Monday, July 4, 2011

Kaedah Roche lebih berkesan

DR R KUNASEEGARAN...ujian baru lumuran Pap lebih sensitif kerana ia mengesan kehadiran virus HPV.
DR R KUNASEEGARAN...ujian baru lumuran Pap lebih sensitif kerana ia mengesan kehadiran virus HPV.
DR ABDUL RAZAK...usah bertangguh untuk jalani ujian.
DR ABDUL RAZAK...usah bertangguh untuk jalani ujian.

16 + 18 = 70 peratus. Eh, kira-kira apa ini? Jangan terperanjat. Ini sebenarnya kira-kira kanser pangkal rahim. Virus papiloma manusia (HPV) jenis 16 dan 18 (ditulis HPV16 dan 18) adalah penyebab kepada 70 peratus kes kanser pangkal rahim di dunia.

Wanita yang mengalami jangkitan HPV16 dan 18 mempunyai risiko 35 kali lebih tinggi berbanding wanita lain untuk mendapat kanser pangkal rahim.

Secara umumnya jangkitan ini tidak menunjukkan sebarang gejala, jadi ramai wanita tidak sedar virus ini ada dalam badan mereka. Inilah sebabnya pemeriksaan berkala seperti ujian lumuran Pap (Pap smear) sangat penting untuk mengesan sebarang tanda tidak normal pada sel di pangkal rahim.

Sejak ia diperkenalkan berpuluh tahun lalu, ia memang dapat membantu mengurangkan kes kanser pangkal rahim. Bagaimanapun, ujian lumuran Pap yang sedia ada kurang sensitif kerana kajian mendapati kira-kira 50 peratus kes prakanser tidak dapat dikesan.


Antara faktor yang menye�babkan perkara ini ialah berlaku perbezaan pada penilaian ujian lumuran Pap kerana keputusan ujian bergantung kepada kepakaran ahli patologi untuk melihat perubahan pada sel. Pendapat dua pakar patologi mungkin berbeza bagi satu sampel sel Malah, kerap juga berlaku pakar patologi tidak dapat membezakan antara sel normal dengan sel tidak normal dan kelewatan mengesan peringkat prakanser.


Bahkan, ujian lumuran Pap yang sedia ada kini hanyalah untuk melihat perubahan atau ketidaknormalan sel, tetapi ia tidak boleh mengesan kehadiran virus HPV.

Inilah sebabnya kes kanser pangkal rahim masih tidak menunjukkan penurunan walaupun kebanyakan wanita menjalani ujian lumuran Pap.

Ketua Jabatan Patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kolonel Dr R Kunaseegaran berkata, walaupun di Eropah ada sistem ujian lumuran Pap yang sangat baik, tetapi kajian mendapati kadar kanser pangkal rahim masih tidak berubah.

Apabila membaca laporan ini, janganlah ada wanita yang membatalkan hasrat menjalani ujian ini kerana ia masih sangat penting.

Bahkan kini ada ujian lumuran Pap baru yang lebih tepat dan sensitif kerana ia mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) virus HPV sebelum ia menyebabkan sebarang perubahan pada sel rahim.

Ujian DNA HPV ini lebih sensitif (95 peratus) berbanding ujian lumuran Pap biasa (55 peratus).

“Ujian ini direka untuk me�ngesan DNA virus HPV terutama HPV16 dan 18. Lebih menarik ia juga boleh mengesan kehadiran 12 lagi virus HPV yang berisiko tinggi secara berkumpulan.

“Wanita yang dikesan mengalami jangkitan HPV16 dan 18 akan disarankan untuk berjumpa doktor pakar bagi rawatan selanjutnya.

“Wanita yang didapati me�ngalami jangkitan HPV lain juga akan dirujuk kepada doktor pakar, tetapi rawatan diberikan kurang agresif berbanding kumpulan yang ada HPV16 atau 18,” katanya.

Berdasarkan kajian dilakukan di negara kita baru-baru ini, satu daripada 10 wanita yang diuji menggunakan ujian HPV Roche menunjukkan positif HPV16 atau 18 dan sudah mengalami peringkat prakanser walaupun keputusan ujian lumuran Pap mereka normal.

Kaedah ujian HPV baru ini sama seperti ujian lumuran Pap biasa, cuma ia menggunakan kit ujian yang lebih sensitif; secara tidak langsung dapat mengurangkan kesilapan manusia dalam proses pengecaman dan pengesanan. Ia mudah, cepat (keputusan boleh diperoleh dalam masa lima jam) dan pakar patologi berupaya menganalisis sehingga 280 sampel sehari.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Dr Abdul Razak, kanser pangkal rahim adalah kanser kedua paling lazim di kalangan wanita Malaysia.

Setiap tahun ia meragut lebih 600 nyawa di seluruh negara - kadar yang dua kali lebih tinggi berbanding negara maju seperti United Kingdom dan Belanda. Penyakit ini menyebabkan negara terpaksa menanggung beban perubatan sebanyak RM52 juta setahun.

HPV adalah jangkitan yang sangat biasa dan sehingga 75 peratus wanita mengalami jangkitan pada satu masa dalam hidup mereka. Kebanyakan jang�kitan dihapuskan oleh sistem imun badan sendiri, tetapi tahap penghapusan ini bergantung kepada kekuatan sistem setiap individu. Inilah sebabnya ada virus HPV yang mampu terus hidup dan menyebabkan perubahan pada sel pangkal rahim.

“Ada lebih 100 jenis HPV yang sudah ditemui dan 14 daripadanya dianggap berisiko tinggi untuk menyebabkan kanser pangkal rahim.

“Daripada 14 jenis ini, dua daripadanya iaitu HPV16 dan 18 paling berisiko menyebabkan penyakit yang meragut nyawa hampir 250,000 wanita di seluruh dunia setiap tahun dan 52 peratus kematian berlaku di Asia.

“HPV berisiko rendah yang tidak dapat dihapuskan badan boleh menyebabkan kutil atau ketuat pada kemaluan atau dubur (biasanya pada lelaki).

“Setiap wanita yang pernah melakukan hubungan seks atau mempunyai kehidupan seks yang aktif terdedah kepada HPV, terutama jika aspek kebersihan diri kurang dititikberatkan. Malah wanita yang hanya ada seorang pasangan pun boleh mendapat jangkitan HPV,” katanya.

Kanser pangkal rahim peringkat awal biasanya tidak mempunyai sebarang gejala dan inilah sebabnya ia dipanggil pembunuh senyap.

Apabila penyakit sudah merebak melampaui kawasan pangkal rahim, barulah gejala mula timbul seperti:

  • Pendarahan faraj.

  • Haid yang panjang dan lebih banyak berbanding biasa.

  • Kedatangan haid menjadi tidak teratur.

  • Pendarahan selepas menopaus atau ada lelehan faraj.

  • Sakit ketika mengadakan hubungan kelamin (biasanya kanser sudah sampai ke pering�kat kedua).


    Peringkat kanser pangkal rahim

    Menurut Persekutuan Ginekologi dan Obstetrik Antarabangsa (FIGO), kanser pangkal rahim ada lima peringkat:

  • Peringkat 0 - Karsinoma in situ (bentuk kanser paling awal yang ditakrifkan dengan ketiadaan serangan dari tisu sekeliling).

  • Peringkat 1 - Sel kanser menyerang pangkal rahim tetapi masih belum merebak.

  • Peringkat 2 - Kanser sudah merebak ke tisu sekeliling tetapi masih dalam kawasan pelvik.

  • Peringkat 3 - Kanser sudah merebak ke bahagian bawah faraj.

  • Peringkat 4 - Kanser sudah merebak ke organ berhampiran (dipanggil metastasis).


    Mengapa pengetahuan m�engenai HPV16 dan 18 penting?

  • Pengesanan awal dapat mencegah wanita mendapat kanser pangkal rahim (kerana kehadiran virus HPV dikesan sebelum ia menyebabkan perubahan pada sel). Kadar pe�nyembuhan sangat tinggi iaitu 98 peratus jika rawatan awal diberi secepat mungkin.

  • Melalui ujian lumuran Pap biasa, pendekatan yang diambil jika didapati ada perubahan kecil pada sel pangkal rahim ialah ‘tunggu dan lihat’ - sama ada perubahan ini berlaku cepat atau perlahan-lahan.

    Jika cepat, barulah rawatan akan diberikan.

  • Ia dapat mengurangkan keresahan wanita kerana mereka tidak perlu menunggu ujian lumuran Pap seterusnya. Jika didapati positif HPV16 atau 18, pesakit akan dirujuk kepada doktor pakar untuk rawatan selanjutnya.


    Tidakkah vaksin HPV men�cukupi?

    Tidak. Vaksin HPV memang boleh membantu melindungi gadis dan wanita daripada kanser pangkal rahim. Bagaimanapun, suntikan vaksin ini paling berkesan jika ia diambil sebelum wanita mengadakan hubungan seks buat kali pertama.

    Ia tidak melindungi wanita daripada jangkitan virus HPV yang sudah sedia ada ketika suntikan vaksin diambil. Malah wanita yang aktif seks diingatkan untuk menjalani ujian lumuran Pap secara berkala.

    “Langkah mengenal pasti kanser pangkal rahim peringkat awal sangat penting kerana dengan rawatan yang betul, kadar penyembuhan ialah 98 peratus. Apabila penyakit sudah menular menjadi kanser dan merebak ke organ lain, tidak sampai 20 peratus pesakit dapat hidup melebihi lima tahun. Jadi jangan bertangguh untuk jalani ujian kerana sikap itu hanya akan merugikan diri sendiri,” kata Dr Abdul Razak.

    Setakat ini, ujian baru HPV Roche dilakukan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan sebuah pusat perubatan swasta serta beberapa rangkaian makmal di seluruh negara termasuk Clinipath, Lablink dan Biolife Lab.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: