Tuesday, June 15, 2010

Puluhan ribu tinggalkan Kyrgyzstan

KUMPULAN etnik Uzbek berehat selepas mereka melintasi sempadan  antara Kyrgyzstan dan Uzbekistan dalam usaha untuk melarikan diri akibat  perbalahan kumpulan etnik di Kyrgyzstan.
KUMPULAN etnik Uzbek berehat selepas mereka melintasi sempadan antara Kyrgyzstan dan Uzbekistan dalam usaha untuk melarikan diri akibat perbalahan kumpulan etnik di Kyrgyzstan.
Mayat bergelimpangan selepas pertempuran bersenjata antara kumpulan etnik

OSH: Pertempuran bersenjata di antara kumpulan etnik di bandar raya Kyrgyzstan ini menyebabkan puluhan ribu orang melarikan diri sementara mayat bergelimpangan di jalan raya, kelmarin.

Letupan bom petrol mengakibatkan sebuah kedai milik etnik Uzbek terbakar dan mayat yang hangus dibiarkan tanpa diberikan perhatian oleh sesiapa pun. Kyrgyzstan adalah negara penting kepada kedua-dua Amerika Syarikat dan Russia yang mempunyai pangkalan tentera di negara Asia Tengah itu. “Mungkin sekurang-kurang 1,000 orang mati di Osh. Kami tidak dapat mendaftar mangsa maut kerana kami ditolak oleh pihak hospital atas alasan ia hanya untuk rakyat Kyrgyzstan,” kata Isamidin Kudbidunov, 27.

Jallahitdin Jalilatdinov, yang mengetuai Pusat Nasional Uzbek, memberitahu Associated Press semalam, 200 rakyat Uzbek dikebumi setakat ini.

Penduduk yang terkejut dengan kejadian itu berkata keganasan berkenaan akan mempunyai kesannya bagi beberapa generasi akan datang. “Kami tidak dapat hidup bersama lagi,” kata Akbar, seorang penduduk etnik tempatan Uzbek yang mundar-mandir di jalan raya di Osh.

Sekali sekala kedengaran bunyi tembakan di Osh semalam sementara di Jalalabad, kejadian dilaporkan semakin ganas.
“Situasi semakin teruk di Jalalabad,” timbalan ketua kerajaan sementara Kyrgyzstan, Temir Sariyev memberitahu pemberita di Bishkek.

Kejadian itu meletus Jumaat lalu di Osh apabila kumpulan etnik Kyrgyzstan mula menyerang kedai dan rumah penduduk etnik Uzbek yang mencetuskan ketegangan di antara dua kumpulan etnik terbesar di negara berkenaan.

Keganasan itu menyebabkan puluhan ribu golongan etnik Uzbek dan sebahagian besar penduduk Tajik membanjiri kawasan sempadan untuk masuk ke Uzbekistan.

Izzat Ibragimov, timbalan ketua perkhidmatan kecemasan di daerah Andijan, berkata terdapat 60,000 pelarian di sempadan Andijan saja tidak termasuk kanak-kanak.

Di timur daerah Khujaobad, Ikromiddin Valiyev, seorang pegawai penyelaras, berkata 2,500 tiba sejak Sabtu lalu. Anggaran pelarian yang melarikan diri ke Uzbekistan agak berbeza-beza tetapi pegawai kerajaan berkata angka berkenaan melebihi 100,000 orang.

Helikopter tentera Uzbek kelihatan terbang di sempadan Uzbek-Kyrgyz manakala anggota tentera memasang dapur sementara dan kemudahan perubatan di beberapa daerah di timur Uzbekistan.

Presiden sementara Kyrgyzstan, Roza Otunbayeva, Sabtu lalu merayu kepada Russia supaya menghantar bantuan ketenteraan bagi membendung keganasan itu.

Sementara itu, di KHOJAOBOD, Uzbekistan dilaporkan bertungkus lumus mendapatkan makanan, air dan bantuan perubatan bagi membantu puluhan ribu pelarian yang membanjiri negara itu.

Helikopter tentera berkawal di sepanjang sempadan ketika pihak berkuasa di beberapa daerah berusaha mencari perlindungan di sekolah, kilang dan bangunan lain untuk pelarian.

Seorang penduduk tempatan di daerah Kasansay di wilayah Namangan, timur Uzbekistan, ketika dihubungi menerusi telefon berkata, ramai pelarian – kedua-dua etnik Uzbek dan Tajik, tiba di sana pada waktu malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: