![]() |
| Fizan mempunyai pelbagai koleksi krochet dari perhiasan rumah hingga pakaian dan aksesori kanak-kanak serta bayi. |
IBU muda kepada tiga anak perempuan yang sedang membesar ini tidak perlu risau untuk melihat buah hatinya bergaya. Ketika ibu lain sibuk mencari apa yang sesuai di pusat beli-belah, dia hanya duduk di rumah menyelak majalah atau melayari Internet melihat fesyen terkini.
Kalau ada yang berkenan, dia pantas mencapai kotak ‘sakti’ yang mengandungi benang bulu kambing pelbagai warna dan alatan lain.
Tanpa berlengah, dengan jarum khas, jemarinya ligat mengait dari satu ikatan ke ikatan seterusnya dan hasilnya, satu produk untuk si comel kesayangan sudah berada di depan mata!
“Saya rasa lebih puas bila tengok anak-anak memakai pakaian, aksesori dan beg yang saya hasilkan sendiri. Malah baju kurung dan pakaian lain juga saya mampu jahit sendiri.
“Dengan menghasilkan sendiri, saya boleh tentukan saiz, warna dan rekaan mengikut cita rasa peribadi,” kata Norhafizan Wan Pani, 32 tahun.
Membahasakan diri sebagai Fizan, wanita berasal dari Perak itu berkata, bakat menghasilkan krochet sudah diasah sejak zaman kanak-kanak lagi. Seawal usia 11 tahun, dia telah menghasilkan satu alas meja dengan hanya melihat contoh yang disediakan ibu.
Walaupun ia hanya menggunakan teknik kaitan yang mudah, cubaan itu membuatkan dirinya terus jatuh cinta dengan seni kraftangan tersebut. Tidak cukup dengan bertanyakan ibu dan jiran-jiran yang mahir, dia mempelajari teknik krochet dari buku pula.
Namun minatnya itu terhenti sementara ketika melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia. Kesibukan mengejar ilmu selama lebih tiga tahun membuatkan dia melupakan seketika hobinya itu.
Walaubagaimanapun, selepas berumah tangga dan mengikuti suami yang bertugas di Kelantan, Fizan mula tercari-cari hobi bagi mengisi masa lapang.
“Waktu anak-anak masih kecil, saya tak tahu untuk berbuat apa-apa bila mereka tidur. Jadi saya pun cuba balik bakat yang terpendam lama tu. Saya mengait sepatu bayi (booties), sarung tangan (mitten) dan topi yang berwarna-warni,” katanya.
Selepas dipakaikan kepada anak, ramai pula rakan-rakan yang berminat bertanya dan ingin menempah daripadanya. Promosi dari mulut ke mulut itu tidak disangka mendapat sambutan sehingga membuatkan Fizan membuka blog kepada mereka yang berminat.
Selain pakaian untuk anak-anak, Fizan juga menghasilkan perhiasan rumah krochet seperti alas meja, alas cawan dan sebagainya.
Bagi wanita ini, seni itu boleh dijadikan sumber pendapatan terutama kepada mereka yang bergelar suri rumah sepertinya kerana ia mempunyai peminat yang tersendiri.
Menurutnya, walaupun pelbagai jenis hiasan rumah muncul di pasaran ketika ini, kehalusan seni krochet tetap diminati kerana kualiti dan keunikannya yang tersendiri.
Tidak menafikan adakalanya ia mengambil tempoh yang lama untuk disiapkan bergantung kepada jenis material dan rekaan yang diingini, namun tatkala melihat satu produk yang cantik siap di depan mata, Fizan sukar menggambarkan rasa gembira dan puas dengan kata-kata.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: