SELEPAS kehidupannya dirantai, kini Farawahida Razali (Fara), 26, terasa dirinya lepas bebas bak burung terbang di langit biru. Tiada siapa lagi dapat menghalang langkahnya dan memutuskan apa yang perlu dilakukan. Dia berhak melakukan apa saja mengikut kemahuan hati.
Pun begitu, Fara tidak menyesal dengan apa yang berlaku kerana banyak hikmahnya. Baginya pengalaman lalu adalah pengajaran terbaik buatnya apabila dia mahu memulakan buku baru hidup dan kerjaya seni. Walaupun sudah lima tahun berada dalam arena seni suara namun apabila terpaksa bergerak sendirian sekarang, Fara terasa seperti orang baru kerana perlu belajar segalanya mengenai industri ini.
“Dulu semua orang buatkan, saya menurut saja tanpa banyak cerita. Mulut ini bagaikan terkunci. Sekarang saya buat semua sendiri dan memang agak susah tetapi saya bebas memilih jalan hidup sendiri, hendak menyanyikan lagu apa dan hendak pakai baju apa. Ke mana saya hendak pergi, dengan siapa saya berkawan dan saya juga bebas memilih jurusolek untuk mana-mana sesi fotografi.
“Kalau dulu saya juga masih tercari-cari imej tetapi sekarang saya tahu apa yang dimahukan. Gaya apa yang perlu dicuba dan pereka fesyen mana yang saya suka. Bukan seorang dua tetapi ramai yang kata, penampilan saya sudah lain dan wajah juga semakin berseri serta kelihatan lebih segar.
“Saya tunjuk gambar yang saya rakam pada sesi fotografi hari ini (minggu lalu), emak pun kata rupa saya nampak lain, ceria dan bersemangat. Saya juga semakin yakin diri dan bebas bercakap apa saja dengan media. Saya boleh membeli-belah bila-bila masa saya suka. Leganya sekarang.“Walaupun saya hanya menerima undangan menyanyi di persembahan yang biasa saja tetapi saya bersyukur kerana dapat pegang duit sendiri. Paling utama dapat beri duit pada orang tua serta adik-adik. Sebelum ini ada bagi juga saya bagi pada emak tetapi tidaklah seberapa.
“Alhamdulillah, saya juga sudah mampu bawa keluarga pergi bercuti dan melayan kemahuan adik-adik. Ini semua berkat doa emak,” katanya.
Tambah Fara, ibu adalah orang yang paling rapat dengannya. Bak kata pepatah, kalau cubit paha kiri, paha kanan turut terasa sakitnya. Selama ini katanya, ibu yang tinggal bersama di Kuala Lumpur (KL) dan amat memahami apa yang dilaluinya.
“Emak sanggup temankan saya di KL dan tinggalkan ayah bersama adik di Taiping. Hati ibu mana yang sanggup mendengar pelbagai fitnah dan tohmahan yang dilemparkan sewenang-wenang terhadap anaknya? Emak sentiasa bersama, tahu saya macam mana dan aktiviti seharian saya. Tetapi apa daya emak untuk menahan orang lain daripada terus mencerca anaknya.
“Perkara itu sudah pun berlalu dan saya tidak berdendam dengan sesiapa. Asal saja hidup saya tidak diganggu lagi, ia sudah cukup baik. Hikmah dengan apa yang terjadi, saya menjadi manusia yang penyabar dan Allah SWT beri saya kekuatan untuk menghadapi hari muka,” katanya.
Antara yang Fara tak boleh lupa, dek kerana kontroversi panas itu, buat kali pertama wajahnya terpampang pada muka depan akhbar ini. Disebabkan cerita sensasi itu juga, wartawan mencarinya sampai ke rumah orang tuanya di kampung.
“Saya tidak pernah melarikan diri daripada sesiapa, cuma saya perlukan ketenangan. Waktu itu saya masih menyanyi dan langsung saya tidak menyusahkan emak dan ayah kerana masih ada pendapatan sendiri.
“Dengan duit sendiri juga saya ambil lesen memandu dan sampai sekarang saya menyewa rumah di KL dengan duit persembahan nyanyian. Apabila saya memperoleh ‘kebebasan’ dan berdikari, emaklah orang yang paling gembira. Doanya dimakbulkan Allah SWT.
“Sekarang saya tinggal bersama adik dan dapatlah emak duduk lama sedikit di kampung. Bagaimanapun, emak baru dapat cucu iaitu anak kakak yang bekerja di RTM (Radio Televisyen Malaysia). Sekarang emak ada di sini menjaga cucunya itu dan kalau kakak terpaksa bertugas di luar kota, emak bawa cucunya duduk di rumah saya.
“Dengan kehadiran cucunya itu, emak terpaksa berjauhan lagi dengan ayah. Emak dan ayah sanggup berkorban demi kami adik-beradik. Sewajarnya saya membalas kepayahan dan pengorbanan mereka selama ini. Syukur, tanpa menyanyikan lagu sendiri pun saya masih boleh mencari makan dalam industri ini, “ katanya.
Selepas berdikari, Farawahida dapat mengumpul wang. Maka terhasillah single pertamanya yang berjudul Jangan Tanya Aku Lagi. Lagu ciptaan Manusia Putih dan lirik oleh Naufal.
“Dua tahun saya tiada lagu baru. Apabila terbitnya single ini, ramai jemput saya membuat persembahan. Tidak boleh jarak terlalu lama, kini saya sedang mencari bahan untuk single kedua.
“Walaupun terpaksa mengeluarkan bajet sendiri, saya puas kerana dapat menyanyikan lagu yang disukai. Jangan Tanya Aku Lagi juga menjadi lagu tema drama Mata Air yang mengisi slot Lagenda TV3.
“Jika pada awal 2009, saya dilanda kontroversi tetapi pada penghujung tahun itu pula saya dapat tawaran berlakon teater Sinbad. Diikuti dengan filem Baik Gila arahan Mansor Yaakob yang akan ditayangkan penghujung tahun ini.
“Selepas itu ada lagi tawaran berlakon tetapi saya tidak mahu terima dulu kerana menunggu maklum balas penonton terhadap lakonan sulung saya itu. Andai kata maklum balasnya positif, barulah saya akan mempertimbangkan tawaran seterusnya.
“Namun begitu, tengok juga watak apa dan saya pun tidaklah mengimpikan watak yang luar biasa seperti orang gila atau mangsa rogol. Sebagai percubaan, saya mahukan watak yang hampir sama dengan karakter saya yang sebenarnya. Saya rela belajar dari bawah sebelum mampu mengambil watak yang lebih mencabar,” katanya yang baru saja menyiapkan klip video single itu.
Menyentuh perkara yang agak peribadi, Fara masih berkawan dengan buah hatinya dan berharap hubungan mereka berakhir dengan kebaikan.
“Kebanyakan kawan sekolah saya semuanya sudah berkahwin dan beranak-pinak. Insya-Allah moga perkara yang baik itu akan segera terjadi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: