Sunday, July 17, 2011

Haiza ajak kopi-kopi

pix_middle

MENANG anugerah menjadi impian setiap artis kerana ia boleh dijadikan ukuran kejayaan dan kemasyhuran dalam industri serta sejauh mana seseorang selebriti itu boleh diterima masyarakat. Lalu bagaimana pula dengan artis yang tidak pernah merasa menjulang sebarang trofi dalam mana-mana anugerah hiburan?

Ada yang bertanyakan Haiza soalan itu namun bagi penyanyi dangdut kelahiran Benut, Pontian itu, dia sedikit pun tidak rasa terpinggir meskipun tanpa trofi menghiasi almari di rumahnya. Baginya tempoh 16 tahun menimba pengalaman dalam industri seni itulah 'penghargaan' paling tinggi dalam hidupnya.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

"Dapat trofi adalah satu bonus dan ia adalah kenangan yang terindah. Andai tak dapat pun, saya tetap berpuas hati dengan perjalanan kerjaya seni saya kerana walaupun saban hari muncul artis baru tetapi saya masih 'di sini'. Setiap minggu ada saja undangan menyanyi. Jadi apa lagi yang perlu dibimbangkan.

"Rezeki itu datang dalam pelbagai cara. Sebagai hamba-Nya hanya perlu berdoa kepada-Nya, yakin dan berusaha. Selama 16 tahun saya sentiasa ada dalam industri. Saya ada peminat tersendiri yang mengikut perjalanan hidup dan kerjaya saya.


"Namun sekarang, orang sudah mula nampak saya dari sisi lain dan memerhatikan apa yang dibuat serta diusahakan selama ini. Tetapi kalau ada yang kata nama saya lambat naik, ia bukan masalah kerana niat saya menceburi industri ini untuk mencari rezeki bukannya mengejar glamor.


"Lagu Di Sebalik Sejuta Wajah yang pernah saya nyanyikan ketika menghadiri uji bakat pada usia 15 tahun, menggambarkan perjalanan hidup saya dalam industri ini. Keadaan yang saya lalui setiap hari dan suasana sekeliling mematangkan. Dalam apa perkara pun sekarang, saya tangani dengan cara profesional," katanya.

Sejak mula bergelar penyanyi sehingga sekarang, dia selesa bergerak sendiri tanpa insan yang dipanggil pengurus ataupun pembantu peribadi (PA). Alasan Haiza atau nama sebenarnya, Rohaiza Nordin, dia tak mahu bergaduh dengan orang.

"Susah atau senang lebih baik saya menguruskan diri dan kerja saya sendiri. Kalau ada PA, saya kena bayar gajinya dan kalau terjadi apa-apa nanti, sudah bermasam muka apatah lagi kalau membabitkan wang ringgit. Selesa begini dan penganjur pun boleh hubungi saya terus.

"Menggunakan orang tengah untuk menguruskan kerjaya kita, ada baik dan buruknya. Kalau dapat yang amanah, Alhamdulillah. Kalau perlukan sangat pertolongan, saya akan minta tolong kawan. Sesiapa pun boleh bantu saya. Baru sekarang saya minta khidmat Along Bakar untuk mempromosikan single terbaru saya, Mari Menari.

"Dia akan berurusan dengan media cetak dan elektronik tetapi dia juga bekerja secara sambilan dengan saya. Dengan kelahiran single baru ini terasa perbezaan terhadap perjalanan kerjaya yang lebih rancak dan lancar. Dengan publisiti yang semakin banyak, industri hiburan memberi ruang dan peluang yang lebih luas kepada saya berbanding dulu.

"Terasa sekarang lebih menonjol namun dari segi lain, saya masih seperti dulu dan hanya menjadi diri sendiri. Saya pernah melalui saat yang sangat glamor ketika kelahiran album sulung. Publisiti yang saya dapat sekarang lebih kepada untuk memberitahu kepada masyarakat yang saya masih menyanyi," katanya yang sedang mencari 'material' untuk single seterusnya.

Pengalaman pahit dan manis yang Haiza lalui sedikit sebanyak memberi pengajaran dan bimbingan untuk terus berada di landasan yang betul. Sehubungan itu, syarikat My Own Entertainment Management (MOEM) ditubuhkan. Mungkin ada yang tertanya kenapa baru sekarang ia ditubuhkan. Sebagai seorang insan seni yang tidak sempurna, dia mengakui kelemahan diri dengan mengibaratkan langkahnya baru bermula.

"Tujuan penubuhan MOEM untuk menjadikan setiap urusan kerjaya lebih sistematik dan mengikut prosedur. Projek sulung MOEM di mana pada awal Mei lalu saya menganjurkan program Jom Kopi Kopi (Bersama Haiza) iaitu Malam Gala Bersama Haiza sempena ulang tahun ke-16 dalam industri muzik tanah air yang diadakan di Hotel UiTM, Shah Alam.

"Ada yang tanya kenapa dinamakan Jom Kopi Kopi. Bagi saya pemilihan 'tagline' nama itu lebih santai, lagipun peminat saya ramai yang sudah dewasa. Ingat tak masa kita tinggal di kampung? Orang kampung, kalau hendak ajak rakan sebaya mereka duduk berbual mesti mulakan ajakan dengan 'jom minum kopi'. Tak pernah pula saya dengar mereka ajak minum teh atau milo.

"Hasil dengan perbincangan dengan kawan-kawan, kami sepakat menggunakan nama itu. Untuk di Facebook juga, saya menggunakan Jom Kopi Kopi Bersama Haiza.

"Bagi memantapkan lagi urusan MOEM, saya melantik syarikat milik rakan, Szemie Artistic and Gallery sebagai rakan strategik untuk mengendalikan pengurusan dan pentadbiran Jom Kopi Kopi bersama Haiza yang merangkumi hiburan, pendidikan dan kebajikan.

"MOEM juga bakal menganjurkan bengkel kecantikan, kesihatan dan keselamatan agar setiap insan itu lebih peka dengan diri sendiri. Sebagai seorang yang tidak sempurna, pastinya kita leka dengan hal duniawi oleh itu aspek kebajikan tidak dilupakan.

"Ia adalah tuntutan agama. Lantaran itu MOEM ingin berkongsi segala kekurangan dan kesusahan mereka yang memerlukan dengan memberikan motivasi
serta sokongan agar terus berjuang bagi memantapkan keyakinan diri," katanya.

Selepas kejayaan malam gala pertama di Shah Alam, MOEM meneruskan program sama di Hotel Pontian, Johor, semalam (16 Julai).

"Majlis makan malam ini lebih kepada acara amal yang dinamakan Namun Ku Punya Hati Bersama Haiza yang mana ia memberi keutamaan kepada orang kurang upaya dan ibu tunggal bersesuaian ketibaan Ramadan.

"Saya juga akan pergi ke negeri lain awal tahun depan dengan memilih bandar besar seperti Melaka. Alhamdulillah, peminat banyak menyokong usaha saya ini. Semua program itu adalah usaha MOEM sendiri dengan beberapa pihak yang sudi menaja," katanya.

Sementara itu pada 1 hingga Oktober ini, MOEM menganjurkan Yok Cuti Yok di Bandung dengan kerjasama Plus & Plus Travel & Tours. Antara atur cara percutian itu, mencari lokasi yang menjual barangan secara pukal pada harga lebih rendah.

"Ia membuka ruang untuk kawan dan peminat mencari rangkaian sekali gus boleh menjana pendapatan dengan menjadi usahawan. Jom Kopi Kopi diharap dapat menjadi platform kepada saya mendekatkan diri dengan golongan profesional yang boleh mendidik saya ke arah lebih positif.

"Saya sendiri tidak mempunyai pengalaman luas dalam bidang keusahawanan. Jadi dengan adanya program ini sedikit sebanyak dapat berkongsi dan bertukar pendapat dengan mereka yang berpengalaman," katanya.

Ini sesuai dengan hasrat Haiza untuk menceburi perniagaan bersama kakaknya, Noraini, yang pakar dalam bidang masakan.

"Impian saya selain mengembangkan lagi MOEM, saya bercadang membuka perniagaan berasaskan makanan. Mungkin kafe yang bakal menggabungkan kebolehan kakak dan saya sendiri. Ia adalah perniagaan keluarga.

"Saya juga akan mengeluarkan barang cenderamata saya sendiri tidak lama lagi seperti seperti beg telekung," katanya.

Sepanjang Ramadan ini, Haiza akan berada di Hotel Dorsett Regency Kuala Lumpur bersama Jaafar Onn untuk berbuka puasa bersama pengunjung hotel itu di samping menghiburkan mereka. Haiza juga mencetak kad raya istimewa sebagai cenderahati kepada peminat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: