Monday, July 11, 2011

Kampung Puom tiada liputan

 MUHAZROL  tercari-cari kawasan yang dapat menerima isyarat telefon  bimbit  di sekitar rumahnya di Kampung Puom, Jelebu.
MUHAZROL tercari-cari kawasan yang dapat menerima isyarat telefon bimbit di sekitar rumahnya di Kampung Puom, Jelebu.
Penduduk guna telefon bimbit terpaksa pergi ke kawasan tinggi

KUALA KLAWANG: Kebanyakan rumah tidak mempunyai telefon talian tetap, manakala liputan telefon bimbit pula amat teruk menyebabkan Kampung Puom di Titi dekat sini, yang mempunyai kira-kira 250 penduduk seperti berada di dunia lain.

Ini berikutan penduduk yang hendak menggunakan telefon bimbit, terpaksa menunggang motosikal ke kawasan tinggi berdekatan ladang getah atau terus ke Kampung Chennah sejauh lima kilometer yang mempunyai liputan baik.
Keadaan itu menyebabkan penduduk kampung perlu menghabiskan masa berjam-jam setiap kali hendak berkomunikasi dengan dunia luar kerana terpaksa mencari tempat yang sesuai.
Penduduk, Roslan Ibrahim, 43, berkata masalah liputan telefon mudah alih berlarutan sejak bertahun lalu dan hingga kini gagal mendapat liputan sepenuhnya apabila berada di kawasan rumah.

“Saya pernah dimasukkan ke hospital dan mahu memberitahu isteri dengan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kira-kira jam 10 malam, tetapi hanya diterima jam 6 pagi keesokan hari,” katanya ketika ditemui Sentral.

Roslan berkata, penduduk tidak mahu memasang telefon talian tetap dengan mendakwa kabel telefon di kampung itu sering putus akibat dihempap pokok tumbang atau dirosakkan haiwan.

Walaupun dibaiki, katanya masalah itu berulang beberapa hari kemudian dan pada masa sama, tetapi telefon tidak boleh digunakan sedangkan bayaran tetap bulanan tetap dikenakan.
Ejen hartanah, Muhazrol Muhamad, 30, yang tinggal di Kajang, Selangor, mengakui jarang berada lama apabila bertemu ibu bapanya di kampung ini.

Katanya, pekerjaannya menyebabkan dia perlu menggunakan telefon mudah alih setiap masa, tetapi untuk mendapatkan liputan yang baik, terpaksa pergi ke tempat tinggi atau keluar dari kampung.

“Masalah ini berlaku kerana tiada menara pemancar telefon mudah alih dan terpaksa bergantung kepada menara di tempat lain, iaitu Kampung Chennah. Jika menara pemancar didirikan di sini, saya rasa masalah ini tidak akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Puom, Baharom Nordin, mengakui masalah itu, tetapi meminta penduduk bersabar kerana sebuah syarikat telekomunikasi yang menyediakan perkhidmatan telefon mudah alih akan memasang menara di kampung itu.

Katanya, wakil syarikat itu datang ke kampung itu baru-baru ini, untuk melihat lokasi menara yang dijangka dibina bersebelahan Masjid Kariah Kampung Puom.

“Apabila siap, penduduk tidak lagi perlu panjat bukit atau keluar ke kampung jiran untuk menggunakan telefon bimbit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: