|
|
SEBAGAI tanda sokongan terhadap acara anjuran Kosmo! bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), stesen radio, Sinar FM telah menjadi radio rasmi Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011 di DoubleTree by Hilton, The Intermark, Jalan Tun Razak pada 5 Julai ini.
Acara yang bakal berlangsung dari pukul 3 hingga 6 petang itu merupakan suatu simposium yang membincangkan tentang topik berjudul Pertahankan Hak, Perkukuhkan Seni Melalui Perlindungan Hak Harta Intelek. Panel simposium termasuklah tiga nama terkenal dunia hiburan tanah air iaitu Amy Search, Diana Danielle dan Aizat Amdan.
Ia sekali gus juga sebagai tanda menyokong para penggiat seni untuk lebih celik dalam menangani isu-isu hak intelek yang sememangnya penting untuk melindungi diri dari terus dibelenggu masalah hak cipta dan cap dagang.
Pengurus Program Sinar FM, Rostam Said berkata, adalah penting untuk stesen Sinar FM mengambil perhatian dan menguar-uarkan perkara ini di mana ia mengenai peranan dan hak-hak sebagai pelaku.
“Semasa ditawarkan oleh pihak Kosmo! untuk bekerjasama menjadi radio rasmi, saya rasa ia merupakan perkara yang baik.
“Program seperti ini bagus untuk beri kesedaran kepada para penggiat seni dan orang ramai kerana kita tahu masih ramai di luar sana yang masih tidak punya pengetahuan mengenai perkara ini.
Tambahnya: “Selain simposium, saya rasa perkara ini perlu dan pada masa yang sama, ia boleh diperluaskan lagi menjadi bengkel atau seumpamanya perlu diwujudkan hanya untuk beri kepada orang yang berminat,” ujar Rostam.
Tambahnya, sebagai pelaku sendiri di dalam industri ini, masih ramai lagi pemuzik, pelakon atau karyawan yang lain masih tidak faham atau tidak tahu sejauh mana hak-hak mereka sebagai seorang penggubah, pencipta, pelakon dan sebagainya.
|
|
Perkara ini sebenarnya penting untuk pengetahuan umum kerana mereka sebagai peminat juga harus ketahui hak-hak artis kegemaran mereka. Jadi, hak-hak mereka sebagai karya umum bukannya senang boleh digunakan begitu sahaja.
“Selain beri kesedaran kepada pelaku, kita juga harus beri kesedaran kepada orang ramai betapa penting dan bernilainya karya-karya yang dicipta dan untuk itu kita tidak boleh terus ambil begitu sahaja.
“Ini kerana umum masih kurang faham mengenai mengenai isu hak cipta ini, dan sebab itu mereka juga harus terlibat untuk sama-sama membanteras dan sekali gus membantu artis kesayangan mereka,” ujar Rostam yang turut memberitahu peraduan mencari 25 peminat bertuah yang berpeluang menyertai majlis tersebut di Sinar FM sejak Isnin lalu sudah menemui para pemenangnya.
“Para pemenangnya akan dihubungi Kosmo! tidak lama lagi,” ujarnya
Sementara menurut Moderator Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah berharap, dengan berlangsungnya simposium itu nanti pelbagai persoalan akan terjawab dan kata sepakat untuk membela golongan karyawan dapat dicapai.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Kuala Lumpur berkata: “Saya berharap Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO bersama akan menjadi satu gerakan serius dalam mempertahankan dan membantu golongan karyawan daripada artis sehingga pencipta untuk mendapatkan hak mereka.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: