Tuesday, July 19, 2011

Idea unik arkitek Muslim PAM


Replika bangunan rekaan Sarly Adre Sarkum.


KEINDAHAN itu adalah seni. Meskipun seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, tetapi ia dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa.

Seiring itu, Al-Farabi menjelaskan seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan, manakala Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan jiwa dan perasaan yang sesuai dengan fitrah manusia.

Sementara itu, menurut Ibnu Khaldun seni bina merupakan satu daripada asas tamadun yang paling utama yang merupakan lambang atau manifestasi daripada sesuatu tamadun.

Melalui seni bina, keagungan dan ketinggian sesuatu tamadun itu dapat diukur. Buktinya dapat dilihat melalui tamadun-tamadun purba yang agung.

Bidang seni bina di negara ini juga tidak kurang hebatnya. Sumbangan arkitek tempatan yang berbakat bukan sahaja menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan pelbagai reka bentuk dan cita rasa binaan, malah tidak kurang juga pengiktirafan yang diperoleh daripada masyarakat luar.

Malah, sambutan menggalakkan yang diperoleh Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) yang disokong Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pada penyertaan julung kali di 12th International Architecture Exhibition of Venice Biennale 2010 yang berlangsung tahun lalu di Venice, Itali, sekurang-kurangnya menjadi pengukur bahawa reka bentuk seni bina Malaysia juga berkualiti dan semakin mendapat pengiktirafan dunia.

"Sepanjang tempoh 10 minggu pameran berlangsung iaitu dari 29 Ogos hingga 21 November tahun lalu, Malaysian Pavillion telah menarik lebih 44,000 pengunjung dari serata dunia.

"Malah, pihak kita sendiri tidak menyangka dengan respons positif yang diperoleh ahli PAM sendiri. Apatah lagi, penyertaan ke pameran paling berprestij ini adalah menerusi jemputan pihak penganjur sahaja.

"Pada pameran itu, Malaysia telah menghimpunkan 21 syarikat dalam industri seni bina bersama 37 model pembinaan dalam pelbagai kategori masing-masing," kata Presiden PAM, Boon Che Wee.

Sejak itu PAM turut menerima undangan mengadakan pameran di Amerika Selatan, Eropah dan negara Timur Tengah.

Malah, akui Che Wee lagi, ada antara para arkitek yang mengikuti pameran berkenaan turut menerima undangan secara individu menyertai pameran peringkat antarabangsa yang lain serta mana-mana pertandingan.

"Tamat siri pameran di Muzium Negara iaitu pada Ahad lepas, pameran ini akan meneruskan jelajah pamerannya ke Tokyo pada September akan datang ini.

"Pihak PAM amat berterima kasih kepada Matrade yang sekali lagi akan meneruskan sokongan di Tokyo pula. Pameran ini bersempena dengan Kongres Seni Bina Dunia (World Congress of Architecture) dengan kolaborasi Universiti Meiji Tokyo, Jepun" kata Che Wee, baru-baru ini.

Mega, Utusan Malaysia menemubual tiga ahli PAM yang turut serta dalam pameran tersebut, bertanyakan serba sedikit perihal hasil seni bina mereka masing-masing.

Sarly Adre Sarkum dari BDA Architects Sdn. Bhd., menegaskan sebenarnya sebagai seorang arkitek Islam, mereka mempunyai tanggungjawab sebagai untuk memperbaiki segala-galanya dan sekali gus berperanan sebagai pengubat kepada bumi.

Hakikatnya, konsep Islam itu, kata Sarly, telah lama diiktiraf oleh Barat kerana ia sebenarnya berusaha untuk mengilhamkan satu idea yang baik dan semua orang ada tanggungjawab untuk membuat kebaikan dan bukan mendapatkan keuntungan semata-mata.

"Saya membawa dua idea dan salah satu daripadanya pernah menang hingga ke peringkat akhir yang diberi nama h02 Scraper yang diilhamkan pada tahun 2009 untuk Pertandingan Evolo Skyscraper di New York.

"Ia sebenarnya lebih kepada konsep hijau, keprihatinan kepada alam semula jadi dan isu pelbagai pencemaran yang berlaku di dunia ini.

"Konsepnya mudah. Kebiasaannya orang bina bangunan di atas tanah, tetapi kali ini kita menjangkakan pada masa akan datang tidak mustahil ke semua tanah telah dipergunakan semaksimum mungkin.

"Jadi, kita cuba terbalikkan bangunan tersebut dengan membinanya di dalam laut di mana ia memang tahan menampung tekanan air," jelasnya yang tidak menyangka respons positif yang mengatakan projeknya antara hasil seni bina yang paling popular pada penyertaan di Itali.

Tambah Sarly, hasil ilham itu juga tercetus daripada jangkaan para saintis yang meramalkan bahawa pada tahun 2080 akan terjadi banjir besar, di mana dunia akan tenggelam.

Sementara itu, pada projeknya yang kedua pula, kata Sarly, ia adalah satu cadangan sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya, Selangor.

Selalunya di Malaysia, satu-satu projek seperti pusat membeli-belah akan mengundang pelbagai masalah pencemaran seperti kesesakan lalu lintas dan sebagainya.

"Jadi, kita mengilhamkan sebuah pusat membeli-belah yang berkaitan dengan bentuk daun kerana di dalam daun ada formula matematiknya. Jadi, kita gunakan formula matematik itu untuk dapatkan peredarannya.

"Bangunan ini tidak terlalu tinggi yang mana ia meliputi kondo, pejabat, pusat membeli-belah, taman rekreasi, masjid, hotel dan tempat letak kereta.

"Dari bahagian atas, kita tidak akan nampak apa-apa, tetapi pada bahagian bawah ia adalah sebuah kota yang hidup," katanya berharap agar idea itu diterima.

Sementara itu, bagi Saifuddin Ahmad dari SNO Architects Sdn. Bhd., beliau telah mengilhamkan sebuah model bangunan kerajaan yang sebenar, cuma ia belum dibina.

"Saya telah serapkan elemen kemampanan dan elemen karakter nasional. Walaupun identiti Malaysia itu tidak ada lagi, tapi apa yang telah saya tunjukkan dalam bangunan itu adalah interpretasi saya, apa yang sepatutnya ada dalam bangunan-bangunan di Malaysia ini.

"Di samping itu, aspek yang perlu diambil kira adalah iklim tropika negara ini, yang mana bangunan kita sepatutnya serasi dengan cuaca sebegini. Daripada situ, kita serapkan satu identiti yang baru tetapi tidaklah sehingga menjadikan satu seni bina yang rojak," jelas Saifuddin.

Beliau turut merasakan negara perlu ada sebuah bangunan yang apabila dilihat orang sudah dapat mengagak itu adalah identiti Malaysia.

Daripada segi keserasian dengan persekitaran pula, Saifuddin cuba mengilhamkan shine shading yang bermotifkan corak songket.

Shine Shading adalah elemen untuk menahan sinaran matahari cuma ditambah nilai dengan motif tempatan iaitu dari seni songket.

"Ada ruang lapang, selain untuk jalan kaki ia juga melindungi daripada sinaran matahari dan hujan.

"Begitu juga courtyard yang bertujuan pengudaraan dan pencahayaan. Kesemua ini adalah elemen-elemen yang sesuai untuk negara beriklim tropikal.

"Juga, pada setiap bangunan ini ada kekisi yang bertujuan untuk pengudaraan, tetapi dibuat dengan interpretasi moden yang diserapkan dengan elemen kebudayaan dan ia berfungsi.

"Jadi, kita tidak mahu menghasilkan bangunan yang cantik semata-mata tetapi ia berfungsi dan ada tujuan setiap satunya.

Saya rasa bangunan ini unik kerana ia telah menyerapkan beberapa kriteria yang saya cuba pamerkan dari segi penggunaan, moden, antarabangsa tetapi pada masa sama, ia bercirikan tempatan," kata Saifuddin yang juga Timbalan Presiden PAM.

Ujar beliau, sebenarnya Malaysia masih dalam proses ke arah itu. Bangunan Dayabumi misalnya, antara bangunan yang ada identiti sendiri.

Seni bina Minangkabau pula, katanya, bukan melambangkan identiti Malaysia sepenuhnya kerana kalau dikaji ia identiti dari Minangkabau, Sumatera.

"Begitu juga suatu ketika dahulu, yang mana bumbung seni bina masjid semua macam Masjid Negara. Malah, kita lihat pada segelintir bangunan selepas merdeka dan keseluruhan tahun 1960-an, kita masih mencari identiti. Manakala dalam tahun 80-an, 90-an, kita ingin mendapatkan identiti antarabangsa dan ia mudah ditemui di Lembah Klang. Sayangnya, bangunan sebegini mungkin boleh ada di mana-mana.

"Banyak interpretasi sama ada kita punya identiti bangunan yang ada, sama ada identiti Muslim kerana kita sebuah negara Islam dan ada juga identiti nasional yang mungkin lebih kepada kemelayuan.

"Bagi saya, identiti nasional perlu ada elemen sebuah negara majmuk dan sudah merdeka lebih 50 tahun," katanya.

Arkitek wanita yang sempat berkongsi idea seni bina beliau, Khairiah Noordin dari Arkitek Karya Budi Sdn. Bhd. menjelaskan, konsep yang cuba ditonjolkan adalah kebudayaan Melayu dan kerajaan Melayu.

Katanya, jika dilihat seni bina dunia, ada satu imej yang sama sahaja, sebab itulah arkitek Muslim Malaysia cuba dan berusaha menonjolkan ciri-ciri kebudayaan negara dalam seni bina moden.

"Jadi, kita cari elemen-elemen kebudayaan kita dan cuba diketengahkan pada hasil kerja kami, imej ini tidak ada di mana-mana negara lain.

"Sebenarnya tengkolok satu daripada elemen yang kita gunakan tetapi kita gayakan agar lebih menampakkan kewilayahannya atau negara asalnya," kata Khairiah.

Akuinya, model binaan itu memang untuk tujuan komersial agar menjadi satu mercu yang menampakkan seni bina Malaysia.

"Pun begitu, kita tidaklah mengambil konsep tengkolok itu secara keseluruhannya cuma sekadar bentuknya sahaja. Selain itu, kita juga menambahkan dengan ciri-ciri songket.

"Kita berharap daripada bangunan ini, orang ramai dapat melihat ada unsur kebudayaannya dan bukan bangunan yang biasa," katanya idea model ini telah bermula seawal tahun 2009, tetapi diperhalusi reka bentuknya dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: