Tuesday, July 5, 2011

Fasha jadi penyanyi dalam Dewa Cinta


PROFESIONAL. Walaupun dikatakan mempunyai sedikit konflik antara satu sama lain, namun Fasha Sandha dan Iqram Dinzly tetap dapat menjayakan karakter sebagai pasangan kekasih dalam drama bersiri Dewa Cinta dengan baik.


AKTRES Fasha Sandha yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila bersengketa dengan pasangannya dalam drama Dewa Cinta, aktor Iqram Dinzly, apabila aktor itu dikatakan lewat datang ke lokasi penggambaran telah berusaha keras belajar bermain gitar demi wataknya dalam drama terkini tersebut. Drama sebanyak 24 episod yang menghiasi slot Akasia di TV3 itu memerlukan Fasha belajar asas bermain gitar kerana wataknya sebagai June seorang pemuzik dan penyanyi di pub.

“Watak dalam drama ini sangat berbeza dengan watak yang pernah saya bawakan sebelum ini dan juga diri saya sendiri. “Ini kerana hakikat sebenarnya saya tidak pandai bermain gitar, tetapi demi memberikan lakonan yang berkesan selama sebulan lebih saya belajar main gitar. “Alhamdulillah, sekarang saya sudah boleh memetik gitar secara asas. Kiranya, kalau saya main gitar, bolehlah dengar muziknya tetapi saya masih dalam peringkat belajar. Saya seronok kerana dapat mempelajari perkara yang baharu sepanjang menjalani penggambaran drama Dewa Cinta,” kata Fasha yang ditemui pada majlis pelancaran drama itu di Restoren Bora Ombak, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meskipun dirinya tidak pernah surut dihambat kontroversi dan kemunculan pelakon baharu yang ramai, Fasha tetap menjadi pilihan pengarah dan penerbit untuk drama terbitan mereka. Kini, wajah Fasha antara wajah aktres yang paling kerap ditonton di kaca televisyen. Bersyukur dengan rezeki yang diterimanya, Fasha meluahkan rasa terharunya kerana dirinya masih menjadi pilihan. “Memang saya penat kerana sibuk bekerja tetapi saya tidak sampai hati untuk menolak tawaran drama yang bagus kerana kalau ikutkan ramai pelakon baharu yang muncul setiap hari. “Saingan bertambah sengit, tetapi penerbit dan pengarah masih memilih saya. Saya berterima kasih atas sokongan semua, sebab itu saya selesa berlakon drama, tambahan drama bersiri memberi pulangan lumayan,” ujarnya tidak berselindung.

Iqram yang menjadi pasangan Fasha dalam drama ini mengakui dia mempunyai masa yang seronok sepanjang berlakon drama ini walaupun pernah berperang sebentar dengan Fasha. Katanya, selepas kontroversi itu, hubungannya dengan Fasha kembali pulih seperti biasa. Malah, ketika majlis pelancaran, Fasha dan Iqram masing-masing dilihat profesional dan menjiwai watak mereka sewaktu diminta untuk bergambar bersama.

Sambung Iqram mengenai wataknya dalam Dewa Cinta: “Watak Iqbal lebih kurang sama dengan diri saya. Masih tak kahwin-kahwin dan sedang mencari. Pada usia 29 tahun, Iqbal masih tidak fikir pasal kahwin tetapi bila berjumpa dengan June, Iqbal mula menagih cinta wanita tersebut.”

Drama Dewa Cinta yang diarahkan oleh pengarah, Haris Fadzillah itu telah mula disiarkan pada 20 Jun lalu di Slot Akasia TV3 setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam. Dewa Cinta mengisahkan tentang Iqbal (Iqram Dinzly) yang dibesarkan dengan penuh kemewahan oleh keluarga angkatnya, Norhan (Hafizuddin) dan Rohaya (Aida Khalida). Memori hitam pada zaman kanak-kanak akibat sikap ayah kandung yang sangat garang dan tegas terhadapnya selepas ibu dan kakaknya menghilangkan diri menyebabkan jiwa Iqbal mula memberontak dan selesa menyembunyikan sikap panas barannya sebalik penampilannya yang elite. Selain Iqram dan Fasha, drama ini turut dibintangi oleh pelakon, Aida Khalida, Nabila Huda, Lana Nordin, Bkay Nair, Hafizuddin dan penampilan istimewa, penyanyi, Black.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: