Friday, July 15, 2011

Di mana cantiknya wanita Solehah?

Syed Shahridzan (kanan) dan Pensyarah Universiti Malaya, Seripah Zain Syed Ali sebagai juri pada sesi uji bakat program Solehah.
Syed Shahridzan (kanan) dan Pensyarah Universiti Malaya, Seripah Zain Syed Ali sebagai juri pada sesi uji bakat program Solehah.
TIDAK semua wanita mempunyai keberanian untuk melontarkan permasalahan mereka kepada pendakwa lelaki.

Ini mungkin sifat malu yang memang sudah sebati dengan diri, membuatkan kebanyakan wanita memilih untuk menyembunyikan apa yang sepatutnya dilontarkan.
Eksekutif Penyelidikan Editorial TV Alhijrah, Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, adalah lebih baik kalau setiap permasalahan seperti kedudukan wanita, penyusuan ibu, isu pembuangan bayi dan masalah berkahwin lewat dibicarakan dari hati ke hati bersama pendakwah wanita.
Menurutnya, alangkah indah dengan berbekal segala kecantikan yang dimiliki, golongan Muslimah ini berada di barisan hadapan untuk sama-sama menggerakkan mida masyarakat ke arah cahaya Illahi tanpa membelakangkan ketetapan syarak.

“Kecantikan wanita Solehah itu terlihat apabila ilmu menjadi benteng jiwanya, auratnya sentiasa dipelihara, pergaulannya dibatasi, pertuturannya penuh hormat dan rendah diri, sifat malunya menjadi pengikat nurani dan kepetahannya menjadi saluran untuk memartabatkan agama tercinta,” katanya ketika sesi uji bakat program Solehah terbitan TV Alhijrah di Kelantan dan Terengganu.

Syed Shahridzan adalah antara barisan juri yang dilantik untuk memilih 10 calon terbaik yang akan bergelar peserta Solehah.

Memiliki Ijazah Sarjana Bahasa dan Linguistik Arab dan pengalaman berdakwah melebihi 10 tahun, beliau berpendapat, wanita cantik juga diperlukan dalam urusan dakwah.
“Dakwah adalah wajib. Oleh itu setiap insan harus melaksanakannya dalam apa juga lapangan, menggunakan pendekatan sesuai dengan zaman sekarang. Tidak timbul isu suri rumah tidak boleh berdakwah di luar dari kerangka halaman rumah mereka kerana ia adalah satu keperluan sosial.

“Bukankah merugikan kalau bakat dan ilmu yang ada tidak diguna pakai. Apa yang penting, masa harus dibahagi sebaiknya. Harus bijak menggunakan dan memanfaatkan sumber yang ada,” katanya lagi.

Syed Shahridzan berkata, menjadi pendakwah di kalangan wanita bukanlah taboo atau dianggap pantang dan ia juga bukan perkara baru.

Katanya, dalam sejarah Islam, akan dapat lihat bagaimana Sayyidah Aisyah, isteri Nabi Muhamad s.a.w, terkenal dengan peranannya menyampaikan Hadith Baginda SAW, ilmu dan mengeluarkan fatwa pada umat ketika itu sama ada dari kalangan lelaki dan wanita.

“Dalam masa yang sama beliau adalah isteri Solehah yang bijak menguruskan rumah tangga,” katanya.

Selain Kelantan dan Terengganu, sesi uji bakat program Solehah ini sudah dilakukan di Pahang pada 9 dan 10 Julai, Johor (16 & 17 Julai) sebelum ke Sabak dan Sarawak pada 23 dan 24 Julai.

“Saya mengharapkan kehadiran lebih ramai wanita yang memiliki semangat dakwah agar kebolehan itu akan menjadi manfaat kepada negara. Kami ikhlas ingin mencari, mendidik dan membentuk pendakwah wanita agar menjadi inspirasi kepada masyarakat masa kini.

“Jadikan Solehah sebagai platform permulaan mengorak langkah lebih jauh. Siapa tahu anda adalah pendakwah yang kami cari,” katanya.

Layari laman sesawang TV AlHijrah di www.tvalhijrah.com/solehah untuk maklumat lanjut atau hubungi talian 03-22601677 sambungan 206/245/247.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: