|
|
SHAH ALAM - Bagi mendapat upah lebih RM4,000, seorang pemuda Iran sanggup bergadai nyawa dengan menelan sejumlah 64 kapsul berisi syabu yang berat kesemua dadah itu berjumlah 562 gram untuk diseludup.
Bagi setiap kapsul dadah itu, suspek mendakwa dia dibayar RM65.45 (AS$20).
Kesemua dadah yang disembunyi di dalam perutnya itu kemudian diarahkan diseludup masuk ke Malaysia untuk diserahkan kepada ahli sindiket.
Bagaimanapun, nasib lelaki Iran itu malang apabila dia ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 3.45 petang 11 Jun lalu.
Suspek sebelum itu menaiki penerbangan dari Dubai.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, pemeriksaan badan ke atas suspek itu pada mulanya menjumpai 36 ketulan plastik dipercayai ganja seberat 330 gram.
"Kesemua gumpalan tisu itu diselitkan di bahagian kanan dan kiri pinggang seluar suspek itu," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, turut ditemui pada suspek Iran itu sejumlah mata wang asing.
Katanya, polis yang curiga dengan kemasukan lelaki itu ke negara ini, kemudian membawa suspek itu ke Hospital Serdang dan melalui ujian X-ray.
"Melalui X-ray sebanyak 64 kapsul berisi syabu seberat 562 gram ditemui di dalam perut lelaki itu.
"Polis mengambil masa tiga hari untuk mengeluarkan dadah tersebut daripada perut suspek," kata beliau.
Nordin memberitahu, jumlah kesemua dadah yang dirampas daripada lelaki Iran itu bernilai RM225,000.
"Suspek sebelum ini tiada rekod masuk ke Malaysia dan dia dipercayai membawa dadah itu dari Iran," kata beliau.
Dalam perkembangan sama, Nordin berkata, polis turut menahan dan merampas sejumlah dadah daripada dua lelaki warga India berusia 40 dan 43 tahun masing-masing di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang dan KLIA.
Beliau berkata, dalam rampasan pada 9 Jun di KLIA, polis menahan lelaki warga India berusia 43 tahun.
"Ketika ditahan lelaki itu sedang menolak troli mengandungi sebuah kotak berisi pakaian dan sebuah beg.
"Pemeriksaan ke atas kotak itu menemui 20 paket plastik mengandungi dadah disyaki ketamin seberat 4.75 kilogram (kg) dan bernilai kira-kira RM145,000 yang disorokkan dalam dinding kotak tersebut.
"Turut dirampas wang tunai RM650 dan sejumlah mata wang asing," kata beliau.
Nordin memberitahu, siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi di India itu pernah masuk ke negara ini sebanyak tiga kali dan dadah tersebut dipercayai untuk dipasarkan semula ke negara-negara lain.
Dalam rampasan pada 13 Jun di LCCT, kata beliau, polis menahan seorang lagi lelaki warga India berusia 40 tahun yang membawa dua buah beg.
Nordin berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua beg menjumpai satu bungkusan plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat 2kg di bahagian bawah beg pertama dan satu bungkusan plastik berisi dadah jenis sama seberat 1.9kg di bahagian bawah beg kedua.
Katanya, turut dirampas daripada suspek yang bekerja sebagai buruh di negaranya ialah wang tunai RM786 dan sejumlah mata wang asing.
"Nilai rampasan berjumlah kira-kira RM120,000.
"Suspek yang pertama kali masuk ke Malaysia dijangka balik ke negara asalnya pada 14 Jun lepas," katanya.
Nordin berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: