PELAKON dan pengarah teater popular, Rosdeen Suboh (gambar) berjanji untuk memberikan kelainan kepada watak Utih dalam pementasan Muzikal Uda dan Dara pada 10 hingga 20 Julai ini di Istana Budaya.
Sebelum ini, watak Utih pernah dilakonkan oleh pelakon tersohor iaitu Datuk Rahim Razali dan Eman Manan. Kali ini, Rosdeen akan memberikan suntikan Utih yang baru dan ‘muda’.
“Saya akan suntik watak Utih yang nakal dan energetik. Bagaimanapun saya masih dan akan mengekalkan aura Melayu.
“Misalnya, saya membaca puisi yang berbunga-bunga itu dengan bersahaja seperti bercakap. Saya jadikan ia seperti 'makanan' saya.
“Apabila berlakon di bawah arahan Datuk Rahim Razali, saya rasa semuanya menjadi mudah kerana dia melepaskan kreativiti kepada pelakon,” katanya kepada mStar Online.
Keseronokan membawakan watak Utih jelas tergambar di wajah Rosdeen ketika melakonkannya semasa majlis sidang media dan pratonton muzikal itu baru-baru ini di Istana Budaya.
Rosdeen pandai mendeklamasikan puisi karya ulung Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang itu dengan penuh bergaya dan bersahaja. Namun memikat hati dan menghiburkan.
Biarpun begitu, dia masih tidak berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan sebaliknya meluahkan perasaan runsingnya jika akan dibanding-bandingkan dengan lakonan Eman Manan.
“Saya tertekan juga jika dibandingkan dengan Eman tetapi saya akan cuba sedaya-upaya menekankan mesej sebalik puisi yang disampaikan itu,” katanya yang akan muncul sebanyak empat kali dalam muzikal tersebut.
Rosdeen yang menceburi industri teater selama 17 tahun itu juga mengakui tidak sukar untuk menghafal puisi karya Usman kerana dia meminati puisi-puisi tokoh sastera itu.
“Dalam puisi sastera seperti itu, saya hanya perlu mengulang perkataan yang sama. Saya juga menyukai puisi-puisi Usman yang kebanyakannya bergenre romantik. Untuk memudahkan, saya turut mewujudkan perasaan romantik itu dalam diri.
“Semasa arwah Usman masih ada, saya pernah berbual dengannya kerana dia juga suka melepaskan perasaan kepada orang lain,” katanya yang pernah melakonkan teater karya Usman berjudul Dari Bintang Ke Bintang.
Selain berlakon, Rosdeen juga mempunyai bakat dalam bidang pengarahan teater. Terbaru, dia pernah mengarah teater Muzikal Sri Mersing.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: