|
|
MEMANG tidak dapat dinafikan lagi, peranan ibu memang cukup besar dalam hidup setiap insan di dunia ini.
Kasih sayang yang diberikan oleh seorang ibu kepada anaknya memang tidak pernah berbelah bagi.
Begitu juga dengan doa yang sentiasa dikirimkan umpama kuasa sakti yang bisa memudahkan perjalanan hidup yang diharungi dalam apa jua keadaan sekali pun.
Bersempena dengan sambutan Hari Ibu yang jatuh pada Ahad ini (8 Mei), Hits telah menggabungkan tiga pelakon muda yang semakin meningkat naik iaitu Nurul Elfira Loy, Nur Fathia Abd. Latiff dan Kilafairy bersama ibu masing-masing.
Semuanya disatukan dalam majlis sambutan Hari Ibu anjuran Rafflesia The Pearl Centre yang telah berlangung di PNB Darby Park Executives Suites, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selepas duduk bersembang dengan ibu kepada ketiga-tiga aktres muda ini, satu kesimpulan dapat dibuat.
Masing-masing mahukan anak perempuan mereka mencapai kejayaan optimum dalam bidang seni dan paling utama, tidak sesekali mengabaikan pelajaran.
Dalam erti kata lain, mereka mahu melihat anak mereka berjaya dalam pelajaran terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan dalam bidang seni.
Tidak paksa anak berlakon
IBU kepada Nurul Elfira Loy iaitu Filzah Yusoff memberitahu dia tidak pernah sesekali memaksa anak keduanya itu menceburi bidang seni.
Apa yang mampu dilakukannya adalah untuk memberikan sokongan dan cadangan terbaik bagi anaknya itu membuat keputusan dalam apa jua yang dilakukannya.
"Sebagai contoh, kalau ada tawaran berlakon, saya akan memberitahu kepada Elfira dan saya tidak pernah paksa untuk dia menerima apa jua tawaran yang mendatang.
"Saya akan menasihatinya untuk berfikir terlebih dahulu dalam menerima sebarang tawaran kerana saya tidak mahu pelajarannya terjejas.
"Apatah lagi dalam usianya 17 tahun itu, dia juga perlu menumpukan perhatian kepada pelajarannya memandangkan dia akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Saya tidak kisah kalau anak saya mahu meneruskan minatnya dalam bidang seni tetapi saya juga sering mengingatkan dan bertegas dengannya agar bijak membahagikan masanya," jelas Filzah yang memiliki perwatakan lembut ini lagi.
Nasihat Rohana untuk Kila
SEBAGAI seorang penyanyi yang menceburi bidang seni selama 31 tahun, gosip sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup Rohana Jalil.
Lantaran itu, apabila anak ketiganya, Kilafairy yang kini mengorak langkah sebagai seorang artis dan menerima tempias cerita-cerita yang kurang enak, Rohana akan sentiasa berada di sisinya.
"Sebelum Kila (panggilan mesra untuk Kilafairy) memilih jalan untuk menjadi seorang artis, berkali-kali saya menasihatinya agar bersiap-sedia dengan segala kemungkinan yang akan dihadapi.
"Nasihat saya kepada Kila, dunia seni bukan sesuatu yang indah dan dalam meniti perjalanan menuju kejayaan itu pasti akan ada onak dan durinya. Apatah lagi untuk artis baru sepertinya.
"Ternyata, semangatnya begitu kental dan kuat. Malah, dia juga sudah mula untuk menerima segala-galanya dengan hati terbuka kerana dia tahu apa yang dilakukannya.
"Lagipun bidang seni merupakan minatnya sejak kecil. Jadi, dia akan meneruskan minatnya walaupun perlu menempuhi badai dan gelora dalam bidang seni ini," kata Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil ini tanpa selindung.
Mahu Fathia berjaya
KETIKA kali pertama Nur Fathia menyuarakan hasrat untuk menjadi seorang pelakon, Badriah Sheikh Hassan Badjenik menolak mentah-mentah permintaan anaknya itu.
Semuanya kerana dia tidak mahu anaknya itu akan jauh tersasar daripada matlamat hidup asalnya dengan mengabaikan pelajarannya.
Namun, lama-kelamaan hatinya menjadi lembut dan merestui minat Nur Fathia dengan menetapkan beberapa syarat yang harus dipatuhi.
"Sudah pasti syarat pertama saya dia kena fokus kepada pelajarannya dalam bidang undang-undang yang diambilnya.
"Nasihat saya dia harus bijak mengimbangi antara lakonan dan pelajaran.
"Apa-apa pun, pelajaran tetap penting dan diutamakan kerana ia adalah jaminan hidup di masa depan kerana hidup artis ada pasang dan surutnya.
"Alhamdulillah, Nur Fathia faham dan dia sendiri bijak mengatur jadualnya. Saya berada di sisinya untuk memastikan agar dia tidak tersasar daripada matlamat asalnya," kata wanita jelita berusia 51 tahun ini lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: