Thursday, June 10, 2010

PM Britain sokong pasukan England


DAVID CAMERON


LONDON - Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam menyatakan beliau akan mengibarkan bendera Saint George di kediaman rasminya di Downing Street semasa berlangsungnya kejohanan Piala Dunia untuk menunjukkan sokongan kepada pasukan bola sepak England.

Bendera berkenaan yang memiliki salib merah di atas latar putih merupakan bendera rasmi England dan pernah digunakan oleh penaung kerajaan England, Saint George.

Semasa sesi soal jawab mingguan di Dewan Rendah, Cameron, yang sibuk mencari kaedah menjimatkan perbelanjaan negara setelah menjadi Perdana Menteri pada bulan lalu, disoal sama ada beliau akan mengibarkan bendera England.

"Saya boleh menyatakan bahawa tanpa kos tambahan yang membebankan pembayar cukai, saya akan mengibarkan bendera Saint George di Downing Street semasa Piala Dunia," katanya kepada anggota-anggota Parlimen.

"Saya yakin bahawa setiap orang dalam dewan ini, tanpa mengira dari pelosok mana di United Kingdom mereka berasal, akan memberi sorakan Ayuh England!" tambahnya.

Seorang jurucakap memberitahu, bendera tersebut akan dikibarkan di sebelah bendera negara United Kingdom sehingga pasukan England tumbang dalam kejohanan di Afrika Selatan itu yang akan memulakan sepak mula esok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: