RAMAI yang berangan mahu memiliki seraut wajah tampan, malah tidak kurang yang berasakan adalah satu bonus juga sekiranya mereka turut mewarisi darah kacukan. Namun memiliki wajah Pan Asia juga ada dilemanya sendiri, seperti diluahkan jejaka ini.
Sedang rancak berbicara, tiba-tiba nada suaranya berubah apabila kami beralih kepada topik lakonan. Walhal sebelum itu, adik kepada bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin, Zain cukup bersemangat bercerita mengenai perancangan untuk melahirkan album rap.
“Orang anggap menjadi anak kacukan ini istimewa, sebaliknya ia lebih menyukarkan, terutama untuk pelakon lelaki. Tawaran watak agak terhad, sehingga ada kalanya saya berasakan industri tidak bersikap adil terhadap pelakon berwajah Pan Asia seperti saya.
“Produser seharusnya membuka minda mereka. Bagi mereka, pelakon lelaki berwajah Pan Asia hanya sesuai membawakan watak jahat dan playboy, sedangkan kami juga mampu menjadi pelakon versatil, tetapi mereka tidak mahu memberikan peluang.
“Bukan tidak timbul keinginan untuk membawakan watak hero, tetapi mereka tidak memberikan peluang itu kepada saya. Memang saya pernah diberikan peluang memegang watak utama, tetapi cuma untuk sekali dua. Selebihnya hanyalah watak sampingan. Saya bukan hendak kata saya terlalu bagus atau berharga, sehingga merugikan mereka jika tidak ambil saya berlakon. Cuma, sekurang-kurangnya janganlah bersikap double-standard. Tiada salah sekiranya produser kita mencuba sesuatu yang baru,” kata Zain penuh harapan.
Dalam nada kesal jejaka ini bertanya, kenapa penerbit tidak memberikan bimbingan sekiranya mereka berasakan lakonannya masih kurang kerana dia bersedia untuk memperbaiki persembahannya?
“Saya akan memberi tempoh tiga tahun saja kepada industri. Jika kerjaya lakonan saya berkembang mekar, mungkin saya akan terus berada di sini. Bagaimanapun, jika penerbit terus enggan memberi peluang kepada saya, mungkin saya akan memikirkan untuk ke Indonesia.
“Mereka lebih menghargai bakat seseorang pelakon berbanding orang di sini. Abang ipar saya, Salyo, memang sudah lama menyuarakan cadangan untuk memperkenalkan saya kepada penerbit drama di sana kerana dia mengenali ramai orang yang terbabit dalam bidang seni. Tetapi saya menolak kerana saya sayangkan tanah air saya sendiri.
“Tengoklah macam mana nanti, kalau perlu, saya berhijrah. Saya akan pergi walaupun terpaksa bermula dari bawah sekalipun,” kata jejaka yang pernah bekerja sebagai jurulatih peribadi sebelum bergelar pelakon.
Kagumi karya Syamsul
DALAM rancak bercerita mengenai kekesalan terhadap industri lakonan, sempat juga jejaka ini meluahkan rasa kagumnya terhadap karya arahan Syamsul Yusof. Katanya, dia mula mengikuti perkembangan hasil seni anak bujang Datuk Yusof Haslam itu sejak KL Drift lagi. Sejak itu, dia mula menyanjung filem hasil sentuhan pengarah yang sebaya dengannya itu.
Karya terbaru Syamsul, KL Gangster yang berjaya memungut RM12 juta paling dikagumi Zain. Malah dia memasang angan-angan agar dapat bekerjasama dengan sutradara muda itu satu hari nanti.
“Saya mengagumi Syamsul kerana dia seorang anak muda yang berani mencuba. Saya memang suka karyanya sejak dulu lagi. Filem seram arahannya, Khurafat, sebuah filem yang amat baik sekali dan saya juga menggemari KL Gangster.
“Bila menonton filem arahan Syamsul, memang kita dapat rasakan jiwanya kerana kita boleh melihat keikhlasan dan minat Syamsul dalam berkarya. Kekaguman saya pada Syamsul membuatkan keinginan untuk berlakon dengannya begitu membuak-buak. Saya harap diberi peluang oleh Syamsul untuk berlakon dalam filem arahannya satu hari nanti,” kata jejaka yang pernah dikaitkan dengan Rozita Che Wan ini.
Ingin bergelar penyanyi
MEMINATI muzik rap sejak kecil, cita-cita itu tidak pernah padam walaupun kerjaya yang diceburi sekarang agak tersasar dari minat utamanya. Jejaka yang bakat lakonannya dicungkil oleh Zeel Production itu berkata, setelah menceburi dunia lakonan barulah dia berjaya mengumpulkan bajet untuk menghasilkan album.
“Saya pernah menerima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman, tetapi saya tolak kerana tidak mahu terikat dengan genre yang saya tidak minat. Walaupun terpaksa menunggu lama, saya tidak kisah asalkan akhirnya saya dapat buat benda yang saya suka.
“Sebagai pengenalan, saya akan merakamkan album raya terlebih dulu. Walaupun lagu raya, ia masih berkonsepkan rap dan ada unsur kelakar kerana saya sukakan genre itu. Saya percaya jika kita betul-betul minat, hasil yang akan dilahirkan nanti pasti memuaskan,” katanya yang akan bekerjasama dengan DJ Anowl.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: