Wednesday, July 13, 2011

Jawablah!: Bukan kerana dendam

pix_gal0
Jika perdamaian yang diinginkan, biarlah ada hitam putihnya

KEMELUT membabitkan dua pelakon iaitu Lisdawati dan Nadia Mustafar nampaknya masih belum menampakkan penghujungnya. Biarpun tidak membabitkan sebarang pertikaman lidah antara kedua-duanya, namun berdasarkan apa yang ditegaskan pelakon berusia 32 tahun ini ketika dihubungi Hip petang Isnin lalu, kes saman fitnah itu masih berjalan seperti biasa walaupun ada berita mengatakan saman itu perlu ditarik balik berikutan tuntutan yang dibuat melebihi bidang kuasa Mahkamah Sesyen, iaitu tempat tuntutan itu dibuat.
Jelas isteri kepada pelakon dan pengarah Fauzi Nawawi ini, dia sendiri tidak dapat mengulas lanjut perkara ini kerana belum mendapat sebarang surat dan dokumen mengenainya. Malah, ketika bertanyakan hal itu kepada peguamnya, jawapan yang diterima ialah kes itu masih lagi diteruskan.
Ditanya apakah dia bersedia untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah sekali gus berdamai dengan Nadia, kata Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, dia tidaklah sekejam yang disangkakan dan bersedia untuk melakukan perkara itu.
Bagaimanapun, tegasnya perkara itu perlulah melalui prosedur yang betul dan ada hitam putih, iaitu melalui peguamnya kerana dia tidak mahu berlaku perkara berbangkit pada kemudian hari jika proses perdamaian itu dibuat dengan hanya cakap mulut semata-mata.

Hip: Bagaimana dengan kes saman yang dikatakan ditarik balik itu?

Lisdawati:
Apa yang boleh saya katakan, selepas merujuk perkara itu kepada pihak peguam, mereka mengatakan saman tetap berjalan dan tiada apa yang berubah. Cuma prosesnya saja berbeza. Saya minta maaf kerana tak boleh berikan lagi apa-apa komen. Saya sendiri kurang faham sangat pasal undang-undang, jadi biarlah peguam saya yang menyelesaikannya. Saya juga diminta oleh peguam untuk tidak memberi sebarang komen kerana bimbang berlakunya percanggahan maklumat.
Hip: Lis tahu yang Nadia ada buat sidang media baru-baru ini berkenaan penarik balikan saman itu?

Lisdawati:
Saya tahu pun menerusi akhbar dan ada beberapa wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan maklum balas berhubung isu itu. Saya tidak dapat memberikan ulasan lanjut kerana peguam tidak membenarkannya.

Hip: Dalam sidang media Nadia itu, dia ada menyatakan bersedia untuk berdamai dengan Lis jika itu yang Lis inginkan. Reaksi anda?

Lisdawati:
Kenapa perlu saya yang meminta maaf? Dia yang menjadi punca, jadi seharusnya dialah yang memulakannya. Tapi, jika benar dia mahu berdamai, biarlah perkara itu dilakukan dengan prosedur yang betul. Datang ke pejabat peguam saya dan kita bincang di sana. Saya buat begini bukannya tidak percaya ataupun berlagak, tetapi saya rasa dalam situasi seperti ini, adalah penting adanya hitam putih. Saya tak mahu berlaku perkara berbangkit ataupun cakap-cakap belakang timbul jika sesi perdamaian itu tidak mempunyai sebarang saksi. Lagipun, saya pernah menawarkan jalan penyelesaian sebelum ini tapi dia sendiri yang tidak pernah mahu mengambil peluang itu. Kalau terserempak dalam mana-mana acara pun, dia tidak pernah membuka mulut untuk membincangkan perkara itu.

Hip: Apakah Lis sebenarnya masih berdendam dengan Nadia?

Lisdawati:
Perkara ini tiada kaitan dengan dendam saya terhadapnya. Seperti yang saya katakan tadi, saya buat semua ini kerana tertekan dengan apa yang dilakukannya terhadap saya. Bertahun-tahun saya merana kerana difitnah dan dimalukan. Dan tidak semudah itu saya berjumpa peguam saya untuk mengatakan yang semua perkara itu selesai memandangkan fail kes itu sudah pun dibuka.

Hip: Lis tak kisah menunggu lebih lama jika kes ini terus dibicarakan?

Lisdawati:
Saya tak kisah untuk menunggu walau beberapa tahun lagi. Apa yang saya buat ini bukanlah kerana suka-suka, tetapi adalah untuk membersihkan kembali nama dan maruah saya yang tercalar kerana fitnah itu. Bayangkan selama beberapa tahun saya terpaksa menanggung malu kerana fitnah yang dilakukannya. Disebabkan itulah saya sanggup menunggu sehinggalah kes ini selesai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: