Friday, June 4, 2010

Suri rumah rugi RM1.2j ditipu kenalan Internet

KUALA LUMPUR – Perkenalan seorang suri rumah dengan seorang jurutera warga asing melalui Internet sejak Mac tahun lalu, akhirnya menjerat diri sendiri apabila dia diperdaya lelaki itu sehingga menyebabkannya kerugian kira-kira RM 1.2 juta.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Madam Lee, 47, berkata, dia mengenali lelaki (jurutera) itu, Jeff Brian Manik selepas melayari satu laman sosial di Internet yang bertindak memperkenalkan jodoh atau rakan baru kepada pengunjungnya.

Menurutnya, mereka sering berinteraksi menerusi e-mel, laman sembang serta berbual melalui telefon.

Madam Lee berkata, pada 7 April lalu, Jeff memberitahu dia akan menghantar beberapa hadiah antaranya, komputer riba jenama Compact, kamera digital, set rantai dan gelang berlian jenama Tiffany, jam jenama Roberto Cavalli, I-phone dan minyak wangi jenama caron’s Poivre melalui sebuah syarikat kurier dari United Kingdom.

Katanya, barangan itu akan dihantar kepada saya oleh seorang wanita bernama Jennifer Smith. Namun setelah, barangan itu tiba di KLIA baru-baru ini, wanita itu meminta saya membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM16,500 untuk menuntut barangan tersebut.

“Selepas pembayaran dibuat, saya masih belum menerima sebarang hadiah yang dijanjikan dan percaya ditipu oleh Jeff dan wanita itu,”katanya ketika ditemui di Wisma MCA semalam.

.Madam Lee berkata, pada 20 April lalu dia kemudiannya menerima satu e-mel daripada seorang lelaki, Dr Allen John yang mendakwa dirinya sebagai salah seorang ejen kepada Jeff dan sedang menguruskan satu dana berjumlah 2.5 juta pound sterling (RM11.75 juta) untuk diberikan kepadanya.

Katanya, dana itu diberikan oleh Jeff kepada saya untuk dilaburkan dalam pelaburan hartanah di negara ini dan mahu saya menguruskan sepenuhnya.

“Susulan itu saya terus diminta membuat pelbagai pembayaran dengan pelbagai alasan sehingga 26 Mei lalu, namun tidak pernah menerima hadiah atau wang pelaburan bernilai 2.5 juta pound sterling seperti yang didakwa.

“Saya terus membuat laporan polis pada 30 Mei lalu, kerana serik ditipu selain kerugian sebanyak RM 1.2 juta,”katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, kes Madam Lee bukanlah kes pertama kerana sebelum ini, pihaknya menerima sebanyak 18 aduan membabitkan kes sama sejak tiga tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: