
KONTRAK berat sebelah, bayaran royalti atau hak saraan terhadap anak seni yang tidak setimpal berbanding pulangan yang diperoleh penerbit atau penyiar, kekeliruan serta ketidaktelusan butiran perjanjian kontrak serta banyak lagi masalah berbangkit, merupakan polemik belakang tirai dunia hiburan. Malah, ada yang masih samar-samar tentang predikat hak saraan.
Isu yang tidak selesai, sukar mencari titik keseimbangan malah ada yang mengambil sikap sambil lewa, bosan dan muak tidak terkecuali juga, ada di kalangan pelaku seni yang tidak sedar dan tidak tahu hak-hak mereka. Hak itulah yang dipanggil sebagai hak intelek artis.
Isu harta intelek tidak diambil remeh oleh anak seni. Berikutan itu lebih 200 artis tempatan menyokong penganjuran majlis Simposium Hari Himpunan Bintang Kosmo!/MyIPO.
Majlis yang bakal berlangsung pada Selasa ini bertujuan untuk berkongsi masalah terhadap hak-hak mereka dalam satu simposium yang bakal dihadiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Simposium tersebut diadakan untuk memberi kesedaran kepada para artis selain ilmu buat golongan yang berminat menceburi bidang seni tentang hak-hak mereka sebagai pelaku seni.
![]() |
| TANDA sokongan. Najwa Mahiaddin turut memberi kata putus untuk hadir. |
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Mohd. Shahar Osman, tujuan utama MyIPO bekerjasama bersama Kosmo! adalah untuk mempertingkatkan kesedaran para penggiat seni tentang kepentingan perlindungan harta intelek terutama dalam bahagian undang-undang hak cipta.
"Tujuan kedua ialah untuk meningkatkan pengetahuan di kalangan penggiat seni berkaitan tentang hak-hak mereka.
"Selain itu, kami juga ingin memupuk budaya menghormati hak intelek di kalangan rakyat Malaysia.
"Acara sebegini diharap menjadi medan buat para penggiat seni dan hadirin untuk bertukar pandangan mengenai hak cipta," ujarnya yang berharap simposium yang julung-julung kali diadakan itu akan memberi manfaat dan kata putus terhadap masalah hak cipta artis yang terpinggir selama ini.
Bagi membincangkan topik pertahankan hak, perkukuhkan seni melalui perlindungan hak harta intelek, beberapa agenda telah dirangka bersesuaian dengan simposium tersebut.
Antaranya adalah cadangan isu yang boleh diketengahkan, masalah dan kekangan yang dihadapi selama ini dalam mempertahankan hak royalti atau saraan saksama serta cadangan ke arah penambahbaikan.
Bagi penyanyi Aizat yang bakal muncul sebagai panel pada hari Selasa ini, beberapa perkara berbangkit yang hendak disampaikan adalah kedudukan serta profesionalisme seorang artis.
![]() |
| AMY SEARCH |
Ujarnya, penting bagi seseorang anak seni untuk memahami hak terhadap hasil seni mereka dan tidak boleh memandang remeh soal perjanjian yang ditandatangani dengan mana-mana pihak.
Diana Danielle yang bakal menjadi panel mewakili pelakon zaman muda memberitahu bahawa dia berminat untuk menyentuh soal hak saraan serta jam kerja seorang pelakon. Pelakon filem Hanyut tersebut juga bakal bersuara tentang elemen insurans yang dianggap enteng oleh sesetengah pihak produksi malah para pelakon.
Menurut moderator Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO, Prof. Madya Dr. Abu Hassan Abdullah, simposium ini patut dihadiri oleh anak-anak seni tempatan untuk memahami literasi hak cipta dan undang-undang yang menyentuh perjalanan artis.
"Artis perlu tahu maksud hak intelek dan kedudukan mereka dalam bidang ini," ujarnya yang ditemui beberapa hari sebelum simposium ini berlangsung.
Berlangsung di Double Tree by Hilton, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bermula pukul 3 petang, kerancakan simposium bakal menyaksikan kehadiran Amy Search yang turut bertindak ahli panel. Nantikan juga kemunculan penyanyi popular Najwa dan Azlan Typewriter pula akan membuat persembahan istimewa pada petang itu.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: