Saturday, July 2, 2011

Litar Kart SIC dilancar


SEBANYAK sebelas selekoh mencabar menanti pemandu.


LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini melancarkan kemudahan Litar Kart Antarabangsa Sepang yang berwajah baru. Pelancaran itu bertujuan menjadikan SIC sebagai lokasi acara korporat dan hiburan, di samping berperanan selaku litar sukan bermotor kelas dunia.

Litar go-kart yang menerima sentuhan pereka litar Formula Satu (F1), Hermann Tilke tersebut mengalami beberapa penambahbaikan seperti penghadang tayar, penggantian permukaan litar dan pemasangan sistem saliran yang baru.

Dengan jarak sepanjang 1.247 kilometer dan lebar 10 meter, litar itu dilengkapi sebelas selekoh mencabar. Tar pada permukaan litarnya adalah sama seperti yang digunakan untuk litar utama Sepang.

Seiring dengan pelancaran semula litar berkenaan, ia turut melibatkan pelantikan operator baru iaitu City Karting Events Sdn. Bhd. (City Karting). Syarikat yang memiliki pengalaman dalam industri lebih 30 tahun itu akan mengurus litar tersebut bersama SIC. Beberapa jentera go-kart baru juga dibawa masuk. Antaranya ialah go-kart dua tempat duduk untuk ibu bapa dan anak.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, penambahbaikkan litar tersebut adalah sebahagian usaha pihaknya untuk memberi perkhidmatan nilai tambah, selain mempromosikan sukan perlumbaan di negara ini.

"Litar go-kart merupakan tempat terbaik serta pilihan selamat untuk pemandu baru dan remaja berjinak-jinak dalam perlumbaan. Go-kart juga membantu mereka mengasah bakat, membina semangat kesukanan dan persaingan.

"Malah juara F1 seperti Sebastian Vettel dan Lewis Hamilton bermula dengan pembabitan dalam sukan go-kart. Tidak lupa juga pemandu lumba tempatan seperti Fairuz Fauzy dan Nik Iruwan Nik Izani," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: