Thursday, June 3, 2010

Wartawan cerita detik cemas



KUALA LUMPUR - Kesemua 12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel dua hari lepas sudah dibebaskan dan kini berada di Jordan, kata wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, 25 yang juga merupakan salah seorang daripada rakyat Malaysia yang turut berada di atas kapal itu semasa ia diserang.

Dalam satu lintas langsung dengan stesen itu pagi semalam, Ashwad berkata, mereka berada dalam keadaan selamat tetapi keletihan.

Mereka dihantar dengan bas bersama sukarelawan daripada beberapa negara lain ke sempadan Israel-Jordan, dan kini dalam perjalanan ke Amman.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia, piha:k kedutaan (di Jordan) dan masyarakat antarabangsa yang banyak berusaha untuk keluarkan kami,” katanya

:Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan agar mereka selamat dan mengadakan sembahyang hajat.

:Mavi Marmara, sebuah kapal Turki ialah satu daripada konvoi kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza.

Ketika ditanya pengalaman sepanjang insiden itu, Ashwad berkata, layanan yang diterima dalam tempoh 28 jam itu mengambarkan konflik enam dekad yang dialami oleh rakyat Palestin yang tertindas.

Katanya, kejadian itu bermula apabila tentera Israel mengepung kapal mereka ketika ia berada kira-kira 68 batu di luar perairan Israel pada pukul 4.20 pagi.

“Tentera Israel mengepung kami dari semua pelosok... mereka menggunakan 19 bot, lapan kapal laut dan tiga helikopter,” katanya.

Menurut beliau, tentera Israel menggunakan peluru hidup ketika menyerang kapal itu dan berdepan dengan sukarelawan yang hanya menggunakan peralatan bukan senjata, seperti air dari pili bomba.

“Kami diserang bertubi-tubi oleh komando yang naik ke atas kapal. Saya dan Samsul (jurukamera) terselamat tetapi dua sukarelawan yang berada di tepi kami terkena tembakan di tangan dan bahu,” katanya.

“Kami kemudian lari ke kawasan lebih selamat... kami lihat ada sukarelawan yang berlumuran darah...ini pengalaman memeritkan yang berjaya membuka mata dunia apa yang berlaku. Tak sangka Israel bertindak demikian... kami hanya orang awam,” katanya.

Ditanya keadaan Samsul Kamal Abdul Latip, Ashwad berkata, beliau selamat tetapi mereka terpisah selepas mereka ditahan tentera Israel.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: