|
|
MEMANG cukup mencuit hati melihat penyampai radio Hot FM, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid al-Yahya dan suaminya, Muhammad Ashraf Aasimuddin melayan kerenah dan gelagat anak kembar mereka, Aza Ameena dan Asha Ameena yang kini berusia dua tahun.
Walaupun penat kerana baru sahaja pulang dari tempat kerja, Sharifah Aleya atau lebih dikenali dengan panggilan Leya itu tetap sabar melayan setiap kehendak anak-anaknya.
Ada kalanya, tidak senang duduk Leya dibuatnya sewaktu sedang menata rias wajahnya untuk sesi fotografi yang berlangsung di rumah ibunya, Fatimah Abu Bakar yang terletak di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selepas ‘mengganggu’ ibunya, Aza dan Asha akan beralih pula kepada bapa mereka untuk mendapatkan perhatian.
Ketika itulah, Muhammad Ashraf atau lebih mesra disapa Ashraf akan menarik perhatian mereka dengan aplikasi permainan yang terkandung dalam iPad.
“Beginilah perangai anak-anak saya. Masing-masing semuanya tidak tahu diam. Pasti ada sahaja perkara yang berlaku.
“Tidak sah kalau masing-masing tidak mengusik antara satu sama lain. Baik Aza mahupun Asha, kedua-duanya tidak mahu mengalah.
“ Bukan mudah hendak menjaga anak kembar terutama apabila mereka mula meningkat dewasa. Ketika itu, barulah nampak perangai dan sikap masing-masing,” cerita Leya sambil ketawa kecil.
Leya dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2007. Kedua-dua anak mereka itu dilahirkan pada 26 Jun 2009 di mana Aza terlebih dahulu melihat dunia pada pukul 11.46 pagi sebelum Asha mengekori kakaknya seminit selepas itu.
Menyambung bicara, kata Leya, dia tidak pernah membezakan kasih sayang antara kedua-dua anaknya itu kerana mahu bersikap adil.
“Apabila mereka mula membesar, semuanya sudah berubah jika hendak dibandingkan ketika mereka kecil. Saya dan Ashraf memerlukan kesabaran yang tinggi untuk melayan kerenah mereka.
“Aza misalnya lebih rapat dengan saya dan Asha pula selesa bermanja bersama Ashraf. Malah, kedua-duanya memiliki sifat dan sikap yang berbeza.
“Pantang kita mengalihkan pandangan, pasti mereka bergaduh dan mulalah nanti ada yang menangis. Mujurlah, mereka cepat meminta maaf selepas disuruh oleh saya ataupun Ashraf,” katanya lagi.
Dalam pertemuan itu juga, Leya yang mula dikenali menerusi filem Idola pada tahun 2002 itu juga telah membongkar rahsia tentang anak-anaknya kepada S3.
Cerita Aleya, Aza dan Asha masing-masing telah menunjukkan minat terhadap muzik dan lagu kegemaran mereka adalah Jahat nyanyian juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy.
“Setiap kali lagu itu berkumandang, mereka akan menunjukkan skil tarian masing-masing dan turut menyanyi bersama dengan lagu itu.
“Percaya atau tidak, sewaktu Stacy bertanding pada Anugerah Juara Lagu Ke-25 awal tahun ini, mereka boleh terus bangun dari tidur yang nyenyak lalu menonton persembahan Stacy.
“Saya sendiri pun pelik macam manalah mereka boleh obses dengan lagu itu,” kata Leya bercerita penuh bersungguh-sungguh.
Sebagai bukti, Leya segera memainkan lagu itu menerusi iPad. Tanpa perlu disuruh, Aza dan Asha terus menari sambil menyanyi sehingga meminta ibu mereka memutarkan lagu tersebut berulang kali.
Biar sibuk mana pun Leya dan suaminya, seboleh-bolehnya mereka akan tetap mencari waktu untuk menghabiskan masa dengan anak-anak mereka.
Jika berkesempatan, mereka akan pergi bercuti dan membuka minda serta pandangan anak-anak mereka dengan keadaan sekeliling.
“Saya dan suami memang teringin mahu pergi bercuti ke luar negara sekali sekala. Tetapi kerana memikirkan Aza dan Asha masih kecil, kami menyimpan hasrat itu dulu dan akan meneruskannya apabila usia mereka meningkat sedikit,” ujar Leya yang mengendalikan segmen Menu Muzik Hot FM setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 11 pagi hingga 3 petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: