Friday, July 1, 2011

Freddie Fernandez Kekal Presiden Karyawan

Barisan AJK baru penggal 2011-2013 Persatuan Karyawan Malaysia selepas sesi pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-12 persatuan itu, Khamis.

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Tahunan ke-12 (AGM12) Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menyaksikan Datuk Freddie Fernandez mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden untuk tiga penggal berturut-turut pada sesi pemilihan ahli persatuan berkenaan, Khamis.

Mesyuarat kali ini dihadiri kira-kira 200 orang ahli bagi pemilihan jawatankuasa untuk penggal 2011-2013.

Menurut Freddie, kehadiran ahli Karyawan dalam jumlah tersebut membuktikan sokongan dan kepercayaan mereka terhadap perjuangan persatuan itu.

"Kehadiran kira-kira 200 ahli pada mesyuarat ini sudah membuktikan bahawa mereka semua yakin pada perjuangan persatuan walaupun kami berdepan pelbagai fitnah dan serangan daripada pihak luar.

"Berdasarkan sokongan yang diperoleh untuk AGM kali ini, saya yakin barisan AJK untuk tempoh tiga tahun akan datang adalah lebih perkasa berbanding sebelumnya.

"Saya berharap agar barisan jawatankuasa yang dipilih ini akan dapat bergerak bersama-sama melaksanakan segala tanggungjawab dan perancangan untuk memperjuangkan hak-hak ahli dalam industri ini," katanya yang ditemui sejurus berakhirnya AGM12 yang diadakan di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, di sini, Khamis.

Selain Freddie, turut mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Presiden adalah pelakon Radhi Khalid selepas mendapat 67 undian menewaskan Datuk Mat Noor.

Datuk Freddie Fernandez kekal Presiden Karyawan untuk tiga penggal berturut-turut tanpa bertanding.

Penyanyi veteran Datin Paduka Julie Sudiro pula kekal sebagai Setiausaha manakala pelakon dan model Mahzin dipilih sebagai Bendahari selepas mendapat 56 undian.

Turut dilantik sebagai barisan AJK adalah penyanyi Salwa Abdul Rahman, Azizul Khamis, Fazli Zainal, komposer S. Atan dan pelakon Din Maidin.

Freddie turut menambah, Karyawan juga bakal melantik lima lagi AJK dalam masa terdekat untuk menarik lebih ramai golongan artis menyertai persatuan itu dan membantu pelaksanaan perjuangan mereka.

Dalam pada itu, Freddie turut bersyukur kerana desas-desus ancaman pihak luar untuk mengganggu mesyuarat berkenaan tidak berlaku dan majlis berjalan dengan lancar dan selamat.

"Kami telah bersiap sedia dengan melaporkan ancaman itu kepada polis. Ada 10 polis dan pasukan Rela berkawal di sini untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Nampaknya ancaman yang kita terima itu tidak berlaku dan semuanya berjalan dengan lancar dan selamat," katanya.

Selain sesi pemilihan AJK baru persatuan berkenaan bagi penggal 2011-2013, AGM12 turut mencapai matlamatnya dalam mengesahkan minit mesyuarat penggal sebelum ini, pembentangan laporan kewangan persatuan yang telah diaudit dan menerima laporan pelaksanaan kerja persatuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: