Monday, June 14, 2010

Terus ligat...Sarimah Ibrahim

Sarimah Ibrahim
Sarimah Ibrahim
Banyak kerja perlu dibuat, tetapi Sarimah tidak abaikan kesihatan

JADUAL hariannya cukup padat sebelum ini. Apatah lagi apabila di bahunya tergalas tanggungjawab cukup besar. Mungkin bagi sesetengah pihak, bergelar pengacara program Akademi Fantasia ke-8 (AF8), tidak lebih sekadar satu tugas glamor kerana ia menjanjikan bulan dan bintang buat mereka yang dipilih. Namun, itu tidak buat pengacara, model, pelakon dan penyanyi Sarimah Ibrahim. Bagi selebriti jelita ini, bergelar pengacara AF menuntut lebih dari itu. Hambatan tugas yang tak pernah selesai serta perlu berdepan dengan pelbagai kritikan membuat pelakon berdarah Irish-Melayu ini sering dalam keadaan tekanan.Kini, Sarimah sudah boleh menarik nafas lega memandangkan tugasnya yang sering dibaluti kontroversi itu berakhir pada 22 Mei lalu. Walaupun AF8 sudah hampir sebulan ditinggalkan, namun masih ada suara nakal menyatakan, pengacara untuk musim AF8 gagal memberikan impak yang berkesan kepada penonton berbanding dua pengacara sebelum ini.

Ini ketara apabila AF musim ini tidak mendapat perhatian sehebat tujuh musim sebelum ini. Malah kalau hendak dibandingkan dengan fenomena yang pernah dicetuskan program di awal-awal kemunculannya dulu, ibarat langit dengan bumi.
Hanya kritikan yang kedengaran, bukannya pujian. Apabila diajukan pertanyaan ini, Sarimah menafikan kehambaran program itu berpunca daripada pengacara sahaja.

“Sebenarnya ulasan negatif yang diterima adalah untuk program AF8 itu secara keseluruhan.
“Biasalah, apabila sesebuah program melakukan banyak perubahan, tidak semua pihak boleh menerimanya. Ini bukan saja program realiti tempatan tetapi juga di luar negara seperti American Idol. Program ini turut menerima komen yang mengatakan ia kurang menyengat.

“Berdasarkan komen yang saya terima setakat ini, rata-rata memberikan maklum balas positif. Bagaimanapun, jika ada kekurangan, itu adalah lumrah. Perjalanan saya masih jauh dan saya akan terus belajar memantapkan kemahiran serta corak penyampaian jika terus diberi peluang menyumbangkan bakat saya dalam bidang yang dicintai ini,” katanya dalam satu temubual bersama Hip.

Seperti yang dinyatakannya tadi, bergelar pengacara AF bukanlah setakat membina tapak kukuh dalam bidang pengacaraan serta mengejar limpahan glamor tetapi turut memberikan pengalaman berharga yang tidak mungkin dapat dikutip di mana-mana.

“Dapat banyak pengalaman, antaranya saya dapat mengenali sikap dan pemikiran penonton program ini, mengetahui harapan penonton serta menyuntik semangat baru apabila berpeluang bekerja dengan produksi yang tidak pernah kenal erti jemu serta gigih berusaha semata-mata untuk memuaskan hati semua pihak yang menonton AF8,” kata penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kini Kau Tiada.

Dengan tamatnya AF8, jadual harian berubah serta kembali seperti biasa iaitu kembali aktif menjadi pengacara untuk pelbagai majlis.

“Selain itu, saya juga akan menyambung pembelajaran saya dalam bidang psikologi di kolej serta terbabit mengendalikan acara majlis hari lahir, makan malam dan festival.

“Saya juga ada menerima tawaran sebagai pengacara Biggest Loser Asia untuk muzik kedua. Bagaimanapun, saya belum memberikan sebarang kata putus kerana masih lagi menjadi pengacara eksklusif Astro dan apa saja keputusan yang dibuat, harus mengutamakan mereka terlebih dulu.

“Tapi, saya difahamkan, mereka mempunyai perancangan untuk menerbitkan sebuah rancangan baru untuk saya di saluran Astro Ria,” katanya yang kini semakin langsing.

Tak guna gula pasir

MESKIPUN jadual hariannya padat dengan pelbagai aktiviti, namun pada masa sama, Sarimah tidak pernah mengabaikan kesihatannya. Dia akan sentiasa memastikan mempunyai masa untuk dihabiskan gimnasium bagi mengekalkan kecergasan. Apa saja aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh seperti berlari, berbasikal, semua itu dilakukannya.

Tegasnya, sebagai personaliti, dia perlu sentiasa kelihatan cergas dan cantik dan untuk itu harus memastikan aktiviti bersenam harus dilakukan selain menjaga pemakanan harian.

“Saya akan memastikan tidur saya sentiasa cukup iaitu lapan jam sehari, minum air satu liter sehari serta tidak menambah gula dalam air minuman. Sejak lapan tahun lalu, saya memang tidak pernah menggunakan gula pasir dalam minuman.

“Semuanya bermula apabila berat badan saya bertambah dan sejak itu, saya menggunakan Equal sebagai gula gantian dalam minuman. Lagipun, selain untuk kesihatan, gula ini juga senang di bawa ke mana-mana.

“Saya selalu membawa gula gantian Equal dalam beg untuk diletakkan dalam air minuman kegemaran saya iaitu milo dan kopi. Saya suka menambah Equal dalam minuman sebelum terbabit dengan penggambaran atau sebelum ke gimnasium,” katanya yang kini dipilih sebagai duta kepada produk Equal ini.

Sebagai jurucakap kepada produk terbabit, Sarimah merasakan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik masyarakat supaya mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman demi kesihatan.

“Kita sendiri sedia maklum penggunaan guna yang terlalu banyak boleh menyebabkan penyakit kencing manis dan kegemukan. Pengetahuan yang saya timba sewaktu menjadi pengacara Biggest Loser Asia boleh dijadikan panduan untuk berkongsi soal penjagaan kesihatan dengan peminat,” kata Sarimah yang mempunyai perancangan untuk membuka perniagaan berasaskan sukan menyelam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: