Saturday, May 7, 2011

Midtown serikan Esplanade Kuantan


BAZAR larut malam D'Muda Midtown Esplanade di Taman Esplanade, Kuantan beroperasi setiap malam Jumaat hingga Ahad bermula pukul 6 petang sehingga lewat pagi.


TIDAK ramai daripada kita mempunyai aktiviti menarik yang boleh dilakukan pada waktu malam. Begitulah dirasai warga Kuantan yang saban hari 'bingung' memikirkan apakah aktiviti menarik yang boleh dilakukan, selain bersantai di pusat beli-belah dan bersiar di tepi pantai.

Namun begitu dengan kehadiran Taman Esplanade di Kuantan, warga ibu negeri Pahang itu kini memiliki lebih banyak pilihan untuk beraktiviti selepas tirai senja berlabuh.

Kehadiran taman itu kini membuka ruang kepada warga Kuantan untuk bersantai sambil membeli-belah pada waktu malam. Mereka kini tidak lagi sunyi apabila terdapat tempat baru untuk bersantai sambil membeli-belah dibuka di Taman Esplanade.

Inisiatif itu diilhamkan Dewan Perniagaan Melayu Muda (DPMM) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang.

Bazar larut malam yang dikenali sebagai D'Muda Midtown Esplanade itu beroperasi setiap malam Jumaat hingga Ahad bermula pukul 6 petang hingga lewat pagi.

Konsep perniagaannya terbuka, tawaran harga berpatutan dan suasana yang meriah menyediakan pelbagai jenis peniagaan seperti menjual pakaian, permainan kanak-kanak, beraneka jenis tudung serta apa yang diinginkan, hampir semuanya terdapat di bazar ini.

Lokasi yang strategik iaitu di pesisiran Sungai Kuantan memudahkan orang ramai untuk bersantai bersama keluarga. Bagi remaja, selain membeli-belah, jiwa muda mereka juga boleh dihiburkan menerusi sesi karaoke atau sekadar bersiar-siar sambil melihat gelagat orang ramai.

Selain menawarkan barangan pada harga murah, bazar larut malam itu turut menjadi trend terkini kalangan warga bandar melakukan pelbagai aktiviti menarik termasuk melukis potret.

Menyusuri setiap gerai jualan di Midtown membuatkan pengunjung hampir terlupa waktu tidur.

Jika terasa penat kerana terlalu lama meninjau pelbagai barangan di gerai-gerai jualan sepanjang hampir satu kilometer itu, pengunjung boleh berehat sambil menjamu selera di beberapa gerai yang menawarkan aneka juadah istimewa.

Bukan sahaja penduduk di sekitar bandar ini, malah ada juga antara mereka yang berasal dari Kelantan dan Terengganu turut memeriahkan aktiviti tengah malam di bazar tersebut.

Penyelaras bazar, Baryusamzlino Abdul Jabar, 33, berkata, sambutan daripada penduduk di bandar ini dan daerah lain amat memberangsangkan.

Menurutnya, rata-rata kebanyakan pengunjung terdiri daripada golongan belia dan tidak kurang juga ada yang datang bersama keluarga.

''Kebanyakan barangan yang dijual di sini murah dan sangat berpatutan, selain terdapat pelbagai pilihan dan mereka tidak perlu lagi ke tempat lain untuk mendapatkan barangan pilihan," katanya kepada S2.

Baryusamzlino memberitahu, penubuhan bazar tersebut bertujuan membantu peniaga bumiputera menambah pendapatan, selain mempromosikan satu lagi daya tarikan di bandar Kuantan.

Pada awal pembukaannya, sambutan diterima kurang memberangsangkan kerana ketika itu hanya 24 gerai berdaftar. Namun pada masa ini, angka tersebut mencecah 54 gerai.

Baryusamzlino menjelaskan, dengan kadar sewa berpatutan iaitu hanya RM40 sehari, peniaga boleh mencapai keuntungan dan pulangan modal lumayan dengan kehadiran pengunjung yang ramai.

''Mungkin juga kerana faktor kedudukan bazar ini yang strategik menyebabkan ia menjadi pilihan pengunjung untuk berkunjung dan membeli-belah sambil bersantai.

''Bagi menghidupkan lagi suasana di bazar ini, setiap bulan DPMM Muda dengan kerjasama MPK dan beberapa agensi lain mengadakan konsert mini, tarian dan pertunjukan fesyen," tambahnya.

Menurutnya, sejak bazar larut malam diwujudkan, ada peniaga mencapai pendapatan lumayan sekali gus menjayakan objektif DPMM untuk membantu golongan bumiputera.

''Sekurang-kurangnya dengan adanya aktiviti di sini, ia mampu menghidupkan waktu malam di Kuantan, selain dapat mencegah golongan remaja melakukan aktiviti tidak sihat seperti berlumba haram," jelasnya.

Sementara itu, seorang peniaga, Zulina Zuldin, 34, berkata, inisiatif DPMM Muda untuk membantu usahawan kecil amat dihargai kerana golongan tersebut dapat menambah pendapatan.

Menurutnya, bilangan pengunjung yang datang ke bazar tersebut bertambah menjelang pukul 1 pagi terutama pada cuti hujung minggu.

''Kebanyakan pengunjung akan datang membeli-belah, makan, menyertai pelbagai aktiviti seperti karaoke atau menyaksikan persembahan badut," katanya yang mengusahakan gerai menjual alat permainan kanak-kanak.

Katanya, antara faktor yang menarik orang ramai datang ke sini ialah lokasinya, selain tarikan pelbagai barangan yang boleh dibeli pada harga murah dan boleh dirunding.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: