![]() |
| SEMPAT menjadi pemetik daun teh sewaktu berkunjung ke Ladang Teh Boh di Cameron Highlands, Pahang dalam Samantha Brown's Asia. |
KALAU diimbas kembali perjalanan hidupnya, Samantha Brown tidak pernah terfikir bahawa dia akan menjadi seorang pengacara satu hari nanti.
Malah, dia sendiri tidak pernah ambil peduli tentang perihal pengacaraan dan tidak tahu tentang dunia sebenar seorang pengacara.
Dengan latar belakang pendidikannya dalam bidang teater muzikal dari Universiti Syracuse, New York, Amerika Syarikat (AS), Samantha sudah membayangkan dirinya menjadi seorang pelakon teater.
Apatah lagi dengan minat yang cukup mendalam dalam bidang seni persembahan, sudah pasti anak jati Texas, AS ini menyangkakan dia akan mencipta kejayaan sebagai seorang artis versatil.
Sehinggalah satu hari, dia menghadiri uji bakat yang dianjurkan oleh Travel Channel yang ketika itu sedang mencari pengacara untuk sebuah program baru berbentuk pelancongan.
Sekadar mahu mencuba nasib tanpa meletakkan harapan tinggi, siapa sangka rezeki berpihak kepada Samantha yang akhirnya begitu sinonim dengan program pelancongan.
"Itu cerita 11 tahun dulu. Bayangkan, saya sendiri tidak tahu apakah skop tugas seorang pengacara apabila berada di hadapan kamera.
"Saya bermula dari bawah dan perlahan-lahan saya belajar lalu menimba pengalaman sepanjang tempoh itu.
"Sehingga ke hari ini pun, saya tidak pernah menyangka saya sudah mengacara puluhan program yang ditonton oleh jutaan penonton di seluruh dunia," katanya penuh ramah dalam satu temu bual eksklusif bersama media tempatan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Antara program kendalian Samantha yang mendapat perhatian termasuklah Girl Meets Hawaii, Great Vacation Homes, Great Hotels, Passport to Europe, Passport to Latin America dan Great Weekends.
Kini, selepas 11 tahun menjadi seorang pengacara ternama, Samantha pastinya boleh berbangga dengan pencapaiannya apabila berpeluang mengembara hampir ke seluruh pelosok dunia.
Namun, Samantha tidak pernah mendabik dada atau meletakkan dirinya di kedudukan paling tinggi.
Setiap hari yang dilaluinya adalah hari baru untuknya menimba pengalaman yang berbeza.
Jika ada teman-teman mahupun ahli keluarga yang bertemu dengannya mahu dia menceritakan pengalamannya, dia lebih selesa tersenyum dan mendiamkan diri.
"Kalau ada yang bertanya, saya hanya memberikan jawapan yang ringkas.
"Justifikasi saya mudah. Kalau saya asyik bercerita, nanti saya akan dilabelkan sebagai seorang yang bongkak pula (ketawa).
"Tetapi, mereka tanpa segan-silu memberitahu saya bahawa mereka mencemburui saya yang berpeluang menjelajah dunia," cerita Samantha atau nama sebenarnya Samantha Elizabeth Brown ini sambil ketawa kecil.
Selama 11 tahun menjadi seorang pengacara, Samantha tidak menafikan bahawa proses pembelajaran yang dilaluinya sepanjang tempoh itu banyak mematangkan dirinya.
Kata Samantha, ada kalanya apa yang dilaporkan terhadap sesebuah negara itu seperti mana yang disiarkan di televisyen mahupun akhbar, bertentangan dengan pengalamannya sendiri.
Dalam masa yang sama juga, Samantha masih lagi memasang impian untuk meneroka negara India dan Afrika.
"Saya sudah berkunjung hampir semua negara di dunia tetapi bayangkan, saya belum pernah menjejakkan kaki ke dua buah negara itu," ujarnya.
Pengalaman berharga
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana cukup santai itu, Samantha turut ditanya tentang pengalaman terbaiknya sepanjang bergelar seorang pengacara.
Sambil termenung seketika, dia menghela nafas panjang sebelum memberikan jawapannya.
Menurut Samantha, setiap negara yang dikunjunginya mencatatkan momen tersendiri dan atas alasan itu, begitu sukar sekali untuknya memilih destinasi terbaik pilihannya.
Sempat juga dia berkongsi rahsia tentang salah satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan sewaktu berkunjung ke salah sebuah wilayah di China.
Ketika itu, dia sedang berehat seketika daripada penggambaran dan berjalan seorang diri sehinggalah dia tiba di satu perkampungan.
Sedang dia duduk melepaskan lelah untuk seketika, Samantha didatangi dua orang kanak-kanak perempuan yang cuba hendak berbual dengannya.
Namun, kerana masalah bahasa dan tidak mampu berbicara dalam bahasa Inggeris, mereka bertanyakan soalan kepadanya dalam bahasa ibunda.
"Setiap dua minit, mereka akan datang kepada saya dan bertanyakan soalan-soalan asas. Dari jauh, saya ternampak seorang wanita yang mungkin salah seorang peniaga di sana menjelaskan kepada mereka jawapan yang saya berikan.
"Daripada situ, saya lihat mereka begitu bersungguh untuk mempelajari bahasa yang cukup asing buat mereka biarpun hanya soalan yang asas.
"Di sinilah terletak keunikan sesebuah negara itu di mana kita sendiri dapat mempelajari budaya dan bahasan mereka.
"Jika ditanya pengalaman terbaik sepanjang menjadi pengacara, saya rasa itulah jawapannya," katanya yang juga mahu meneroka dunia Asia Barat yang sebelum ini sering menjadi mangsa diskriminasi segelintir pihak.
Terbit buku
Dalam usianya yang sudah mencecah 41 tahun itu, isteri kepada Kevin O'Leary ini telah menghabiskan seluruh hidupnya hanya dengan mengembara demi tuntutan tugas.
Bayangkan, dalam 365 hari setahun, Samantha mengabdikan dirinya dengan rakaman program kendaliannya untuk 230 hari.
Dan, untuk rakaman sebuah program yang memakan masa selama satu jam, ia memerlukan lapan hari untuk menyelesaikannya.
Mengakui ada ketika Samantha berasa penat dan merindui kampung halaman serta suaminya, tetapi, dia sedar semua itu dilakukan adalah kerana kerja.
"Untuk itu, apabila selesai semua rakaman, saya lebih selesa menghabiskan cuti dengan berehat di rumah sahaja.
"Kalau ada teman atau ahli keluarga yang ingin melawat, saya akan memberitahu mereka untuk hadir dua hari selepas saya pulang. Biarlah saya berehat sepuasnya sebelum saya bersedia melayan tetamu yang hadir.
"Sudah pasti, saya dan suami juga ada memikirkan soal cahaya mata dan pastinya, kami mahu memulakan keluarga sendiri," katanya yang kini menetap di Brooklyn, New York, AS.
Samantha turut mengkhabarkan dia kini dalam proses akhir untuk menyiapkan buku mengenai pelancongan berdasarkan pengalamannya selama 11 tahun menjadi seorang pengacara.
Menurutnya, jika tiada aral melintang buku tersebut akan berada di pasaran sekitar pertengahan tahun depan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: