POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menjalin kerjasama strategik dengan United Parcel Services (UPS) bagi memperkenalkan Perkhidmatan Premium Antarabangsa PosLaju (PIP) untuk penghantaran ekspres membabitkan 215 negara seluruh dunia.
SIMBOLIK...Syed Faisal (dua dari kiri) bersama Foster (tiga dari kiri) merasmikan Perkhidmatan Premium Antarabangsa PosLaju (PIP).
“Sebagai bukti terhadap komitmen ini, kami memperkenalkan PIP yang dibangunkan melalui kerjasama dengan UPS iaitu syarikat antarabangsa perkhidmatan penghantaran pakej terbesar di dunia,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman bersama UPS di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama Naib Presiden Kanan Wilayah Selatan UPS Asia Pasifik, Craig Foster; Ketua Pegawai Operasi Pos Malaysia, Nadza Abdul dan Pengarah Urusan UPS Malaysia, Naeem Butt.
Syed Faisal berkata, pelanggan juga boleh menikmati kelebihan daripada perkhidmatan bertaraf dunia oleh UPS dengan pelanggan diberi jaminan wang dipulangkan kembali.
Melalui UPS, PIP menawarkan dua kaedah untuk pelanggan menjejaki status penghantaran barangan atau dokumen iaitu menerusi e-mel atau menggunakan nombor ‘waybill’ dan log masuk ke laman web Pos Malaysia.
Sementara itu, Nadza berkata, perkhidmatan PIP boleh didapati di semua 52 Pusat PosLaju seluruh negara. “Kami yakin dengan perkhidmatan PIP ini dan menjangkakan pertengahan tahun depan ia boleh didapati di semua cawangan pejabat pos iaitu lebih kurang 701 cawangan.
“Selain itu, kami menyasarkan sekurang-kurangnya lima peratus pertumbuhan pendapatan PIP setiap tahun,” katanya.
PosLaju kini mendahului dalam pasaran industri kurier domestik dengan menguasai 27 peratus daripada jumlah pasaran selain memiliki rangkaian penghantaran yang paling meluas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: