Thursday, July 21, 2011

Dina jelmaan Effie White




RAMAI yang meletakkan harapan yang tinggi apabila ada naskhah teater antarabangsa dipentaskan di Malaysia. Justeru, tidak hairanlah apabila Dreamgirls - The Broadway Musical Sensation yang berlatarkan era 60-an sehingga 80-an dipentaskan di Istana Budaya dengan menampilkan lakonan pelakon-pelakon tempatan, ada yang masih was-was dengan kualiti produk yang diadaptasi dari naskhah teater berprestij New York itu.

Bagaimanapun, Kosmo! yang berkesempatan menonton teater muzikal itu pada sesi previu pada minggu lalu terpukau dengan kualiti lakonan yang diberikan oleh barisan pelakonnya terutamanya penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir yang memegang watak Effie White.

Jika sudah namanya teater muzikal sudah tentulah kebanyakan dialog dilontarkan adalah dalam bentuk nyanyian.

Dan khusus buat Dina yang merupakan penggerak utama teater ini, dia dilihat berjaya melakonkan watak yang pernah dipegang oleh Jennifer Hudson menerusi versi filem itu dengan penuh sukses.

Rata-rata penonton memberikan sorakan padu dan mengakui kualiti vokal yang dimiliki Dina merupakan antara yang terbaik dalam pementasan teater.

Sungguhpun begitu, Dina yang ditemui sejurus pementasan teater yang turut menampilkan lakonan Cheryl Samad, Azura Zainal, Dafi dan Tony Eusoff itu selesai mengakui, agak sukar buat dirinya untuk menjiwai karakter Effie White meskipun watak itu merupakan watak yang diidamkan selepas menonton filem itu di pawagam.

"Sebenarnya saya teruja apabila menonton filem Dreamgirls dan dalam hati saya berkata alangkah bagusnya kalau saya dapat berlakon watak Effie White itu. Jadi apabila ada uji bakat untuk teater Dreamgirls di Malaysia, saya tidak melepaskan peluang.

"Memang ramai orang beranggapan watak ini mudah untuk saya sebab saya penyanyi, tetapi hakikat sebenarnya ia amat sukar kerana saya terpaksa menyanyi, berlakon dan menari dalam masa yang sama. Apatah lagi tahap kualiti yang diinginkan penerbit adalah sangat tinggi.

"Selain itu, teater ini seratus peratus dituturkan dalam bahasa Inggeris ala-ala Amerika Syarikat dan itu cabaran buat orang macam saya yang bertutur dalam bahasa Melayu setiap hari," katanya jujur.


DREAMGIRLS dipentaskan di Istana Budaya sehingga 24 Julai ini.


Tambah Dina, walaupun dia sudah biasa menyanyi di atas pentas dengan nada yang tinggi tetapi untuk Dreamgirls, dia harus menyanyi mengikut not muzik yang telah ditetapkan oleh pihak penerbitan teater itu.

"Biasanya kalau saya menyanyi, saya hanya akan dengar muzik tetapi untuk teater ini, saya kena ikut not-not muzik yang telah ditetapkan oleh pihak penerbitan asal di New York supaya tidak lari daripada pementasan asal.

"Saya juga cukup berbangga apabila melihat Azura dan Cheryl yang kita tahu mereka bukan penyanyi tetapi boleh menyanyi dengan cukup baik. Saya berpuas hati melihat orang ramai dapat menerima lakonan saya," ujarnya yang menganggap seluruh tenaga produksi seperti keluarga selepas berlatih bersama selama tiga bulan.

Cheryl jadi diva

Pengacara yang cukup petah berkata-kata, Cheryl Samad, juga dilihat membawakan watak Deena Jones dengan baik meskipun lakonannya ditenggelami oleh karisma yang ada dalam watak yang dihidupkan Dina.

Wataknya sebagai gadis naïf pada peringkat awal mengalami transformasi sebagai seorang diva yang glamor dan diminati ramai. Bagi Cheryl, tranformasi itu cukup sukar untuk dilakukannya.

"Bagi saya, babak yang paling sukar adalah apabila saya berubah daripada seorang gadis naïf kepada seorang diva yang menjadi tumpuan di atas pentas persembahan.

"Saya harus kaji jalan cerita dan penyanyi Diana Ross yang merupakan penyanyi utama kumpulan The Supremes yang mana kumpulan itu merupakan inspirasi kepada teater ini," kata Cheryl.

Luah Cheryl lagi, dia sedar bahawa lakonannya sebagai Deena Jones sudah pasti akan dibandingkan dengan lakonan penyanyi terkenal Beyonce bagi karakter Deena Jones versi filem.

"Saya tidak kisah kalau orang ingin bandingkan saya dengan Beyonce kerana penonton di Malaysia lebih terdedah dengan versi filemnya berbanding versi teater.

Itu hak masing-masing. Apa yang penting semua orang dalam produksi teater Dreamgirls ini telah memberikan yang terbaik.

"Walaupun penat kerana terpaksa berlatih setiap hari dan harus memberi persembahan yang konsisten, saya bersyukur dan berpuas hati kerana setakat hari ini semuanya berjalan dengan lancar. Saya juga seronok dapat berlakon dengan Dina dan Azura yang mana bagi saya mereka merupakan pelakon yang bagus," ujarnya.

Azura cuba nasib

Azura Zainal yang lebih dikenali sebagai pengacara program televisyen tiba-tiba membuka mata khalayak dengan bakat lakonannya yang sebelum ini tenggelam dengan bakat pengacaraannya,

Ramai juga yang tertanya-tanya siapa gerangannya pelakon yang memegang watak gedik sebagai Lorrell Robinson. Ternyata lakonannya menjadi apabila ramai yang geli hati tatkala wataknya itu muncul di atas pentas.


MEMBERIKAN sepenuh jiwa dan raganya untuk karakter Effie White, ia adalah mimpi yang menjadi kenyataan buat Dina.


"Semasa diberi peluang untuk uji bakat saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana saya lihat ramai pelakon yang bagus turut menghadiri uji bakat tersebut. Alhamdulillah saya terpilih tetapi ketika itu saya terpaksa menolak tawaran ini kerana terlibat dengan penggambaran program televisyen.

"Bagi saya tidak adil untuk produksi kerana saya tidak dapat hadiri latihan, namun seminggu selepas saya tolak tawaran itu mereka hubungi saya dan tetap mahukan saya sebagai Lorrell. Jadi, apabila orang sudah beri kepercayaan saya harus buat yang terbaik," luah Azura.

Ramai yang tidak tahu, sebenarnya Azura aktif menyanyi dan menari sejak dia di bangku sekolah rendah lagi, malah dia turut mengikuti kelas vokal bersama Siti Hajar Ismail.

"Memang ramai yang terkejut apabila saya memegang watak ini. Pada peringkat awal latihan memang 'bertarabur' juga saya menari dan menyanyi tetapi selepas latihan yang kerap semuanya okey," katanya lagi.

Azura menaruh harapan bahawa dengan peluang yang diberikan untuk Dreamgirls itu akan menjadi batu loncatan untuk ke bidang baru selain pengacaraan.

"Saya sengaja ingin cuba bidang baru, sekadar cuba nasib. Saya harap dengan lakonan sepenuh hati yang saya beri untuk Dreamgirls akan membuka mata khalayak mengenai bakat yang saya ada dan membawa saya peringkat yang lebih tinggi," jelasnya.

Teater kedua Dafi

Selepas kejayaan teater Kenangan Mengusik Jiwa, 60-an, nampaknya Dafi semakin selesa beraksi di pentas teater. Tidak kekok memegang watak C.C White, Dafi mengakui semakin ketagih untuk berlakon teater.

"Mula-mula berlakon teater memang saya takut tetapi selepas melalui pengalaman bersama produksi teater saya berasa seperti ketagih pula. Teater memang mengajar saya untuk menjadi seorang pelakon dan penyanyi yang lebih baik daripada sebelum ini.

"Teater memang memberikan saya kepuasan, jika diberi peluang untuk berlakon teater lagi saya tidak akan teragak-agak untuk menerimanya asalkan watak itu bersesuaian dengan saya dan saya yakin saya boleh membawa watak itu dengan baik," jawabnya.

Bercerita tentang lakonannya dalam Dreamgirls, luah Dafi, dia berpuas hati setelah berlatih dan melakukan sehabis baik, respons positif yang diterimanya membuatkan gembira.

"Saya sangat gembira dengan respons yang diberikan penonton, semua penat-lelah saya telah terbayar. Saya berbangga kerana terlibat dalam produksi ini, saya saya akan berusaha lebih keras supaya saya akan membawa peningkatan dalam watak C.C White," ujarnya yang masih fokus dalam bidang nyanyian.

Teater Dreamgirls yang diarahkan oleh Joanna Bessey itu dipentaskan di Istana Budaya bermula 14 Julai lalu sehingga 24 Julai ini.

Buat peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menonton teater Dreamgirls - The Broadway Musical Sensation, tiket berharga antara RM48 hingga RM400. boleh didapati di kaunter Istana Budaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: