|
|
KUALA LUMPUR - Kehangatan Piala Dunia yang bermula hari ini tidak terlepas daripada mendapat perhatian Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengajak segenap rakyat negara ini menggunakan semangat berpasukan untuk membawa Malaysia ke arah negara maju.
Ketika membuat kesimpulan pada sesi pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di Parlimen semalam, Perdana Menteri menghuraikan dalam bentuk kiasan bagaimana semangat demikian bukan sahaja penting dalam permainan bola sepak tetapi juga untuk negara ini maju ke hadapan.
"Bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, kesemua pemain daripada pasukan tersebut tanpa mengira posisi, perlu bekerjasama serta bermain dalam satu pasukan.
"Jika tidak, mereka bukan saja tidak mungkin menang malahan kalah teruk, walau hebat mana pun pemain secara individu, mereka hanya akan menggondol kemenangan sebenar secara berpasukan.
"Jika sekali pun setiap pemain sebaik Rooney, Messi atau Ronaldo, akan tetapi jika pemain pertahanan dan penjaga golnya lemah, maka pasukan tersebut berkemungkinan kalah.
"Maka, untuk berjaya, kita perlu bekerja sebagai pasukan 1Malaysia yang seia, sekata, sebaris, sederap dengan satu wawasan, satu matlamat dengan satu citra, mempersembahkan yang terbaik kepada Malaysia dengan segala kudrat yang termampu," katanya.
Tambah beliau, setiap etnik di negara ini telah menyumbang kepada pembangunan sebuah negara bangsa Malaysia yang aman dan makmur.
"Orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan Dusun, orang Melanau, orang Murut, orang Sikh, orang Asli, orang Serani, orang Siam, pendek katanya setiap etnik di bumi tercinta ini telah menyumbang kepada terbangunnya sebuah negara bangsa Malaysia yang aman dan makmur seperti hari ini.
"Namun harus diingat, ia tidak dapat menandingi potensi sumbangan yang mampu dihasilkan oleh mereka seandai dan sekiranya dilakukan secara kolektif,'' ujar Najib.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: