
LANGKAWI 24 Julai - Lebih 110,000 pelajar sekolah di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada program sekolah angkat yang diterajui oleh Yayasan Pintar sejak ia diperkenalkan empat tahun lalu.
Pengarah Program Yayasan Pintar, Karimah Tan Abdullah berkata, sehingga kini yayasan itu mempunyai sebanyak 222 buah sekolah rendah dan menengah angkat yang diambil oleh 34 ahli serta rakan Pintar.
"Sejak projek perintis pada penghujung 2006, ahli dan rakan-rakan Pintar telah menjalankan tidak kurang 1,000 aktiviti di sekolah angkat masing-masing dengan penglibatan para pelajar, guru, ibu bapa dan komuniti yang memberi manfaat kepada lebih 110,000 pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia pada majlis perasmian sekolah angkat Teluk Datai Resort Sdn. Bhd. (TDRSB) di bawah program Pintar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ewa, Ayer Hangat di sini hari ini. SK Ewa merupakan sekolah pertama diangkat oleh TDRSB di bawah program tersebut.
Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Mohd. Rawi Abdul Hamid. Hadir sama Timbalan Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Destination Resorts and Hotel Sdn. Bhd. (syarikat induk TDRSB), Zulhaimi Othman.
Pintar yang merujuk kepada Mempromosi Kebijaksanaan, Memupuk Bakat dan Pembangunan Sahsiah merupakan program sekolah anak angkat dan sebagai satu tanggungjawab sosial hasil inisiatif syarikat-syarikat korporat Malaysia dan organisasi sosial lain bagi menggalakkan pencapaian cemerlang pelajar dalam akademik serta bukan akademik.
Yayasan Pintar ditubuhkan pada 2008 dengan mandat untuk membangun dan menyelaraskan program nasionalnya.
Menurut Karimah, menerusi kerjasama dan perkongsian bijak dengan syarikat milik kerajaan (GLC), swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan, Yayasan Pintar berusaha untuk membina modal insan negara yang cemerlang.
Sementara itu, Zulhaimi berkata, penyertaan TDRSB di dalam program Pintar diharap dapat membangunkan kecemerlangan akademik sekolah yang terlibat dan menggalakkan budaya kecemerlangan di kalangan pelajar, ibu bapa serta masyarakat setempat seiring dengan objektifnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: