Friday, July 22, 2011

Bukan sekadar stesen bas

SEJARAH...warga kota menunaikan solat  Jumaat buat pertama kali di Surau Jumaat Al-Hidayah di Hentian Puduraya  pada 8 Julai lalu.
SEJARAH...warga kota menunaikan solat Jumaat buat pertama kali di Surau Jumaat Al-Hidayah di Hentian Puduraya pada 8 Julai lalu.

KUALA LUMPUR: Selepas dibuka pada 1976, surau di Hentian Puduraya di sini yang sekian lama berkhidmat sebagai tempat umat Islam beribadat terutama penumpang bas, kini berubah wajah.

Dengan perubahan drastik hampir ‘360 darjah’, surau terbabit kini diiktiraf sebagai surau ke-71 yang dibenar melakukan ibadat solat Jumaat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).


Sesuai dengan penaikta rafan itu, ia kini dikenali sebagai Surau Jumaat Al-Hidayah dan tanggal 8 Julai 2011 lalu menjadi catatan sejarah apabila hampir 500 jemaah hadir menunaikan solat Jumaat buat kali pertama.

Pengurus Besar Kanan Perancangan Korporat dan Strategik, Uda Holdings Berhad, Mohd Kamaruddin Abdul Manan berkata, pengiktirafan itu signifikan kepada pihaknya dan pengurusan Hentian Puduraya dalam usaha menunaikan tanggungjawab sosial mereka kepada umat Islam yang menggunakan kemudahan terminal berkenaan.


“Kebenaran untuk surau Hentian Puduraya melakukan solat Jumaat mampu mengurangkan kesesakan jemaah di dua masjid utama berhampiran terutama di Masjid Jamek. Surau itu kini menjadi alternatif selain membolehkan kita beribadah dengan lebih selesa,” katanya.


Surau Jumaat Al-Hidayah sebahagian usaha Uda memberikan perkhidmatan terbaik selaras pembukaan semula terminal bas terbabit sejak dua bulan lalu selepas menjalani proses pemodenan dan penambahbaikan. Surau di tingkat dua bangunan itu mempunyai keluasan kira-kira 900 meter persegi (termasuk ruang lobi) dan mampu memuatkan 1,000 jemaah dalam satu masa berbanding hanya 400 jemaah sebelum ini.

Pekerja syarikat bas, Zainol Zain Yusof, 47, berkata, dia amat gembira dengan penaiktarafan surau itu kerana kini dia tidak perlu lagi tergesa-gesa ke Masjid Jamek yang hampir satu kilometer dari hentian bas berkenaan untuk menunaikan solat Jumaat.


“Sebelum ini, saya dan rakan ke Masjid Jamek (masjid terdekat) setiap minggu sebelum terpaksa bergegas pulang ke sini untuk meneruskan kerja,” katanya yang bekerja di hentian itu sejak 20 tahun lalu.Perkara itu turut dipersetujui imam surau berkenaan, Mohd Najib Baharim, 28, yang turut menyifatkan surau baru itu jauh lebih selesa dan luas jika dibandingkan sebelumnya serta sangat sesuai untuk solat Jumaat.


“Selain masalah jauh, Masjid Jamek juga cukup sesak dengan kehadiran orang ramai yang bersembahyang di sana. Dengan adanya surau di sini, ia sedikit sebanyak dapat memberi keselesaan kepada kami untuk beribadah,” katanya.


Tinjauan Metroplus di Surau Jumaat Al-Hidayah mendapati selain dewan solat berhawa dingin, ia turut dilengkapi kemudahan lain yang baik dan selesa seperti tandas lelaki dan wanita, bilik loker untuk kemudahan menyimpan barang serta ruang berwuduk yang luas.


Malah, televisyen LED untuk membolehkan jemaah melihat khatib membaca khutbah juga disediakan di bahagian parkir kereta yang juga boleh digunakan sebagai tempat sembahyang bagi menampung lebihan orang ramai yang datang untuk bersolat.


Selain itu, surau berkenaan dihubungkan dengan eskalator dari tempat ruang menunggu bas dan kaunter tiket di bahagian bawahnya bukan lagi tangga yang sempit seperti dulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: