untuk menuntut ilmu nyanyian bersama komposer itu. Bagi Nazira, dia begitu yakin dengan kredibiliti yang ada pada Bayu.

“Dari Port Dickson, saya ke Seri Kembangan untuk latihan nyanyian bersama Ayah Bayu. Memandangkan saya masih bersekolah, saya tiada masa cukup untuk latihan.

“Walaupun Ayah Bayu tidak boleh bertutur secara jelas ekoran masalah kesihatannya, tapi saya masih boleh memahami melalui gerak mulutnya,” katanya yang telah berjinak dalam pertandingan nyanyian seawal usia sembilan tahun lagi.


Giat promosi ‘Sebelum Aku Pergi’

Mendukung amanat daripada Allahyarham Bayu yang pergi pada 2 April lalu, Nazira nekad untuk meneruskan perjuangan sifunya itu dengan menerbitkan album ‘Sebelum Aku Pergi’, hasil nukilan terakhir Bayu.

“Walaupun bimbingan daripada Ayah Bayu hanya seketika, namun dia sempat mencipta lagu untuk saya. ‘Sebelum Aku Pergi’ adalah kisah mengenai kehidupan Ayah Bayu sendiri.

“Dia juga beria-ria mahu mempercepatkan proses rakaman lagu itu. Seolah-olah dia sudah mengetahui hayatnya semakin singkat,” katanya yang bernaung di bawah produksi keluarganya sendiri, Media Five Management.

Menurut Nazira, lagu itu sudah pun dihantar ke beberapa stesen radio untuk diperdengarkan pada orang ramai. Maka, besarlah harapannya agar lagu itu dapat mendapat tempat di hati peminat.

Dalam perkembangan lain, Nazira memberitahu, dia juga kini banyak menerima tawaran persembahan. Namun komitmennya sebagai pelajar membatasinya menerima tawaran.

“Saya hanya menerima persembahan pada hujung minggu dan di sekitar Negeri Sembilan sahaja.

“Setiap kali persembahan, saya akan nyanyikan lagu Ayah Bayu. Selain sesuai dengan jiwa saya, ia juga sesuai dengan selera penonton yang menggemari genre Balada,” kata Nazira yang merupakan artis residen untuk Tiara Beach Resort, Port Dickson.


Belajar dan menyanyi seiring

Menguruskan dua komitmen dalam satu masa adalah sesuatu yang sukar memandangkan usianya yang masih ‘hijau’.

Nazira akui, dia terpaksa mengorbankan masa dengan latihan nyanyian dan waktu persekolahan.

“Minat saya dalam bidang nyanyian sudah lama, dari kecil lagi. Jadi, saya harus mengorbankan masa yang ada untuk merealisasikan impian saya.

“Tapi ia tak bermakna, saya harus abaikan pelajaran. Kedua-duanya sama penting dan saya inginkan yang terbaik,” katanya yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pada tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: