Sunday, June 13, 2010

Sinar menunggu Bob


BOB mengharapkan single keempat miliknya ini akan meneruskan sinar dalam karier nyanyiannya.


VOKAL lelaki kelahiran Limbang, Sarawak ini tidak pernah mengecewakan. Bob atau nama sebenar Yusrizan Usop berdiri atas faktor itu yang kuat. Namun atas realiti yang dihadapinya, namanya kadangkala timbul dan kadangkala tenggelam. Tidak sekuat vokal yang dilontarkan yang mampu membuatkan umum berbuah kagum mendengar.

"Jujurnya saya belum mencapai kepuasan atau satu tahap klimaks dalam nyanyian saya. Benar, nama saya tenggelam timbul tetapi ini menunjukkan saya perlu bekerja dengan lebih keras. Saya seorang yang berfikiran positif dan tahu saya mempunyai peminat dan kelas tersendiri,"ujar Bob yang sudah tujuh tahun bergelar penyanyi.

Bintang kelahiran program Akademi Fantasia musim kedua ini dalam proses mempromosikan single keempat miliknya bertajuk Sinar Menunggu yang diedarkan oleh Best Malaysia Entertainment Sdn. Bhd. (BME). Lagu yang ditulis oleh Ross Ariffin dan lirik oleh Sulu Sarawak itu membuktikan Bob masih mahu terus berada statusnya bergelar penyanyi. "Saya jadi terharu apabila Ross Ariffin sanggup pulang ke Malaysia semata-mata untuk merakamkan lagu tersebut,"ujarnya yang mengidamkan sebuah album namun akur dengan ketidakstabilan industri.

Pada masa yang sama, penyanyi yang menjadi pelakon melalui siri televisyen Hotel Mania ini mengaku kurang mencintai bidang lakonan. Namun atas rasa ingin mencuba dan gemarkan konsep muzikal dalam siri itu, Bob mengambil cabaran tersebut. Dia yang memang petah berbicara ini juga telah dilantik menjadi jurucakap bagi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan akan menghadiri Perkhemahan Belia Asia yang bakal diadakan di Pekan, Pahang.

"Saya mahu umum mendengar muzik saya dan mahu terus berdiri atas faktor itu. Saya rasa terharu jika peminat terhibur dengan nyanyian dan persembahan saya. Dalam perancangan saya sekarang, saya sedang merangka untuk mempersiapkan sebuah album etnik yang tersuntik unsur fusion. Saya berharap ada komposer-komposer yang akan memberikan material untuk projek saya ini,"ujarnya yang merasakan persepsi umum berubah terhadapnya setelah berjaya menundukkan ribuan peserta dari 27 negara dengan memenangi emas dalam Kategori Pop, Terbuka, Kontemporari dan World Music di World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: