![]() |
| HASSAN (kiri) dan Nazrul selepas dinobatkan sebagai juara dan naib juara program pencarian Imam Muda musim kedua, Jumaat lalu. |
DI SEBALIK senyuman yang tidak pernah lekang di bibirnya tatkala bersua dengan media, juaraImam Muda musim kedua (IM2), Mohd. Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26 atau Hassan rupa-rupanya seorang yang sensitif jika berbicara mengenai ibu bapanya.
Tanpa segan silu, Hassan mengakui, dia akan mudah menitiskan air mata kerana mengenangkan pengalaman yang ditempuhi kerana dibesarkan oleh ibu tunggal, tanpa kehadiran seorang bapa di sisinya.
Hassan yang dinobatkan sebagai juara IM2 pada malam Jumaat lalu memberitahu, sejak dia kecil, seawal umur tujuh tahun, bapanya telah pergi meninggalkannya sekeluarga buat selama-lamanya.
Bermula detik itu, ibunya, Arpah Mohd. Nor, 60, mengambil peranan arwah bapanya sebagai ketua keluarga dan bersusah-payah memastikan anak-anaknya berjaya walaupun tanpa rasa kasih seorang lelaki bergelar bapa.
Jadi, tidak hairanlah klip-klip video yang ditayangkan ketika final IM2 banyak memaparkan adegan Hassan menangis ketika dia pulang ke kampung halamannya yang terletak di Ayer Tawar, Perak untuk bertemu dengan keluarga tercinta.
Usai tamatnya program akhir IM2 yang disiarkan secara langsung oleh Astro Oasis (saluran 106), Hassan ketika ditemui memberitahu, pengorbanan ibunya demi anak-anak tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
"Bahkan, kemenangan ini juga belum mampu untuk membalas jasa ibu yang telah banyak berkorban untuk kami sekeluarga.
"Bagi saya, dialah ibu dan dia jugalah bapa saya. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala kebaikan yang telah dilakukan kepada kami adik-beradik.
"Sebagai anak, saya melakukan yang terbaik untuk menjaga nama baik keluarga dan alhamdulillah, kejayaan ini adalah salah satu daripadanya," cerita Hassan sambil air mata mula berkaca di kelopak matanya.
Merancang untuk berkahwin
DALAM pada itu, Hassan yang merupakan pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa, Taman Batu Muda, Batu Caves itu mengumumkan, dia bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi.
Sebagai seorang imam, jelas Hassan, dia perlu berkahwin awal bagi menjaga peribadinya daripada segala kata-kata kurang manis masyarakat sekeliling.
"Biarlah saya lekas mempunyai isteri supaya kehidupan peribadi saya lebih terjaga dan sempurna.
"Lagi pun, perkahwinan dapat mengelak daripada sebarang prasangka tidak baik terutamanya maksiat
"Malahan, jika bergelar suami, ia mendidik saya tanggungjawab 'imam' (ketua) terhadap keluarga saya sekali gus memberi pengajaran dalam membentuk sahsiah diri sebagai imam," kata Hassan sambil melirik senyuman manisnya tatkala ditanya adakah dia sudah memiliki buah hati.
Menyentuh siapakah gerangan insan bertuah yang bakal menjadi suri di hatinya, Hassan menambah, hal itu biarlah hanya diketahui buat keluarga terdekatnya terlebih dahulu.
Katanya, apabila sudah sampai masanya nanti, insya-Allah dia akan maklumkan kepada umum.
"Mulai hari ini, saya menerima hakikat bahawa saya bukanlah milik keluarga semata-mata.
"Namun saya sedar apabila menyertai IM2, sebahagian kisah peribadi saya juga harus dikongsi dengan masyarakat.
"Jadi, saya tidak akan lupa untuk menguar-uarkan kepada umum tarikh keramat yang bakal menyaksikan perkahwinan saya dengan bakal isteri kelak," katanya ringkas menutup perbualan mengenai perancangan perkahwinannya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: